Monday, November 2, 2009

Kesamaran antara dera and didik anak-anak.

Zuriat yang diamanahkan ke atas pasangan ibubapa adalah satu tanggungan bukan hak mutlak yang boleh diperlakukan sesuka hati.
Sebagai ibubapa, anak-anak bak kain putih dan kitalah yang mencorakkannya. Sekaligus membawa maksud seperti memberi kasih sayang, perlindungan, kabajikan ( makan minum/pakaian ), ilmu pendidikan ( duniawi /ukhrawi ) dan memastikan kesihatan terjamin serta akhlak yang sempurna.

Pada masa yang sama, setiap zuriat itu akan melalui proses pendewasaan seawal usia bayi hingga peringkat remaja yang sememangnya memerlukan kesabaran dan pengorbanan dari pasangan ibubapa itu. Ini termasuklah sifat kenakalan diperingat kanak2 hingga ke masalah yang lebih rencam bila meningkat remaja.

Dan proses inilah yang perlu dipantau oleh ibubapa disebalik tugasan,tekanan dan bebanan kos kehidupan yang adakalanya begitu mendesak sekali..

Tanpa disedari, mungkin faktor-faktor inilah yang juga menjerumus seseorang itu melepaskan 'tekanan hidup' ke atas anak-anak dibawah jagaannya selain sikap dan sifat tidak bertanggung-jawab ( pemalas,nganggur ) seseorang itu.

Cakap ringkasnya, adakalanya kita lupa dan gagal untuk mencorak diri kita sendiri demi kebaikan kerana sibuk berusaha mencorak anak anak kita.

Antaranya :

- kita lebih takut atau sanjungi pasangan atau kekasih daripada 'membela' anak-anak sendiri yang jelas terdera.
- anak-anak mengadu pada nenek, ibu atau bapa ( sendiri ) yang mereka sering didera, tapi seringkali perkara sebegini tidak diendah, dihiraukan atau menyangka ia adalah helah atau imaginasi anak-anak itu saja.
- ada pasangan tidak dapat membezakan antara kenakalan dan kejahatan anak-anak.
- tidak tahu bilakah masa sesuai untuk bertegas, gertak, merotan atau memujuk ke atas diri kanak-kanak yang berbeza usia, sikap dan perangai.
- lebih buruk, jika pendera masih sekali sekala berjumpa si ibu bersama anaknya walaupun hukuman telah melarangnya..


Ini termasuklah undang-undang yang samada kurang jelas atau tidak berat bentuk hukumannya ke atas pesalah kecuali yang mengakibatkan maut.
Sebagai contoh, kita berani mengherdik, mengunakan kekerasan ( sepak, piat telinga, ) di tempat awam ke atas anak-anak berbanding membuang sampah sembarangan.

Huraiannya, setiap ibubapa perlu dijelaskan akan hak serta isu-isu mengenai perihal penderaan anak-anak sebagaimana kita menangani isu kenakalan remaja, keciciran dalam pelajaran, samseng remaja dan sebagainya.

Ini termasuk saluran-saluran yang mudah didapatkan oleh kanak-kanak yang didera. Seperti contoh, beberapa barang pasaraya boleh ditampal dengan mesej anti penderaan sebagaimana yang terdapat pada kotak rokok perihal kesihatan. Dengan informasi sebegini, anak-anak atau teman sedarjah boleh menghubungi pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan secepat mungkin.

Jiran tetangga atau sesiapa juga boleh memainkan peranannya. Ungkapan ' jaga tepi kain orang' dalam konteks hari ini boleh dipandang sebagai satu langkah yang positif. Jika kain yang terselak, perlu ditegur atau ditutup. Begitulah hendaknya, jika sesuatu yang kurang 'manis' berlaku ke atas jiran kita, perlu kita bersifat prihatin atau menegurnya sebaik mungkin. Jika tidak, kita akan dipaparkan dengan kisah orang tua yang maut sendirian dirumah, anak jiran didera atau ibubapa yang berantakkan sehingga membawa maut. Bila kisah-kisah sebegini tersiar, mulalah kita menuding jari ke atas pelaku dan pesalah semata-mata. Seolah-olah kita tiada peranan untuk dimainkan dalam menangani isu-isu sebegini.

Akhirnya stigma ke atas golongan lelaki dikaitkan dengan penderaan menjadi buah mulut pula. Hakikatnya, isu penderaan bukan saja dilakukan oleh bapa sendiri, bapa tiri, kekasih sang ibu saja tapi ada juga ibu kandung sendiri sanggup melakukannya. Sebaliknya ada bapa sendiri, tiri atau kekasih sang ibu yang membela dan memberi sepenuh kasih sayang. Sayangnya, jarang benar isu-isu sebegini keketengahkan.

Perluas amalan agar bawa manfaat.

Bak sudah dijangkakan mengenai amalan-amalan di bulan puasa dan raya mendapat soroton minggu ini.
Ada berpendapat amalan seperti bertukar juadah, ziarah kubur, mengunjung sanak saudara, bermaafan bukan tuntutan syariah setakat dibulan itu saja. Sebaliknya ada merasakan ianya tuntutan adat budaya sejak zaman berzaman. Cakap mudahnya, payah untuk ditinggalkan.

Itulah antara pandangan beberapa pembaca Forum ( BH 30hb Sep 09 ) yang mengkritik artikel Encik Zulkifli Mohd Sa'ad ( BM, 27 September 09)

Memang tidak dinafikan, ada beberapa isu yang sering bertembung diantara syariah dan tuntutan adat budaya sesuatu bangsa itu. Namun dalam bab amalan seperti yang tertera diatas ini, ada baiknya jika kededua pihak ( yang menentang atau menyokong ) dapat kiranya bermuhasabah agar huraian yang bakal diraih kelak memanfaatkan setiap lapisan dari masyarakat kita.

Caranya, jika dibulan puasa dan raya dapat kita melahirkan nilai-nilai ehsan dan insani, mungkin dapat kiranya kita lanjutkan diluar bulan tersebut.
Bagi individu yang telahpun melaksanakannya setiap bulan, teruskan amalan murni ini. Pada yang setakat berkobar-kobar mengibar semangat amalan itu di bulan puasa dan raya saja, dapat kiranya mengorak langkah untuk melaksanakannya diluar bulan mulia itu pula.

Antara saranan saya, apakata setiap keluarga meluangkan satu hari dalam sebulan untuk bertukar juadah, ziarah kubur, mengunjung sanak saudara,bermaafan sesama jiran tetangga mahupun rakan taulan.

Dengan ertikata yang lain, bawalah konsep dibawah ini agar dijadikan panduan seisi keluarga :
- hidangkan diet atau makanan yang sihat untuk bertukar juadah
- ziarahlah kubur bagi meningkatkan iman dan ketakwaan.
- kunjungi unit keluarga yang kita tahu mempunyai masalah, perlukan bantuan atau kaunseling.
- jika kita boleh sewa bas untuk beraya sakan, apakata diluar bulan raya, lakukan dengan mengunjung rumah-rumah tumpangan anak-anak yatim/orangtua sekaligus lakukan tugasan seperti mengecat, mengemas atau menghiburkan penghuni-penghuni tersebut. Lebih baik jika dapat membawa golongan yang kurang bernasib baik keluar bersiar-siar. Usahlah aktiviti sebegini setakat dibulan puasa atau raya saja.

Saya rasa mungkin ada banyak lagi amalan-amalan yang sering dilakukan dibulan puasa/raya dapat dilakukan diluar bulan tersebut dengan misi jika setiap keluarga dapat membantu insan lain sekali dalam sebulan, bayangkan hasilnya dalam setahun. Dengan langkah sebegini, sekurang-kurangnya isu-isu seperti kegenjotan dalam keluarga, keciciran dalam pelajaran, bantuan dan derma bagi insan-insan yang memerlukan, golongan tua yang hidup sendirian dapat dikenalpasti dan diselaraskan dengan bantuan yang tertentu.

Jika saranan ini dapat dipertimbangkan, kelak amalan seperti bertukar juadah, ziarah kubur, mengunjung sanak saudara, bermaafan tidak lagi dilihat setakat dilaksanakan dibulan raya semata-mata. Ini sekaligus menjadikan bangsa Melayu setempat contoh pada umat Islam lain dirantau ini dek sikap ehsan/insan kita yang bukan setakat bermaya dan bersemangat di bulan Ramadhan/Syawal saja.