Thursday, April 2, 2009

Erti kedekut dan jimat.

Baru-baru ini, semasa menjalankan tugas dikawasan bangunan MCYS, dimana terletaknya juga Mahkamah Syariah, saya berkesempatan menyaksikan satu pertengkaran secara 'live' diantara sepasang suami-isteri yang sudah berumur. Isunya, si isteri menuduh sang suami 'kedekut' sementara si suami pula bertegas beliau sekadar ingin 'berjimat.' Sudah pasti perselisihan ini merujuk ke atas aspek kewangan.

Memang tidak dinafikan, isu remeh sebegini jarang dikupas oleh media massa yang memaparkan rancangan yang mengupas isu rumahtangga. Sebaliknya, apa yang disajikan sekadar membicarakan aspek kerukunan, melafazkan semula ikrar cinta, tips dari pasangan yang sudah berpuluh tahun berumahtangga dan nasihat dari para pakar dan kauselor setakat berupa satu 'formaliti' semata-mata. Contohnya, jika sang isteri sedang marah, pasangannya perlu menjadi umpama air demi kerukunan rumahtangga. Tapi menurut rakan sejawat, memberi nasihat sebagai tips lebih mudah dari menghadapi realiti ketika marah.

Saya teringat nasihat bukan formal yang diberikan oleh sepasang suami-isteri yang telah bersama sepanjang hampir 32 tahun. Antara nasihatnya yang masih terakam......... "Keutuhan rumahtangga ialah bilamana kau dapat hidup dengan selesa ke atas tabiat buruk, sikap jelek pasangan kau yang tidak dapat diubah dalam jangkamasa yang pendek atau sekelip mata. Ingat........pasangan yang hidup bersama berpuluh tahun sebenarnya beresipikan keraguan,kesengsaraan, kehampaan, penyesalan......cuma berintikan kesabaran dan kesyukuran."

Itu sebabnya, saya pernah sarankan agar ROMM dan Mahkamah Syariah diletakkan dibawah satu bumbung dimana kaunter daftar nikah, tunang, cerai , kes rujuk, jumpa kaunselor terletak bersebelahan antara satu dengan yang lain. Jadi, pasangan muda boleh lihat realiti di alam berumahtangga dan bukan sekadar bersandarkan cinta fantasi semata-mata. Dan bagi pasangan yang bermasalah pula, boleh mengimbas kisah silam agar dapat merujuk kembali.

Berbalik pada isu tadi, menurut kamus, kedekut membawa maksud - sangat berkira-kira hendak membelanjakan wang. Sementara jimat pula tentang perbelanjaan wang atau penggunaan sesuatu dengan penuh hemat dan tidak boros.

Jadi saya berpendapat dalam aspek kehidupan berkeluarga, seseorang itu dianggap kedekut bilamana keperluan asas rumahtangga hingga ke perbelanjaan sekolah anak- anak tidak diberi secukupnya sebaliknya wang itu digunakan sewenang-wenangnya membeli rokok atau berfoya-foya berlibur bersama teman-teman.

Berjimat pula bilamana setelah keperluan asas sudah dipenuhi, bakinya disimpan daripada membeli barang/keperluan yang tidak genting dan penting pada ketika itu.

Yang peliknya, ada individu yang takut dicap kedekut lantas berbelanja sakan atau hilang minat untuk berjimat.

Namun ada juga berpendapat kita perlu mengubah cara berbelanja agar ianya membolehkan kita dapat menyimpan lebih wang agar tidak kelihatan terlalu kedekut dan pada masa yang sama, kita berjaya berjimat juga. Dengan ertikata yang lain, jangan kedekut keluarkan duit kalau itu berbaloi dan mendatangkan hasil yang berlipat ganda ke atas seisi keluarga.

Kesimpulannya, jika setiap pasangan suami-isteri itu faham akan pentingnya konsep berjimat dan bahayanya sikap 'kedekut ',besar kemungkinan kewangan keluarga akan menjadi mantap dan pada masa yang sama, pasangan dapat mengelak dari berlakunya pertengkaran yang tidak perlu.


MOHD IKHLASH ABDULLAH