Friday, May 1, 2009

Diet ' vegetarian' bercanggah dengan tuntutan agama?

Ungkapan 'penjaga perigi tidak kehausan' membawa maksud jika bergaul dengan golongan bijak pandai, kita pasti meraih manfaatnya.
Namun baru-baru ini, seorang siswazah tahun akhir dalam pengajian Islam setempat dihujani komen-komen yang negatif oleh teman sekuliah dan guru agamanya.
Ini gara-gara beliau, setahun yang lalu bertubuh tambun ( gemuk ) kini tampak langsing kerana mengamalkan gaya hidup sihat dan 'berdietkan' sayur-sayuran serta buah-buahan sebagai makanan sehariannya. Cakap mudahnya, beliau kini seorang 'vegetarian'.

Memang tidak dinafikan, diet 'vegetarian' sering dikaitkan dengan amalan dan kepercayaan sesuatu agama itu. Ini termasuk isu senaman yoga yang diamalkan oleh sebahagian penganut Islam mendapat tentangan hebat di seberang tambak. Sayangnya, isu-isu sebegini tidak dibincangkan serta dihuraikan secara hemah melainkan disulami pemikiran cetek dan emosi semata-mata.

Saya berpendapat adakalanya, semakin tinggi ilmu pengajian seseorang itu, semakin sempit ' keupayaan'nya untuk melihat dan menghuraikan sesuatu isu itu dari pelbagai sudut dan pandangan yang positif lagi berhemah.

Dan jika kelemahan sebegini wujud dan semakin meluas, tidak hairanlah jika dihari muka sesuatu isu yang pada peringkat awalnya mudah dihuraikan, menjadi semakin 'bercelaru' akhirnya. Sebagai contoh, lihatlah perbalahan yang berlaku dinegara jiran dalam menangani isu-isu yang bersangkut-paut dengan agama.

Persoalannya, tidakkah boleh seseorang itu mengamalkan sesuatu kaedah pemakanan atau senaman ( yang sememangnya dikaitkan dengan sesuatu agama ) demi untuk meraih kesihatan selagi akidah/tauhidnya tidak dikompromi? Atau ianya bertentangan dengan tuntutan agama, sunnah dan boleh menjejas tahap kesihatan seseorang itu?
Mungkin restoren yang hanya menyajikan hidangan vegetarian juga perlukan sijil halal?

Jika diseberang tambak, isu-isu sebegini pastinya hangat dibincangkan namun mujurlah disini , pihak Muis bijak berusaha dengan gigih dan memaparkan 'kerelevannya' dalam setiap masa ke atas menyelesaikan atau setidaknya, menjelaskan akan duduk perkara sesuatu isu itu dengan mengambil pendekatan konteks berbilang bangsa dan agama disini.

Sebagai contoh, isu ' no pork - no lard' diperjelaskan dengan begitu terperinci agar semua pihak tidak kira bangsa,agama memahami serta menghormati keputusan yang diambil oleh pihak-pihak tertentu demi kemaslahatan bersama.

Mungkin juga isu diet 'vegetarian' mendapat perhatian pihak Muis untuk menjelaskannya agar isu ini tidak dieksplotasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab dikalangan kita sendiri.