Tuesday, June 2, 2009

Sajak : Salam Nur Rahmah

Dicelah petak-petak dipusara Abadi itu
ku lihat ruang-ruang sempit bersedia
menanti dengan setia dan tabah dan sabar
untuk mengisi
sekujur tubuh yang luput tarikh kehidupannya
di atas muka bumi ini

Bondaku juga tidak terlepas peluang sekali seumur hidupnya itu
Pada usia 84, beliau selamat dikebumikan diruang antara ribuan petak-petak yang
bakal terisi oleh kita juga pada saat ketentuan Esa kelak.

Disaat itulah, ku lihat tangisan syahdu bergema
dari anak-anak, saudara-mara,sahabat handai, rakan-taulan
mula mengenang keistimewaan arwah
seiring surah-surah Fatihah dan Yassin yang senantiasa mekar hanya disekitar pusara itu

Tiba-tiba terhambur satu persoalan dalam benak ku:

Mengapa ditangisi, dikenang, diimbas, disanjung, dipuji, disayangi, dirindui
pada tubuh yang tanpa rohnya lagi
Apakah itu penghormatan yang terakhir atau ianya sekadar
satu kekesalan dalam riwayat hidup kita
kerna tidak mengagungkan hak seorang insan yang
bergelar IBU semasa hayatnya?

Dan teringat ku pada wasiat arwah Nur Rahmah ;

yang masih mampu merasai sentuhan IBU,
hidupkanlah Hari IBU mu
sebelum
hari IBU mu hidup itu.....berakhir.

Idea bawa masuk sarjana Islam boleh diperluas.

Idea bawa masuk sarjana Islam boleh diperluas.

Baru-baru ini, menurut Presiden Muis, Haji Mohd Alami Musa, pihaknya mahu menarik sekumpulan sarjana, ulama dan cendekiawan Islam untuk membantu membimbing umat Islam dalam penafsiran, pemahaman dan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan hari ini. Langkah ini dilihat penting kerana pengetahuan mendalam dan menyeluruh mengenai Al-Quran dapat memelihara masyarakat Islam daripada dipengaruhi anasir yang cuba menyempitkan pemikiran umat Islam.

Akan tetapi bak dijangkakan, usaha ini pasti dianggap oleh segelintir masyarakat kita sebagai meminggirkan/mempertikaikan kebolehan para asatizah dan sarjana Islam setempat selain kos yang perlu ditampung agak tinggi bagi membawa masuk para sarjana luar.

Namun rata-rata menyambut baik langkah pihak Muis kerana berpendapat selain konsep pengajaran Islam itu bakal lebih luas dan praktikal dalam konteks kehidupan hari ini, para sarjana mahupun ulama setempat perlu juga berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan agar ianya tetap relevan walaupun akan timbul persaingan yang sihat dari luar mahupun dalam negeri.

Saya pula berpendapat, ada baiknya juga jika para sarjana luar itu tidak hanya terdiri daripada bangsa atau beragama Islam saja. Mungkin membawa masuk sarjana Barat yang menguasai ilmu Islam umpamanya, dapat memberi kita ' perspektif positif yang berbeza ' tentang Islam dari kacamata dan pengetahuan orang asing.

Pada masa yang sama, usahlah para sarjana luar negara ini diundang semata-mata membicarakan tentang ajaran Islam saja walaupun ianya penting dan genting. Sebaliknya, kita juga boleh diperkenalkan dengan para pengkaji luar negara yang mahir tentang nilai-nilai Melayu. Sebagai contoh, saya tertarik dengan buku berjudul ' Nilai-nilai Melayu.....Satu Sudut Pandangan Orang Luar ' tulisan Laurent Metzger yang diulas secara ringkas oleh Encik Roslie Sidik
( BH, Sabtu, 28 Mac 2009).

Gesaan ini dianggap penting kerana usaha ini boleh menyedarkan kita tentang nilai-nilai Melayu yang positif selaras dengan tuntutan ajaran Islam serta kepercayaan adat/fahaman kuno yang sememangnya 'sah' ditegah oleh Islam tapi masih diamal dan merasa khuatir untuk meninggalkannya.

"Mungkin orang luar boleh sedarkan kita dengan cara dan kreativiti yang lebih berkesan kerana setakat ini 'orang dalam negeri' masih gagal atau terkial-kial nak sahut cabaran ini.....takut dicap durhaka pada bangsa, " seloroh seorang rakan.

Kesimpulannya, jika para sarjana dan ulama diperlukan untuk membantu membimbing umat Islam dalam penafsiran, pemahaman dan nilai-nilai Al-Quran, begitu juga sama pentingnya para cendekiawan memastikan nilai-nilai Melayu tidak disalah tafsir daripada dipengaruhi anasir ( pantang larang/adat songsang ) yang adanya cuba menyempitkan pemikiran bangsa Melayu itu sendiri, tanpa disedari.