Sunday, August 1, 2010

Taman bertema boleh pupuk lagi minat baca.

Taman bertema di Sentosa sudahpun dibuka pada orang awam dengan daya tarikan lebih menjurus pada minat golongan kanak-kanak dan remaja.
Namun dek harga tiket serta kos sampingan bersantai di pulau tersebut yang dikatakan agak mahal untuk seisi keluarga, lantas tidak semua khususnya kanak-kanak berpeluang untuk menikmati permainan dan hiburan yang tersedia disana. Ini tidak termasuk golongan kanak-kanak yang kurang berupaya secara fisikal mahupun mental, golongan kanak-kanak miskin untuk tidak turut 'berhibur' di taman bertema ini.

Mungkin taman bertema bakal mempunyai pakej-pakej untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat mengunjungi serta berhibur dan berlibur kerana sokongan yang diberi oleh warga setempat selama ini.

Antaranya yang boleh dipertimbangkan dan diharapkan ialah agar taman bertema ini dapat kiranya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, perpustakaan serta badan-badan kebajikan dalam menganjurkan program seperti memupuk minat membaca dikalangan kanak-kanak. Ianya juga boleh merangkumi anggota keluarga agar dapat merangsang seisi keluarga untuk memupuk minat membaca.

Contohnya, buku-buku dipinjam diperpustakaan atau menghadiri kelas-kelas memupuk minat membaca seisi keluarga diperkenalkan dan diakhir sesi, kanak-kanak atau anggota keluarga yang berjaya dikesan menghayati serta menyemai minat membaca dikalangan diri mahupun anggota keluarga, tiket atau pakej percuma ataupun separuh harga boleh diperkenalkan.

Langkah permulaan sebegini boleh dalam jangka panjang menarik lebih ramai menyemai minat membaca selagi program/skim yang diperkenalkan oleh badan-badan setempat itu berkesan dan relevan dalam konteks kehidupan hari ini.


MOHD IKHLASH ABDULLAH