Monday, March 16, 2009

Mesej keprihatinan kita perlu sampai pada warga asing

Isu warga asing timbul lagi awal tahun ini di tengah krisis ekonomi dimana kehadiran golongan ini 'perlu' bagi pasaran buruh dan pada masa yang sama, budaya sosial mereka menjadi keprihatinan dan 'tidak diperlukan' oleh sebahagian warga setempat. ( ST, Sabtu 31hb.Jan 09 - When things goes wrong.) dan
( BH, Rabu 4 Februari 2009 - Hadkan jumlah pekerja asing ).

Mungkin ramai masih ingat pada penghujung tahun lalu, pelbagai rentetan isu mengenai warga asing termasuk penginapan yang sesuai bagi mereka memuncak selain mendapat liputan meluas serta perbincangan yang hangat di media elektronik/cetak dan diruangan forum siber . Ini menyusuli tindakan sebilangan penduduk disekitar Serangoon Garden yang membantah rancangan pemerintah ingin membina asrama bagi pekerja asing di bekas bangunan sekolah di situ. Antara alasan mereka, nilai hartanah disana akan merosot dan kegiatan sosial pekerja asing bakal meningkat dan membimbangkan penduduk setempat.

Atas keprihatinan penduduk, pemerintah telah menerima semua maklum balas dan setelah menganalisisnya, pemerintah memutuskan untuk terus membinanya setelah semua saluran alternatif dipertimbangkan. Ini memandangkan warga asing perlu bagi sektor pembinaan selain memastikan perlindungan hospitaliti mereka juga terjaga dan tidak dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab. Ini dapat dilihat tahun lalu bilamana terdedah beberapa syarikat didenda kerana samada tidak memberi tempat tinggal atau tak dibayar gaji ke atas warga asing dibawah tanggungannya. ( 1,300 pekerja asing dipindah.......BH, Rabu, 10 Disember 2008 ) dan ( Today, Mukasurat 2, Rabu, 22 October 2008).

Dalam hal ini, pemerintah perlu bertegas kerana negara ini tidak mahu mengabaikan nasib warga asing yang bertugas disini kerana golongan ini turut menyumbang pada ekonomi dan pembangunan negara.

Namun jika direnung lebih mendalam akan kes seperti di Serangoon Garden itu, antara punca yang membimbangkan warga setempat ialah mengenai tingkah laku warga asing seperti mabuk, berkumpul dikolong blok,membuat bising,tidak mematuhi larangan dijalanraya, menyepah sampah sehingga kelakuan sesetengahnya boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan masalah sosial yang lain. Tidak dinafikan, budaya warga asing ini boleh diterima pakai dinegara asal mereka namun tidak dinegara kita. Malangnya, kebimbangan ini setakat berlegar diruang siber dan media massa setempat yang berbahasa rasmi negara ini.

Dengan ertikata yang lain, warga asing mungkin tidak tahu akan keprihatinan dan harapan yang diharapkan oleh warga setempat ke atas pekerja asing.

Mungkin, MOM dapat meningkatkan kerjasama dengan majikan/syarikat yang membekal warga asing supaya dapat mengedarkan risalah atau garis-pandu dengan mengunakan bahasa yang difahami warga asing dari masa ke semasa untuk memastikan mesej ini berjaya disemai dalam diri warga asing.

Mungkin telah ada langkah-langkah seperti ini yang digerakkan oleh pihak-pihak tertentu, namun melihat akan kebimbangan warga setempat dan masalah sosial warga asing disini yang mungkin semakin tidak terkawal, jelas menunjukkan usaha ini perlu ditingkatkan dan disemai ke atas warga asing dengan lebih agresif lagi agar mesej 'keprihatinan' penduduk setempat sampai pada warga asing atau sasarannya.

Dan sekiranya langkah sebegini dapat dicapai, hubungan antara penduduk setempat dengan warga/pekerja asing dapat dieratkan demi menyumbang pada kesejahteraan negara tanpa perlu ada diskriminasi atau rasa 'terasing' dikalangan warga asing disini mahupun penduduk setempat.