Tuesday, December 1, 2009

Kaedah baru lahirkan usahawan

Mungkin tidak ramai yang menonton atau tahu akan sebuah rancangan bertajuk Dragon's Den di tv pra-bayar saluran BBC Knowledge. Konsepnya sama seperti rancangan ujibakat dalam bidang seni suara seperti American Idol, Britain Got Talents, Singapore Idol atau Anugerah di Suria dimana setiap peserta diadili dari aspek mutu suara, persembahan serta penampilan oleh para juri yang akhirnya akan menjulang seorang pemenang.

Cuma bezanya, rancangan Dragon's Den memberi fokus dalam mencari dan melahirkan usahawan yang terbaik dikalangan para peserta

Para jurinya terdiri daripada jutawan dan usahawan yang berjaya dan terkenal dalam empayar bidang perniagaan masing-masing. Mereka sanggup melabur demi ingin melihat lebih ramai usahawan dihari muka.

Setiap peserta pula akan menerima pelaburan yang bernilai puluhan hingga ratusan ribu dolar jika produknya berjaya menambat hati para juri.

Yang menariknya, rancangan ini bukan saja mengetengahkan para peniaga baru dan mapan, akan tetapi bagaimana sesuatu produk itu diperkenalkan. Contohnya setiap peserta diberi masa lebih kurang 5 minit untuk menyakinkan para juri tentang produk mereka termasuk carta kewangan, jualan serta keuntungan yang boleh diraih.

Maka itu, tidak hairanlah jika setiap peserta akan bertungkus-lumus sedaya upaya mengetengahkan produk-produk ciptaan mereka. Ada yang tergamam, kaku dalam sesi berhadapan dengan para jutawan dan usahawan itu. Tidak kurang juga ada produk-produk yang gagal berfungsi untuk diketengahkan.

Pun begitu, rancangan ini merangkumi produk seringkas tuala alas tempat duduk tandas awam, buku kanak-kanak sehingga ke mesin-mesin yang mampu membersihkan puluhan lori dalam jangkamasa yang singkat.

Di pihak para juri pula, penilaian dari aspek kemampuan, keberkesanan serta peluang menjana keuntungan sesuatu produk yang diperkenalkan, dipertimbangkan secara serius sebelum sebarang pelaburan diberikan.

Adakalanya, bagi produk-produk yang gagal menarik perhatian para juri, tersemat nasihat-nasihat serta tunjuk ajar secara ringkas yang amat berguna dan berkesan ke atas para peserta dari kacamata dan pengalaman para juri jutawan tersebut. Ini sekaligus memberi peluang peserta atau penonton TV menimba ilmu khususnya bagi individu yang ingin memulakan perniagaan atau berhasrat mengembangkan bisnes mereka.

Aspek-aspek Inilah yang menarik perhatian dan minat saya menonton rancangan ini.

Saya berharap konsep rancangan seperti ini boleh diperkenalkan samada melalui mediamasa seperti rancangan TV ataupun dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan yang ' ikhlash' ingin melahirkan usahawan dihari muka.

Bak serampang dua mata, gesaan ini amat berguna bagi para pelabur kerana dapat berpeluang melihat potensi dan produk para peniaga baru dan mapan. Bagi para peserta pula, konsep ini boleh dijadikan landasan untuk belajar cara-cara menghasilkan produk sendiri, mengetengahkan serta mempromosinya melalui carta kewangan dan jualan.

Secara tidak langsung, kita menyahut gesaan pemerintah dalam usaha melahirkan serta membantu merealisasikan impian para usahawan muda di negara kita ini.