Tuesday, May 4, 2010

Bijak guna rangkaian 'so.......sial '.

Samada kita sedar ataupun tidak, dunia teknologi maklumat ( IT) telah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Ini termasuklah melakukan kerja sekolah,tugasan ditempat kerja hingga ke urusan peribadi. Pendek kata, dengan penggunaan komputer dan internet, dunia perhubungan melalui proses transaksi, interaksi, komunikasi atau pencarian maklumat serta informasi menjadi semakin mudah, cepat, berkesan dan bermanfaat pada pengguna.

Ironinya, revolusi IT juga membawa bersamanya unsur-unsur negatif dari pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab atau menyalahgunakan kemudahan IT demi kepentingan diri sendiri atau untuk menjurus ke arah yang tidak membawa sebarang kebaikan malah memalukan mangsa.

Contoh terdekat, dewasa ini rangkaian sosial yang wujud di lelaman Internet amat popular sekali bak 'cendawan tumbuh selepas hujan' dan begitu meluas digunakan dan telah menarik ramai pengguna yang berlatar belakang pelbagai usia, bangsa, kemahiran,tahap kematangan dan pengalaman. Asalnya untuk sekadar berinteraksi atau berkongsi informasi atau kegiatan seharian kerana rangkaian sebegini selalunya percuma dan mudah digunakan.

Namun dek kuasa 'penyebaran maklumat ' yang begitu pantas yang adakalanya menjangkau sasaran ribuan pengguna/pengunjung ke lelaman rangkaian sosial ini, lantas ianya dilihat sebagai alat yang amat mudah lagi berkesan untuk samada menyebarkan maklumat berguna atau sebaliknya.

Inilah yang kita dapati baru-baru ini dalam laporan akhbar mengenai penyebaran klip video lucah seorang artis , komen kurang sensitif terhadap agama lain hingga ke membuat kenyataan berbaur perkauman yang boleh dimuat naik/turun di lelaman-lelaman sosial yang disalahguna oleh sebahagian individu yang tidak bertanggung-jawab. Mujurlah pihak berkuasa disini bertindak tegas dalam menangani isu-isu sebegini daripada merebak hingga boleh menjejas aspek hubungan kaum yang harmoni dan aman disini.

Namun timbul satu persoalan, mengapakah dewasa ini perlunya merakam sesuatu adegan yang dianggap peribadi dan sensitif ? Ada berpendapat ianya bak membuka pekung didada.

Lebih memburukkan lagi, bilamana kita ketahui sesuatu yang peribadi berbentuk rakaman, tulisan boleh jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggung-jawab. Dengan ertikata yang lain, bila kita melangkah ke alam internet, syogia diingatkan bahawasanya tanpa disedari, ruang peribadi atau data ( informasi peribadi didalam komputer ) kita sebenarnya boleh juga terdedah pada golongan penggodam biarpun kita punyai perisian anti-virus/godam yang terkini.

Cakap mudahnya, kita boleh digunakan ungkapan seperti musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan bila kita diruang Internet untuk berinteraksi atau berkomunikasi dengan sesiapa sekalipun.
Akhirnya bila sudah terhantuk baru nak terngadah dan padahnya, kita tidak tahu siapakah yang sebenarnya bertanggung-jawab ke atas tindakan yang kurang wajar ini.

Lantas itu, daripada sekadar menuding jari ke atas penggodam dan sebagainya, mungkin kita dapat lebih berhati-hati dan kalau boleh, belajar selok-belok dalam penggunaan Internet dari para pakar perihal phishing, scamming, virus-worms,spyware dan security compromise alert software. Usaha ini penting kerana jika kita tidak awas diruang Internet, kita boleh diibarat pelanduk yang selalu lupakan jerat ( penggodam ), tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Dari itu, berhati-hatilah bila diruang Internet kerana jika lelaman yang berdaftar sekalipun boleh digodam, inikan pula lelaman-lelaman yang percuma yang adakalanya tidaklah seampuh mana daripada digodam.



MOHD IKHLASH ABDULLAH