Sunday, November 7, 2010

Lestari amalan gaya hidup sihat

Lestari amalan gaya hidup sihat.

Kajian Kesihatan Nasional di Singapura menunjukkan sejumlah orang dewasa gemuk berusia 18 tahun hingga 69 tahun, telah meningkat daripada 5.1 peratus pada 1992 kepada 6.9 peratus pada 2004.
Menurut HPB, walaupun kadarnya dikatakan mendatar namun bilangannya telah meningkat secara perlahan-lahan sepanjang beberapa tahun lalu.
Kita sedar akan risiko mempunyai berat badan yang berlebihan kerana ianya boleh dikaitkan dengan penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, beberapa jenis barah dan masalah tulang reput.Tambahan pula, di Singapura, sumber tenaga manusia adalah satu-satunya aset yang amat berharga khususnya bagi syarikat dan ekonomi negara.
Atas dasar itu, ada beberapa syarikat telah memperkenalkan dan mengamalkan gaya hidup sihat dikalangan para pekerja dengan pelbagai cara. Antaranya dengan aktiviti bersenam sekali dalam sebulan atau memberi hamper yang mengandungi diet yang sihat setiap hujung tahun. Cara begini walaupun baik namun kesan jangka pendek/panjang untuk mencapai matlamat gaya hidup sihat tidak kesampaian kerana sikap dan semangat untuk bersenam hanya tertumpu pada waktu tertentu dan dipengaruhi oleh pemintaan syarikat.
Seperkara lagi, tidak banyak syarikat yang menyimpan dengan betul maklumat tentang perkembangan kesihatan para pekerjanya melalui acara/aktiviti yang dianjurkan setiap bulan. Cakap mudah, acara sesi sebegini bak melepas batuk ditangga saja.

Mungkin kejayaan menganjurkan pertandingan Lose to Win Challenge tahun lalu oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) sempena Kempen Gaya Hidup Sihat 2009 boleh dijadikan contoh dan disertai oleh lebih banyak lagi syarikat agar setiap sesi/aktiviti/program yang dianjurkan lebih tersusun lagi berkesan. Ini selain meningkatkan lagi inspirasi serta merangsang para peserta untuk samada menurunkan berat badan atau mengamalkan gaya hidup sihat mereka sepanjang hidup. Tidak dinafikan, dengan adanya kesihatan yang baik, tahap kecergasan setiap individu akan terus meningkat.
Ada berpendapat sudah masanya habuan 'wang' boleh juga dijadikan umpan untuk memastikan peserta benar-benar serius menjalani aktiviti/sesi gaya hidup sihat. Antaranya peserta yang berjaya menurunkan berat badan atau mampu meningkatkan aktiviti fizikal sepanjang masa diberikan semacam wang bonus tambahan setiap hujung tahun.
Dengan cara begini, peserta akan melakukan senanam atau menyemai aktiviti gaya hidup sihat diluar rutin syarikat dan kesannya, majikan dapat mengenalpasti golongan yang serius atau sebaliknya.
Mungkin HPB dapat mengolah langkah pertama agar boleh disusuli oleh syarikat awam/swasta dan pertubuhan/agensi setempat yang lainnya.
MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH