Sunday, July 5, 2009

Jadikan warisan Melayu panduan hidup

Bangsa Melayu dikenali kaya dengan nilai-nilai kesantunan dalam berbahasa. Antaranya termasuklah ribuan peribahasa yang tercetak dalam puluhan buku-buku sebagai panduan hidup generasi hari ini. Ini sekaligus memaparkan betapa hebat dan luasnya kebolehan dan keupayaan cerdik pandai kita dulu dalam menghasilkan peribahasa-peribahasa ini.

Pada masa yang sama juga, setiap peribahasa itu perlulah difahami atau digunakan dalam konteks yang betul. Contohnya, ada peribahasa yang membuahkan hasil jika ianya digunakan bersesuaian dengan tempat, suasana dan keadaan semasa. Malangnya, sebahagian dari kita gagal memahami atau menyelongkar apa yang tersirat dan tersurat dalam satu-satu peribahasa itu sebelum menggunakannya.

Sebagai contoh, peribahasa - Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak - bermaksud dapat menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. Sebenarnya peribahasa ini menggalak kita untuk mengikut rentak sekeliling atau mencari kesesuaian diri didalam sesuatu majlis atau pergaulan asal saja ianya membawa manfaat ke atas diri kita secara positif dan selaras dengan tuntutan budaya dan agama.

Sebaliknya, jika situasi dimana pengaulan bebas berleluasa serta terdapat unsur-unsur negatif, peribahasa yang sesuai digunakan ialah - Ikut resmi ikan dilaut yang memelihara isinya tetap tawar walaupun terus menerus berendam dalam air masin. Ianya bermaksud tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen disekeliling meskipun perlu hidup didalam satu-satu kelompok itu.

Saya yakin terdapat ribuan lagi peribahasa-peribahasa yang boleh diajar ke atas generasi muda melalui kaedah terkini agar nilai-nilai dalam bahasa Melayu itu tidak disalah-erti serta kekal relevan dalam membantu dan menilai cara kehidupan kita berlandaskan bahasa jiwa bangsa.

Tidak perlulah 'membabi buta' mengikut sesuatu peribahasa itu sebelum terlebih dahulu menilai 'keupayaan'nya dalam konteks kehidupan seharian kita.



MOHD IKHLASH ABDULLAH

satu jam bergelap biar bawa manfaat

Sambutan Earth Hour ataupun Sejam Untuk Dunia yang berlangsung pada 28 Mac lalu bermula dengan matlamat ( dimulakan pada 31 Mac 2007 ) bagi pengurangkan pembebasan karbon, seterusnya mengurangkan kos serta dapat berjimat bagi penggunaan elektrik secara keseluruhan.

Cakap mudahnya, bergelap dalam sejam demi membuktikan sayangnya kita pada bumi yang kian tenat dan dicemari.

Dan pada tahun-tahun mendatang, sasarannya dijangka melebihi sebiliion penduduk dunia dari lebih 1.000 bandar serata dunia.

Dengan ertikata yang lain, lebih ramai yang menyertainya, lebih mudah mesej dan misi untuk memelihara/merawat bumi disebarluaskan.

Itu dalam konteks global.

Bagaimana pula dalam kehidupan sosial atau menyasarkan usaha ini pada unit keluarga kita pula? Sebagaimana yang kita tahu, kegenjotan dalam keluarga sering timbul dan dikaitkan dengan kurangnya 'masa bermutu' yang disediakan bagi anggota keluarga yang lain. Lantas, dek ibubapa sibuk memenuhi permintaan hidup (kerjaya) yang semakin 'sibuk', maka anak-anak mencari haluan dan akhirnya berlakulah kegiatan-kegiatan sosial yang negatif.

Dari itu, saya berpendapat, konsep Earth Hour ini sebenarnya dapat diterapkan didalam unit keluarga kita juga. Contohnya, setiap bulan atau hujung bulan, ditetapkan satu jam bersama keluarga untuk musabahah diri sesama anggota lain dalam lingkungan unit keluarga itu sendiri. Si ayah atau ibu boleh saja berbincang secara terbuka dengan anak-anak akan misi dan visi yang ingin dicapai dalam keluarga itu dalam jangkamasa sebulan yang akan datang. Dalam pada itu, anak-anak juga perlu memberi respon dan memastikan harapan ibubapa itu tercapai.

Selain itu, gunakan masa sejam itu untuk bertukar-tukar pandangan/pendapat dengan anak-anak serta setiap anggota keluarga boleh mencatat setiap perbincangan/tugasan yang perlu dilaksanakan kelak. Namun pada masa yang sama, usahlah gunakan masa sejam bersama anak-anak untuk berleter atau menghukum anak-anak.

Walaupun sejam dalam sebulan mungkin kurang memberi kesan, yang penting hubungan antara ibubapa dan anak-anak itu semakin erat atau 'itulah' masa perhatian yang didambarkan oleh sang anak.

Lakukanlah setiap bulan secara tetap dan lihatlah perbezaannya. Secara tidak langsung, kita telah berusaha untuk menerangi kegelapan yang mungkin selama ini menyelubungi keluarga dan anak-anak kita. Dan pada hari muka, hendaknya lebih ramai anggota keluarga yang lain, sanak-saudara, sahabat-handai, rakan taulan ataupun rakyat Singapura diperingkat nasional dapat melaksanakannya agar satu hari nanti, langkah dan usaha ini pasti dicontohi dunia demi memelihara hubungan erat tali kekeluargaan.



MOHD IKHLASH ABDULLAH