Monday, March 15, 2010

Ujian penilaian diperingkat darjah satu perlu?

Terdapat beberapa buah sekolah rendah khususnya bagi kemasukan kanak-kanak ke darjah satu perlu melalui ujian penilaian.
Matlamatnya bagi memastikan setiap kanak-kanak perlu dikenalpasti diperingkat awal lagi akan kemampuan serta prestasinya dari sudut pemahaman asas seperti bacaan, penggunaan bahasa Inggeris yang ringkas serta pengguasaan ilmu hisab yang mudah.

Daripada saringan ini, dapatlah kanak-kanak ini disalurkan pada kelas-kelas yang tertentu diperingkat darjah satu agar memudahkan guru-guru pula memberi fokus tambahan pada murid-murid yang lemah berbanding murid yang bijak.

Namun rungutan beberapa orang ibubapa jelas kedengaran mengenai sistem ujian penilaian ini dimana ada yang melihat konsep sebegini 'mengasingkan' anak-anak yang lemah daripada bergaul dengan murid yang bijak.

" Kan bagus kalau disatukan dalam kelas dimana budak lemah boleh bergaul dengan murid bijak. Interaksi begini boleh menjadikan budak lemah jadi bijak kan?" luah seorang bapa bersungguh-sungguh pada saya.

Secara berseloroh saya menjawab, " Kalau murid lemah bergaul dengan si pandai lalu jadi bijak ok jugak. Tapi kalau murid bijak jadi bodoh angkara bergaul dengan budak lemah....macamana?"

Perbualan tamat serta-merta disitu.

Memang tidak dinafikan interaksi dan implikasinya ke atas murid yang lemah boleh mendatangkan kebaikan bila bergaul dengan murid yang bijak. Namun ianya juga perlu dilihat pada konteks keadaan dan situasinya.

Contohnya, jika diluar alam persekolahan seperti ditaman permainan umpamanya, pergaulan tidak terbatas dan ianya boleh diterima. Pun begitu, kita pastikan anak-anak kita tidak bergaul sembarangan diluar sana kerana bimbang akan kesan pengaruh negatif yang sering terbayang difikiran kita.

Begitu jugalah dalam aspek pembelajaran di bilik darjah, ( jika disatukan murid lemah dan bijak ) dimana kelancaran mengajar ilmu pengetahuan boleh genjot atau terganggu bilamana murid-murid lemah tidak dapat mengikutinya dengan lancar. Lantas guru-guru perlu mengulang atau memberi fokus pada murid yang lemah sekaligus membantutkan keupayaan/potensi murid bijak yang mampu dalam mengarap ilmu pelajaran dengan mudah.

Dan bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bijak dek hasil pengasuhan/displin yang baik sejak usia diperingkat prasekolah lagi, pergaulan dalam sebuah bilik darjah dengan murid yang lemah pastinya tidak dapat diterima lantas mungkin ujian penilaian menjadi pilihan tepat.

Bukanlah berniat untuk meminggirkan dan mengasingkan murid yang lemah daripada anak kita yang bijak, tapi sistem ujian penilaian memberi ruangan dan peluang khususnya bagi guru-guru membantu pelajar lemah dan mengembangkan lagi potensi pelajar yang bijak dalam bilik darjah secara berasingan. Pada masa yang sama, proses ini memberi mesej pada ibubapa akan potensi dan kemampuan anak-anak mereka bila melalui sistem ujian penilaian ini. Lantas membolehkan ibubapa mengorak langkah membantu dalam proses pembelajaran anak-anak itu pada tahap selanjutnya.

Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang lemah dalam pelajaran, banyak program bantuan, tuisyen disediakan diperingkat sekolah mahupun swasta dengan subsidi diberikan pada keluarga yang kurang mampu.

Kesimpulannya, samada ada perlu atau tidak ujian penilaian bukanlah menjadi satu persoalan getir.

Tapi apa yang diharapkan dan penting ialah diakhir setiap penggal persekolahan, samada seseorang itu lemah ataupun bijak, setiap murid-murid itu lulus dengan baik lagi cemerlang dan berjaya melangkah ke peringkat seterusnya atas dorongan diri sendiri, guru dan sokongan ibubapa.