Monday, January 4, 2010

Masyarakat pantai - satu cemuhan ?

Sedih, pilu dan menyayat hati bila terpapar kisah sekelompok kecil dari kalangan masyarakat kita yang akhirnya terpaksa terdampar dipersisiran pantai dek tiadanya tempat berteduh mahupun bergantung nasib. Dan lebih menyentuh hati bilamana anak-anak seawal bayi lagi turut terlibat sama menanggung beban yang 'dicipta' oleh ibubapa mereka yang kini menghantui dan menjadi keprihatinan masyarakat umum pula. KESIAN.

Mujur ada beberapa badan bantu diri yang sudi membantu. SYABAS.

Namun apakah kisah-kisah seumpama ini yang sering mendapat simpati dan menimbulkan keprihatinan dikalangan masyarakat umum 'disedari' oleh golongan terpinggir ini?

Ada berpendapat, rata-rata kelompok ini samada buta huruf atau kurang membaca tentang perkembangan setempat termasuk saluran - saluran yang ada untuk membantu mereka. Dan diburukkan lagi, lingkungan pergaulan kelompok ini juga mempunyai tahap pemikiran yang sama ( mindset ) bobrok. Ini diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.

Justeru, tanpa disedari, mesej dan keprihatinan sebegini rata-rata digarap oleh anggota masyarakat yang hidup lebih stabil dan menjadikan kisah sebegini sebagai sandaran dan tauladan dalam melayari kehidupan seharian.

Lantas, timbul persoalan bagaimana untuk menyedarkan 'masyarakat pantai' atau kelompok terpinggir ini ?
Mungkin setakat ini , cara badan kebajikan membuat lawatan rambang ( survey ) di pantai memang bagus dan dapat membantu kelompok yang terjejas dengan bantuan yang diperlukan. Tapi kaedah begini dikhuatiri menjadi ikutan kelompok lain yang mempunyai masalah dengan beranggapan akan ada kebajikan untuk mereka juga kelak. Bak kata seorang rakan secara sinis, " kalau ada masalah, duduk tepi pantai. Pasti ada badan kebajikan datang menolong."

Saya pula berpendapat usahlah kita 'pinggir' kan golongan ini dengan kata-kata dan harapan yang berbau semacam berputus-asa ke atas kelompok yang sememangnya daif lagi dangkal ini. Sebaliknya , anggaplah ianya sebagai satu cabaran dan tanggung-jawab kita dalam menangani kes-kes sebegini sebagai satu unit keluarga dalam masyarakat kita. Cakap mudahnya, kita perlu cabut akar-akarnya dan jangan beri peluang untuk berbenih atau berakar semula.

Contoh, kisah sebegini sering dijadikan drama atau doku-drama dikaca TV dengan harapan dapat membantu. Malangnya tanpa disedari, rancangan sebegini mungkin meraih ( target audience ) yang sememangnya membentuk keluarga sakinah dan kalau adapun keluarga yang perlukan bantuan, mereka tidak sedar sasaran rancangan sebegini untuk mereka sebenarnya.

Sebaliknya, kita memerlukan rancangan ala realiti yang mana para penonton boleh diajar mengenalpasti, bantu serta bagaimana merujukkan golongan ini ( yang berisiko ) pada pihak-pihak tertentu.

Jika ini dapat dilakukan, beban dan kos tenaga dari usaha badan kebajikan untuk mengenalpasti masalah-masalah sebegini dapat dikurangkan dan boleh memberi fokus pada usaha memulih/ memberi bantuan dengan lebih berkesan.

Cakap mudahnya , masyarakat umum perlu laksanakan peranan sewajarnya sebagai 'informer' lantas memudahkan badan bantu diri menjalankan langkah selanjutnya sebelum kes-kes menjadi wabak virus yang merebak dan tidak terkawal lagi. Bak peribahasa, berat sama dipikul, ringin sama dijinjing.

Kesimpulannya, usahlah kita malu dengan kisah-kisah yang memalukan dari sekelompok masyarakat kita yang
sebenarnya juga berasa malu kerana terpinggir dari arus nasional.