Wednesday, October 7, 2009

Amalan dibulan Ramadhan dan Syawal?

Seorang pelancong muallaf hadir dalam satu majlis iftar baru-baru ini. Dan dari pengamatannya, beliau kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh orang Melayu di dalam bulan Ramadhan dan Syawal. Antaranya, bertukar-tukar juadah berbuka sesama jiran, bermaafan dan menziarah kubur di pagi Syawal yang menurutnya, jarang dilakukan diluar bulan Ramadhan dan Syawal.

Dikalangan yang hadir ketika itu sekadar merumuskan bahawa amalan seperti ini merupakan konsep sesuatu bangsa dan kaum saja selagi ianya tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Namun bagi kita, persoalan sebegitu perlu diselongkar dan mencari pengertian yang sebenar disebalik amalan berzaman itu.

Dari aspek agama, kita diwajibkan memohon maaf sejurus melakukan kesilapan ataupun sehingga perasaan dan suasana tegang itu reda. Kita juga dilarang melakukan kesilapan lalu beranggapan boleh ditebus bila menjelang raya nanti.

Menurut seorang ustaz, setelah kita mendidik diri dengan erti kesabaran serta 'membersih' rohani dan jasmani dengan berpuasa dibulan Ramadhan,
mungkin amalan 'bermaafan' bak pelengkap atau pakej dipagi raya oleh sebahagian daripada kita.

Memberi contoh, beliau merasa pelik bilamana ibubapa menyuruh anak-anak yang sejak dilahirkan belum kesempatan bertemu sanak-saudara, disuruh bermaafan serta diminta 'menghalalkan' makan minum menjelang Syawal. Dan ada ibubapa pula merasa bangga anak-anak melakukannya dikhalayak sedangkan amalan sedemikian tidak berasas dalam konteks kehidupan secara rasional.

Mungkin ada berpendapat, suasana gembira di bulan Ramadhan dan Syawal ' memudahkan' kita melakukan amal jariah, bermaafan serta mengambil peluang merapatkan hubungan siratulrahim.

Sebaliknya, ada merasakan amalan seperti bermaafan, kunjung-mengunjung, menziarah kubur serta mengadakan 'rumah terbuka' perlu diamalkan sepanjang masa bukan hanya tertumpu atau 'menunggu' bila tiba bulan tertentu saja.

Kesedaran ini mungkin dapat membantu mencorak pemikiran anak-anak kita untuk mengamalkannya dihari muka.

Tambahan pula, kita tidak mahu memberi isyarat yang salah ke atas bangsa dan kaum lain dalam usaha kita menyambut kemeriahan hari raya.
Dikhuatirkan juga , amalan sebegini boleh menjadi 'ritual' dan disalah anggap oleh saudara baru, umpamanya.

Rasanya jika suasana di kampung pendalaman, amalan sebegini tidak janggal diamalkan. Ini memandangkan anak-anak sering berjauhan dengan keluarga dek merantau/berkerjaya di kota/negeri. Jadi, bila berkesempatan pulang ke kampung halaman setahun sekali, suasana 'bermaafan' dan ziarah menziarahi dengan sanak-saudara sungguh menyentuh hati kerana tidak lama lagi, perlu berpisah semula atas urusan kerjaya.

Tapi jika kita saban hari bertembung dengan sanak-saudara, rakan-taulan, tidakkah 'bercelaru' fikiran anak-anak atau bangsa lain bila melihat kita 'bercucuran airmata' bermaafan bila menjelang Syawal.

Mungkin kita 'tertawa' sendiri melihat amalan-amalan sedemikian, tapi kerana sudah sebati dalam jiwa kita sejak turun temurun, maka agak payah untuk kita menjelaskan duduk perkara atau rasionalnya di sebalik amalan-amalan sedemikian.

Dengan ertikata yang lain, kita perlu bermuhasabah dalam membuat penilaian terhadap apa saja amalan dalam diri dan bangsa kita selama ini
supaya dapat dibina keyakinan yang lebih kukuh dari masa ke masa serta mengekalkan ' kerasionalannya' disebalik amalan-amalan tersebut.
Kita perlu bersedia membimbing anak-anak generasi hari muka dengan fakta-fakta yang bernas lagi kukuh kerana itulah aspek yang didambarkan
oleh golongan tersebut. Kita tidak boleh hanya berbekalkan konsep 'turun temurun' dalam usaha kita mendidik generasi supaya mengembangkan
jati diri,bangsa dan agama kita.

Akhirkata, saya ingin minta 'maaf zahir batin' jika tulisan saya telah menyentak minda dan perasaan para pembaca untuk melakukan satu introspeksi.

Peranan anak menjaga golongan tua

Ungkapan ‘ seorang ibu boleh menyara sepuluh orang anak sebaliknya anak-anak yang ramai belum tentu dapat menjaga seorang ibu ‘ sering diluahkan oleh golongan ibubapa yang samada tinggal bersendirian atau menginap di rumah-rumah tumpangan warga tua.
Cakap mudahnya, anak-anak seperti ini tidak tahu membalas jasa dan budi kerana gagal memainkan peranan serta tanggung-jawab ke atas hak warga tua ini.

Namun ada berpendapat, sepuluh orang anak boleh diberi makan ‘ nasi dan kicap’ saban hari namun bagi seorang warga tua, pengalaman hidup / sikap sensitif / cerewet atau beremosi perlu diambil dalam pertimbangan. Ringkasnya, jaga sepuluh orang anak tidak sama dengan menjaga seorang warga tua.

Walauapapun isu dan alasannya, bagi masyarakat kita pula, selain tuntutan agama, bangsa dan budaya kita amat menitikberatkan aspek menyara ibubapa oleh anak sendiri dalam melayari sisa-sisa usia senja dan nilai ini amat terpuji sekali.

Ringkasnya, ini antara amalan yang terbaik dalam kehidupan anak-anak dalam menjalankan kehidupan dimuka bumi ini.

Namun, tidak semua anak-anak boleh dipertanggung-jawabkan atau dipersalah sekiranya tidak melaksanakan tugas sedemikian. Antara kemungkinan, ibubapa tidak 'ngam' dengan menantu, cerewet, ingin berdikari, enggan membebankan anak/menantu dengan kehadiran mereka, lebih selesa hidup sendirian tanpa dikonkong pergerakkan golongan tua ini.

Oleh itu, usahlah kita lekas menuding jari atau mempersalahkan anak-anak jika mendapati ibubapa tinggal sendirian atau merempat dalam melayari kehidupan seharian mereka sehingga ada yang membawa maut.

Sebenarnya, tanpa diketahui, terkandung banyak isu-isu yang tersurat dan tersirat dalam setiap permasalahan diantara hubungan ibubapa dan anak-anak sehingga perlunya berpisah untuk hidup berasingan.

Tidak mustahil juga, terdapat ibubapa dan anak-anak yang sama-sama duduk berbincang sehingga bersetuju untuk menghantar ibubapa mereka ke pusat tumpangan demi untuk memastikan penjagaan serta pantauan kesihatan terjamin pada setiap masa. Rasanya, cara dan langkah ini lebih baik daripada sekadar menjaga warga tua dirumah yang akhirnya tidak terurus langsung dari segi kesihatan, pemakanan dan juga senanam.

Namun baru-baru ini, ada yang menyarankan jika anak-anak tertakluk pada undang-undang untuk menyara orang tua mereka, tidakkah perlu juga dikenakan undang-undang bagi golongan tua yang 'berdegil' enggan hidup sebumbung dengan anak-anak yang senantiasa mendambakan kehadiran golongan ini?

Persoalannya, sekiranya golongan tua ini masih enggan mengikut perintah, apakah wajar menghukum mereka memandangkan usia serta kesihatan tidak lagi mengizinkan untuk melalui proses hukuman?

Bagi saya, selain rang undang-undang, anak-anak dan ibubapa yang hidup berasingan perlu 'sedar diri' dan 'bertolak ansur' kerana kedua-dua golongan ini secara amali saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Tambahan, ikatan pertalian kekeluargaan antara ibu dan anak tidak perlu terjalin hanya kerana adanya undang-undang. Ianya perlu lahir secara semulajadi sebagaimana kasih-sayang yang diharapkan dari seorang insan.