Thursday, July 31, 2008

Reaksi kita atas kejayaan Natasha Nabila bak 'bertelur sebiji riuh sekampung?'

Bahang kejayaan Natasha Nabila sebagai pelajar terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah ( PSLE) tahun
ini sekaligus memecahkan rekod kebangsaan dengan mata agregat 294 , masih terasa kehangatannya, khususnya bagi
masyarakat Melayu kita.

Ini kerana menurut Kementerian Pendidikan ( MOE), agregat Natasha adalah yang tertinggi dalam masa 17 tahun sejak
sistem PSLE sekarang ini dilaksanakan pada tahun 1991.

Jadi tidak hairanlah jika dari para pemimpin, mediamassa serta dikalangan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang masih
bersekolah terus membincangkan kejayaan Natasha agar ianya dapat memberi semacam dorongan/semangat ke
atas murid-murid yang lain untuk turut mengikut jejak langkahnya. ( BH, Sabtu, 24 November 2007 - Pemimpin masyarakat akur pencapaian Natasha ).

Namun saya berpendapat kejayaan Natasha merupakan satu 'produk' yang telah siap sejak sekian lama proses
penghasilannya dilakukan. Lantas, adalah lebih wajar untuk kita fokus dan menyelongkar ke atas elemen-elemen yang
menghasilkan produk tersebut. Cakap mudahnya, kita perlu berilmu dalam teknik-teknik mengasuh, mendidik anak-anak seawal usia bayi lagi.

Sayangnya, tumpuan yang keterlaluan sehingga terburu-buru memperkenalkan Anugerah Pencapaian
Khas bagi Kecemerlangan ( BH, Rabu, 28 November 2007 - Anugerah Cemerlang Tahap Nasional ) diperkenalkan pula.

Tidakkah ianya boleh memberi tekanan ke atas pelajar seperti Natasha umpamanya, untuk terus mengekalkan prestasinya di tahap
peperiksaan peringkat selanjutnya?

Ironinya, berapa ramaikah dikalangan pelajar-pelajar diperingkat rendah yang meraih keputusan yang baik satu ketika
dulu , tapi sehingga kini masih mengekalkan reputasi kecemerlangannya dalam bidang pelajaran pabila menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' and 'A' ?

Dari itu, apakata kita kemaskini masalah 'asasnya' iaitu memberi pendidikan awal pada anak-anak usia seawal mungkin. Ini kerana terdapat
laporan yang membimbangkan dimana masih terdapat sebilangan besar kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan awal
dipusat-pusat pra-sekolah dek pelbagai masalah yang dihadapi oleh keluarga masing-masing.
( BH, Khamis, 22 November 2007 - Hampir separuh kanak-kanak tidak ke tadika.......)

Sekiranya trend ini dapat dikemaskini, tidak mustahil lebih ramai anak-anak dikalangan masyarakat kita akan berjaya dihari
muka kerana asas ilmu yang sudah disemai sejak dari awal lagi.

Namun alasan yang sering kita dengar dari sebilangan ibubapa antaranya ialah sukar memberi pendidikan awal kerana ramai anak dan kurang kemampuan.

Tapi lihatlah semangat yang ditunjukkan oleh pasangan suami isteri, Encik Sulaiman Saipin dan isteri, Cik Esah yang berjaya
membesarkan 17 orang anak mereka hingga 13 berjaya ke Universiti. - ( BH, Khamis, 29 November 2007 - Keluarga Berilmu ).

Apa yang penting, biar ramai anak kita yang berjaya ke menara gading daripada 'satu' yang cemerlang diperingkat rendah.
Ini kerana para pelajar yang berjaya diperingkat pra-universiti dan selanjutnya akan lebih terjamin masa depannya serta menjadi
inspirasi kepada lebih ramai dalam masyarakat kita untuk mencapai kecemerlangan yang serupa.

Perkukuh pertandingan ala 'Projek Cerpen' sebelum melangkah ke filem

Penerbit filem Singapura telah digalak supaya meneroka peluang untuk kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbitan filem Malaysia dan Indonesia bagi menghasilkan filem-filem Melayu.

Ianya bertujuan dapat mengembalikan industri perfileman Melayu Singapura yang pernah dahulu mekar disini pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, yang kini hanya tinggal kenangan.

Dan baru-baru ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang ( NTU), telah memberikan sari kata dalam bahasa Mandarin ke atas empat filem Melayu klasik bagi tujuan mengenali budaya dan dunia penerbitan Melayu - ( BH, Rabu 12hb Mac 2008).

Langkah permulaan ini amat dialu-alukan dan mungkin pelbagai lagi kaedah boleh dilakar dalam usaha mengenali sejarah dan perkembangan perfileman Melayu.

Bagi membantu misi ini, Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr. Lee Boon Yang, berkata pemerintah akan memperuntukkan dana sejumlah $115 juta sepanjang lima tahun mendatang bagi menjayakan fasa ketiga Bandar Kebangkitan Seni.

Misalnya, dalam bidang penciptaan kandungan dimana Majlis Seni Kebangsaan ( NAC) akan memperkenalkan Dana Tugas Khas sebanyak $700.000 setahun antaranya untuk membangun keupayaan penggubahan skrip dan cerita - Dana $115 juta lagi untuk Bandar Kebangkitan Seni - ( BH, 1hb Mac 2008).

Dengan berita baik ini, mungkin kita usah terburu-terburu dan berura-ura ingin menyahut seruan pemerintah melangkah menghasilkan filem.

Sebaliknya, saya berpendapat, ada baiknya para penerbit setempat boleh bekerjasama dengan stesen-stesen TV seperti Suria dan Sensasi
dengan memperkukuhkan lagi pertandingan ala 'Projek Cerpen' yang diperkenalkan baru-baru ini.

Ini memandangkan sambutan yang menggalakkan dari bakat-bakat setempat dalam bidang penulisan, mungkin pertandingan ini boleh dijadikan acara tahunan secara tetap.

Selain itu, kita akan sering disajikan dengan cerita-cerita yang segar, tema yang berbeza, selera terkini serta kepelbagaian isu dalam konteks kehidupan disini boleh diketengahkan.

Pada masa yang sama, peluang para pelakon veteran dan baru boleh juga diketengahkan sepenuhnya sebagaimana harapan
Puan Syarifah Zainalabidin ( Ruangan Forum, BH 19 Mac 2008 ) - Serap veteran bagi drama TV.

Berbalik pada saranan awal, sebagai contoh, jika 'masalah Melayu' seperti penagihan hingga ke keciciran dalam pelajaran sering mendapat perhatian kita, apakata para penulis digesa melalui penghasilan cerpen mencari huraiannya dan TV boleh membantu sebagai wadah yang mudah mempergaruhi minda para penonton.

Secara tidak langsung, gabungan para penulis, penerbit dan TV boleh memainkan peranan mengembalikan imej orang Melayu dalam membantu menyelesaikan masalah-masalah yang sering menghantui orang kita.

Ini kerana jika dikatakan sastera Melayu kurang mendapat penglibatan aktif dan sokongan badan-badan Melayu/Islam setempat seperti luahan tiga penulis mapan di program Akhirkata pada 14hb Feb 2008, kerjasama stesen-stesen Melayu pula boleh membuktikan sebaliknya.

Sebagai contoh, kita faham, setiap stesen TV seperti Suria dan Sensasi mempunyai misi dan matlamat utama dalam memberi saluran alternatif dan pilihan masing-masing dalam menarik seramai mungkin penonton dalam menyajikan rancangan-rancangan yang bermutu.

Namun tiada salahnya jika setiap stesen TV Melayu setempat sama-sama mengembangkan lagi pertandingan ala 'Projek Cerpen' dalam usaha membangunkan dan menyemarakkan lagi bidang sastera penulisan dikalangan penulis serta bakat-bakat setempat.melalui wadah seperti TV.

Semoga usaha-usaha sebegini akan membantutkan niat bakat-bakat seni dalam dunia sastera Melayu setempat berhijrah dek sokongan yang dikatakan lemah disini.

Friday, July 11, 2008

Melahirkan gelaran 'Sir' dikalangan kita.

Besar kemungkinan, reaksi warga Islam setempat mendapat perhatian dunia dek keputusan Britain menawarkan gelaran kesateria kepada novelis Salman Rushdie. Ini termasuk dari negara-negara Islam yang sebahagiannya telah mengadakan tunjuk perasaan dan bantahan ke atas penganugerahan tersebut.

Sebagai tindak-balas ke atas Britain yang mempertahankan keputusannya, Majlis Ulama Pakistan ( PUC ) yang mendakwa mewakili 2,000 ulama Islam dinegara itu, telah memberikan gelaran 'Saifullah', atau ' Pedang Allah' kepada Osama.

Namun bagi warga setempat , setiap isu yang timbul yang membabitkan agama, penganutnya disini sering dilihat sebagai golongan yang lebih bersikap rasional, berdiplomasi dan berusaha mengatasinya dengan ilmu kebijaksanaan. Dengan erti yang lain, ada berpendapat isu ini boleh dilihat sebagai subjektif - boleh diperdebatkan isi kandungan buku tersebut tapi bukan mempertikai penganugerahan tersebut.

Walaupun kita serumpun dan seagama, namun sikap 'kesederhanaan' dan menghormati keputusan pihak lain amat menyerlah dan boleh dicontohi sebagai 'role model' kepada negara-negara Islam yang lain. Pada masa yang sama, kita tidak mahu dicap sebagai 'Pak Turut' ke atas reaksi-reaksi ganas seperti bantahan, ancaman bunuh dan memutuskan hubungan diplomatik semata-semata hanya kerana 'pemberian anugerah yang diberi oleh tangan manusia juga'.

Tambahan pula, berapa ramailah yang benar-benar sudah membaca dan 'memahami' keseluruhan isi kandungan buku yang dianggap penggunaan bahasa yang bukan mudah difahami oleh rakyat jelata?

Oleh itu, jika pencapaian seseorang dalam kerjaya penulisan diiktiraf dunia ( Salman merupakan antara penganut Islam yang telah diiktiraf sistem Britain ), ada baiknya jika kita berusaha melahirkan lebih ramai dan lagi hebat dari Salman Rushdie agar dapat membanggakan dunia Islam yang diharapkan selama ini.

Inilah pendekatan yang sewajarnya dalam usaha kita membenteras fahaman dan unsur-unsur kekufuran yang ditimbulkan oleh golongan yang mempunyai agenda atau muslihat untuk mencemar nama baik agama dalam apa bidang sekalipun. Kita tidak mampu setakat ' melatah' semata-mata dengan tindakan-tindakan yang penuh emosi lagi ganas, kerana akhirnya tanpa disedari, kita memaparkan imej negatif terhadap agama kita sendiri.

Hendaknya, sebagaimana gigihnya usaha musuh-musuh Islam dewasa ini, begitu juga hendaknya kita melipat-gandakan benteng-benteng yang ada unsur-unsur 'ihsan' didalamnya seperti yang disarankan oleh penyelidik agama dan sejarawan, Cik Karen Armstrong baru-baru ini.

Jagalah orangtua kita selagi terjaga.

Kisah orang tua yang menemui ajal sendirian di rumah memang menyayat hati namun paparan sebegini boleh dikatakan kes-kes terpencil. Yang lebih membimbangkan ialah tren meningkatnya golongan tua yang tinggal sendirian tanpa ditemani anggota keluarga yang lain. Dan pada dekad-dekad yang mendatang, jangkakan bilangan peratusan orang-orang tua yang meningkat usia senja bakal bertambah.

Maka itu pemerintah sedang giat melakar prasarana serta kemudahan yang sesuai bagi menampung keperluan warga tua ini. Namun buat masa ini, adalah menjadi tanggung-jawab anak-anak untuk menyara setiap keperluan asas dan memastikan kesihatan golongan tua ini terjamin. Ini kerana jika anak-anak gagal atau mengabaikan tugasan ini, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi masyarakat kita pula, selain tuntutan agama, budaya bangsa kita amat menitikberatkan tanggung-jawab menyara ibubapa oleh anak sendiri dalam melayari sisa-sisa usia senja dan nilai ini amat terpuji sekali.

Dengan ertikata yang lain, ini antara amalan yang terbaik dalam kehidupan anak-anak dalam menjalankan kehidupan dimuka bumi ini.

Namun, tidak semua anak-anak yang dipertanggung-jawabkan atau boleh dipersalah sekiranya tidak melaksanakan tugas sedemikian. Antara kemungkinan, ibubapa tidak 'ngam' dengan menantu, cerewet, ingin berdikari, enggan membebankan anak/menantu dengan kehadiran mereka, lebih selesa hidup sendirian tanpa dikonkong pergerakkan golongan tua ini.

Oleh itu, usahlah kita lekas menuding jari atau mempersalahkan anak-anak jika mendapati ibubapa tinggal sendirian atau merempat dalam melayari kehidupan seharian mereka sehingga ada yang membawa maut.

Sebenarnya, tanpa diketahui, terkandung banyak isu-isu yang tersurat dan tersirat dalam setiap permasalahan diantara hubungan ibubapa dan anak-anak sehingga perlunya berpisah untuk hidup berasingan.

Baru-baru ada yang menyarankan jika anak-anak tertakluk pada undang-undang untuk menyara orang tua mereka, tidakkah perlu juga dikenakan undang-undang bagi golongan tua yang 'berdegil' enggan hidup sebumbung dengan anak-anak yang senantiasa mendambakan kehadiran golongan ini?

Persoalannya, sekiranya golongan tua ini masih enggan mengikut perintah, apakah wajar menghukum mereka memandangkan usia serta kesihatan tidak lagi mengizinkan untuk melalui proses hukuman?

Bagi saya, selain rang undang-undang, anak-anak dan ibubapa yang hidup berasingan perlu 'sedar diri' dan 'bertolak ansur' kerana kedua-dua golongan ini secara amali saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Tambahan, ikatan pertalian kekeluargaan antara ibu dan anak tidak perlu terjalin hanya kerana adanya undang-undang. Ianya perlu lahir secara semulajadi sebagaimana kasih-sayang yang diharapkan dari seorang insan.

Perlu serius bila dengar keluhan si miskin

Terdetik rasa bangga bila melihat krisis tebusan di Manila semalam.

Bukan kerana bangga kejayaan pihak berkuasa menyelamatkan para tebusan, tiada pertumpahan darah,
wang tebusan tiada diminta atau pengetua sebuah tajaka di Manila yang menahan 32 orang murid dan dua guru
sebagai tebusan selama 10 jam, menyerah diri kepada polis lewat semalam selepas membebaskan semua tebusan.

Akan tetapi, semangat seorang individu yang sanggup berkorban ( bukan untuk kepentingan diri sendiri ) tapi bagi
memastikan rayuan dan harapannya untuk masa depan murid-murid tajaka diambil dalam pertimbangan oleh pihak
berkuasa, mendapat sambutan dari masyarakat sekeliling.

Sayangnya, saluran yang diambil menyalahi undang-undang dan boleh dihadapkan ke mahkamah. Kemungkinan
juga, saluran-saluran lain tiada mendapat respons atau pihak-pihak tertentu bertindak bak melepaskan batuk ditangga
dalam melayani isu-isu seperti ini? Dengan ertikata yang lain, skim bantuan yang ada tidak diselaraskan dengan betul
dan rayuan golongan miskin tidak dilayan.

Episod dari krisis ini dikhuatiri akan dicontohi oleh individu-individu yang lain kerana terdesak dek rayuan bantuan
kerana kemiskinan tak kunjung tiba.

Apakah iktibar yang boleh diambil oleh kita dalam konteks kehidupan disini?

Tidak dinafikan, memang skim dan program bantuan yang disediakan oleh badan kebajikan, bantu-diri,
pihak swasta/pemerintah setakat ini amat memuaskan. Ini kerana setiap skim/bantuan yang diperkenalkan
sedaya-upaya mencakupi segala aspek keperluan yang diperlukan oleh golongan miskin. Namun penerima
kita juga perlu faham, setiap bantuan tidak semestinya menyelesaikan setiap masalah yang timbul secara menyeluruh.

Tapi apa yang penting, setiap keluhan dan rayuan golongan miskin perlu diambil serius atau mungkin kita boleh
bertindak secara proaktif dalam mengenalpasti, menyelongkar isu/masalah yang bakal timbul dan yang membelenggu
golongan miskin, lalu mencari huraiannya sebelum ianya menjadi kritikal dan mendesak.

Tambahan pula, ini bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingin berlaku yang boleh mengaibkan
sistem bantuan setempat dengan menunjukkan betapa tidak teratur/terurusnya pada sistem bantuan yang ada.

Usaha membenteras ideologi ekstremisme

Penahanan seorang pensyarah politeknik di bawah Akta ( ISA) baru-baru ini, menimbulkan pelbagai reaksi yang berbeza-beza di kalangan masyarakat kita. Ada yang melihat usaha-usaha yang dijalankan selama ini bagi membenteras fahaman radikal terutama bagi golongan muda, masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan.

Namun yang lebih membimbangkan bilamana kita lihat reaksi sesetengah warga setempat yang lain. Jika diamati, perasaan terkejut, risau atau musykil bukan kerana adanya individu setempat yang didapati mempunyai pengaruh radikal. Sebaliknya kita lebih memberi fokus ke atas tahap pencapaian akedemik seseorang itu. Dengan ertikata yang lain, gambaran 'orang berijazah' setempat tidak mungkin boleh terpengaruh dengan fahaman radikal, perlu diperbetulkan.

Mungkin ini ekoran penahanan anggota Jemaah Islamiah dulu yang rata-rata tidak berkelulusan diperingkat tinggi.
Namun jika diimbas penahanan pengikut Aum Shinrikyo di Jepun sekitar bulan Mar, tahun 1995, terdapat ramai yang bukan saja berkelulusan tinggi malah berjawatan hebat juga.

Namun kini, imej pengganas yang sering dikaitkan dengan golongan terpinggir, cetek ilmu sekular atau fahaman/penafsiran agama yang menyimpang, mungkin tidak lagi relevan dalam konteks hari ini.

Ini memandangkan dengan ratusan lelaman yang mengandungi sumber-sumber pro-radikal serta tindak-tanduk yang menyakinkan lagi licik, maka tidak hairanlah jika ada golongan bijak pandai juga boleh terpengaruh.

Dan usaha mengesan individu atau aktiviti golongan ini tidaklah semudah yang disarankan oleh Setiausaha Parlimen Kanan ( Pendidikan) Encik Masagos Zulkifli - mukasurat 2, BH Isnin,11 Jun 2007 berjudul Masagos : Pelajari cara kesan curiga di kejiranan.

Ini memandangkan dewasa ini, kita berdepan juga dengan golongan yang 'bersimpati' secara senyap-senyap ke atas individu yang memperjuangkan ideologi ekstremisme. Namun usaha ke arah saranan Encik Masagos Zulkifli boleh dilakarkan jika setiap penduduk estet perumahan bekerjasama demi mencapai misi tersebut.

Tambahan, sudah menjadi budaya hidup, kita perlu menerima hakikat bumi mana yang tidak punyai jenayah?
Oleh itu, sebagaimana pengaruh radikal senantiasa mencari peluang dan ruang untuk meracuni sasarannya, kita juga perlu bertindak sebaliknya dengan lebih agresif lagi berkesan. Ianya bak satu perjuangan melawan musuh yang tiada berkesudahan setakat ini.

Bagi langkah susulan, tidak keterlaluan jika diperkenalkan satu subjek tentang menangkis fahaman radikal diperingkat sekolah rendah lagi.Selain memberi gambaran betapa pentingnya ancaman pengganasan, ianya bagi memastikan anak-anak kita dihari muka tidak mudah terpengaruh serta bijak menangani anasir-anasir negatif ini.

Antara mendisplin dan mendera anak.

Kisah penderaan yang berlaku ke atas mangsa yang terpapar didada akhbar baru-baru ini, bukan untuk membincangkan mengapakah perkara sebegini berlaku dan apakah hukuman yang bakal diterima oleh si pelaku.

Sebaliknya ini memberi kita peluang menilai semula cara kita mendisplinkan anak-anak.

Ini kerana, mungkin ramai dikalangan ibubapa tidak begitu jelas akan definasi dan perbezaan antara aspek ‘mendisplin’ dan ‘mendera’.

Tambahan pelakunya boleh terdiri daripada ibubapa sendiri/tiri, adik-beradik, saudara, jiran, pengasuh atau individu yang mengambil kesempatan ke atas golongan yang lemah dan miskin.

Dan menurut kamus Melayu dera antaranya bermaksud - pukulan (dgn rotan, cemeti,seksa,denda dsb) sbg hukuman.

Akan tetapi kalau dirujuk para pakar dan peguam akan definasi dan implikasi sebenar penderaan, pastinya kita gerun melihat senarainya dan takut untuk menghukum anak-anak kita kelak.
Antara yang boleh difahamkan seperti berikut :-
(a) Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
(b) Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
(c) Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual atau pun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan.

Berbalik pada definasi ‘dera’ , ianya juga mungkin bergantung dan disebabkan oleh suasana, sekitaran dan penerimaan anak-anak dulu berbanding sekarang.

Contohnya, jika semasa kita kecik dulu, dirembat dengan kepala talipinggang oleh bapa dek kenakalan kita, ianya suatu perkara lumrah. Tapi kini, anak-anak boleh mengheret si pelaku ke muka pengadilan.

Maka itu tidak hairanlah jika pada peringkat awal, kita cuba mendisplinkan anak-anak dengan sekadar teguran/nasihat,merotan tapi tanpa disedari ianya bertukar sehingga akhirnya memukul, guna kekerasan,penderaan seksual,menzalimi, melecurkan tubuh si mangsa atas alasan cuba mendisplinkan anak-anak.

Sebagaimana yang dikatakan, tahap asal ialah bagi memastikan anak-anak atau golongan dibawah jagaan kita berkelakuan baik atau ikut peraturan. Tapi mungkin disebabkan tidak dapat mengawal kemarahan dan tekanan yang dihadapi berpunca dari masalah di tempat kerja, kehilangan pekerjaan dan masalah kewangan, kelakuan anak-anak semakin menguji kesabaran, maka tujuan asal ingin mendisplin sudah bertukar menjadi mendera.
Ada kalanya pelaku berasa puas ke atas tindakannya namun perlu diingat, anak-anak yang membesar di dalam persekitaran keluarga yang tidak mempunyai kasih sayang ( sering didera )akan menjadi manusia yang memberontak dan mengalami banyak masalah bila dewasa kelak.
Untuk mengelakkan terperangkap dalam situasi sebegini, ibubapa perlu
melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan supaya memahami dengan lebih mendalam proses perkembangan mental,fizikal,kerohanian,emosi dan sosio-budaya
seseorang individu supaya peranan dan hubungan antara setiap ahli keluarga dapat diimbangkan.
Dengan kesedaran,kesungguhan dan keprihatinan individu dalam keluarga, perkara ini bukanlah mustahil untuk dicapai. Sehubungan itu,ibubapa adalah`Role-Model' yang paling berkesan dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai-nilai dan norma-norma murni.