Sunday, February 1, 2009

Sudahkah kita punyai rizab keluarga sendiri?

Pakej Daya Tahan bernilai $20.5 bilion yang diumumkan pemerintah termasuk penggunaan rizab negara bagi mengatasi kesan kemelesetan ekonomi yang kian meruncing / suram menunjukkan komitmen pemerintah ke atas warga negaranya. Antara pakej yang menarik minat ramai termasuklah :

- Digandakan Kredit Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST),
- Dinaikkan Kursus (PMET/ WIS)
- Rebat cukai pendapatan/hartanah dan (S&CC)
- Tokokan dalam Dana Pengangkutan Awam, ElderCare dan Medifund

Dalam masa yang sama, setiap warga digesa supaya berjimat serta berdisplin dalam aspek kewangan, menabung, berusha gigih dan fokus dalam hal-ehwal institusi keluarga malah kita perlu juga rebut peluang kursus peningkatan kemahiran dalam masa-masa sukar ini.

Dan semua sedia-maklum, pakej kali ini dibantu dengan menggunakan 'rizab' negara oleh pemerintah demi memastikan segala aspek bantuan ke atas syarikat, pekerja, keluarga, golongan susah serta pelajar dapat diselaraskan.

Menurut Dewan Kamus, 'rizab' membawa maksud antaranya, sesuatu yg diperuntukkan atau disimpan khas bagi sesuatu tujuan tertentu.

Jadi timbul persoalan, jika pemerintah selama ini telah 'berdisplin' dalam aspek menabung, berapa ramaikah agaknya institusi keluarga kita yang mencontohi amalan positif ini? Saya kurang pasti jawapannya, tapi yang pasti setiapkali bantuan dihulurkan, bilangan penerima baru semakin meningkat. Mungkin mentaliti bertongkat perlu dilenyapkan dalam minda dan masyarkat kita pada hari muka.

Mungkin ada beranggapan agak sukar menabung dek krisis ekonomi sekarang tapi mahukah kita berjanji untuk mulakan amalan ini bila ekonomi mula berkembang?

Apakata mulai sekarang, setiap keluarga perlu lebih gigih memastikan setiap unit keluarga itu ada 'rizab'nya sendiri dan pastikan setiap bulan/tahun, jumlahnya bertambah walaupun sedikit mana sumbangannya. Latihan dan amalan ini perlu diterapkan dari ketua keluarga hingga ke anak-cucu agar kita tidak kerap ' melukut ditepian gantang' bila mana berlakunya sesuatu krisis dalam keluarga/negara kita.

Saya juga berpendapat lebih baik kita 'berpayung selalu' daripada setakat 'sedia'kan payung sebelum hujan. Dan jika amalan menubuhkan 'rizab' dalam keluarga sendiri dapat dipraktikkan, mungkin golongan yang sememangnya memerlukan bantuan dapat diberi lebih perhatian oleh pemerintah dan badan-badan kebajikan.

Sayangnya, lumrah manusia sering lupa untuk berjimat jika ada kelebihan tapi merungut bila kekurangan. Akhirkata, usahlah berlengah kerana jika berlaku lagi krisis ekonomi dihari muka, kesannya mungkin lebih hebat dari apa yang sedang kita alami sekarang. Ambilah iktibar darinya sebelum terlewat.

Curang dek kurang perhatian?

Setiap ikatan perkahwinan itu sering termaktub satu ikrar dan pergorbanan demi memastikan perkongsian hidup itu dapat melayari dan menempuh segala onak-duri,suka-duka,pahit-getir bersama pasangan masing-masing hingga ke akhir hayat. Malangnya, ikrar untuk hidup semati adakalanya berakhir dengan perceraian dek terbongkarnya kisah curang. Dan lazimnya, anak-anak sering menjadi mangsa keadaan. Lihat perangkaan yang terpapar di ( BH,19 Januari 2009, mk3) sekaligus memaparkan kisah curang sesetengah pasangan itu.

Dan bila diajukan ke atas pasangan-pasangan yang ditangkap curang, alasan yang kerap singgah ke halwa telinga ialah kurang mendapat 'perhatian'.
Bak seorang remaja yang ditangkap melakukan jenayah, pastinya pengaruh negatif itu datang dari kawan dan bukan diri sendiri. Dengan ertikata yang lain, kita jarang mengaku atau sedar akan kelemahan yang ada dalam diri sendiri selain menyasarkan pada pihak lain semampu mungkin agar kita terlepas dari kesalahan yang telah dilakukan.

Memang setiap insan ingin disayangi dan menyayangi dari pasangan masing-masing. Namun jarang dikupas ialah ungkapan ' perhatian' atau definasinya.

Menurut pandangan peribadi seorang kaunselor, takrif 'perhatian' boleh saja merangkumi dari segi/aspek nafkah zahir-batin, kasih-sayang, tanggung-jawab terhadap keluarga atau kurangnya azam untuk mengukuhkan institusi keluarga yang bina itu.

Tambahnya lagi, secara amnya, perhatian yang diberi oleh pasangan masing-masing sebenarnya 'banyak' cuma masih 'tak cukup' bagi sesetengah pasangan... sindirnya.

Jadi jika faktor-faktor diatas itu tidak dilengkapi atau tidak diberi perhatian, maka pasangan akan cuba mendapatkan 'nya' diluar sana. Maka berlakulah apa yang dimaksudkan dengan sikap curang. Malangnya, apa yang dihajati tidak kesampaian kerana, pada pandangan saya, setiap yang digelar manusia, tidak akan merasakan cukup/puas melainkan seseorang itu tahu menilai aspek kesyukuran.

Kesimpulannya, usahlah kita berlaku curang dengan alasan kurang mendapat perhatian dari pasangan masing-masing. Sebaliknya, adalah baik jika kita memberi perhatian daripada mengharapkannya. Usah kita celik dek kekurangan orang lain tapi buta pada kelebihan yang ada pada diri kita.

Dengan ertikata yang lain, jika kita kurang mendapat perhatian atau menghadapi sebarang masalah rumahtangga, bukankah tersedia ruang/peluang untuk bertemu pihak kaunselor dari badan-badan bantu diri yang sedia menghulurkan kepakaran dalam menangani isu-isu yang membelenggu sesebuah rumahtangga itu. Ingin seribu daya, enggan seribu dalih.

Doa untuk kesejahteraan dunia

Pergolakkan di Gaza serta konflik peperangan antara tentera Israel dan pejuang Hamas telah berlarutan sepanjang hampir 2 minggu sehingga mendapat perhatian warga dunia. Selain kemusnahan harta-benda, angka korban nyawa yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak telah meningkat dan sungguh menyayat hati bila paparan sebegini disiarkan dimedia massa. Dalam pada itu, kuasa-kuasa besar dunia sedang memberi tekanan serta melakarkan pelan bertindak untuk mewujudkan satu genjatan senjata ke atas kedua-dua belah pihak. Dalam pada itu, seperti lazimnya, tunjuk-tunjuk perasaan di jalan-raya, memboikot produk, menyebar khidmat SMS sehingga terdapat segelintir kumpulan dari negara jiran ingin menyertai pertelagahan yang berlaku di rantau teluk itu demi membuktikan sokongan kuat ke atas pihak yang ditindas. Namun jika diimbas akan sejarah perkembangan kedua-dua wilayah ini, jelas konflik yang berlaku sudah berlarutan sejak berdekad-dekad lamanya. Sehingga kini, belum jelas akan ada satu perdamaian yang tuntas bakal wujud di bumi tersebut.

Namun bagi masyarakat kita khususnya di Singapura , setiap perkembangan yang berlaku di rantau timur tengah dijadikan iktibar serta menguatkan lagi semangat hubungan kaum yang terdiri dari berbilang agama, bangsa dan kaum disini. Dan dalam isu konflik di Gaza, kita lebih bersikap rasional serta berdiplomatik dalam menangani mahupun menyuarakan kebimbangan/kegelisahan akan apa yang berlaku di ceruk rantau tersebut.

Selain mengeluarkan kenyataan mengutuk konflik di Gaza melalui saluran diplomatik, sebagai umat Islam, kita juga telah menggerakkan semangat dan 'kepedulian' kita ke arah melakukan solat hajat, mengumpul dana kilat serta berdoa agar keamanan segera dikembalikan di rantau teluk itu.

Pada pandangan saya, lebih indah jika kita boleh memanjatkan doa kesejahteraan bukan saja bagi penduduk Palestin yang ditimpa musibah malah boleh ditujukan pada warga Yahudi di Israel yang pastinya menginginkan juga kedamaian,ketenteraman dan keselesaan yang berkekalan di tanahairnya.

Secara tidak langsung, kita memberi mesej yang jelas pada bangsa dan agama lain disini bahawasanya doa dan tindakkan kita amat menyeluruh dan bukan untuk golongan tertentu yang kebetulan beragama Islam.

Pada masa yang sama, keprihatinan kita pada isu-isu yang masih membelenggu masyarakat kita seperti keciciran dalam pelajaran, penagihan, perceraian dan masalah sosial yang lain perlu juga sehebat semangat kita memperjuangkan segenap tenaga dalam mencari keamanan di rantau Teluk.

Usah pepatah kera dihutan disusukan, anak dirumah kelaparan berlaku bila kita terlupa akan tanggung-jawab kita terhadap setiap warga kita yang masih mengharapkan insan,simpati, bantuan sebagaimana harapan warga Palestin.