Tuesday, February 2, 2010

Wujudkan Tabung baru - Penting atau genting?

Kita mempunyai puluhan pertubuhan masyarakat, kebajikan, badan bantu diri,masjid, madrasah, rumah peralihan/tumpangan dan sebagainya. Dan setiap satunya mempunyai peranan dan tanggung-jawab yang ingin dilaksanakan bagi tujuan kemaslahatan umum. Pada masa yang sama, faktor penggerak seperti kos, sumber tenaga serta penyelenggaraan turut diambil kira agar setiap program/kursus/bantuan yang disediakan tidak genjot angkara kekurangan dana atau mengalami defisit. Maka itu, setiap institusi dan pertubuhan ( ada dapat peratusan kecil subsidi atau pelepasan cukai dari pemerintah ), selainnya perlu ditanggung sendiri oleh badan tersebut. Maka itu tabung derma atau dana dari masyarakat setempat amat diperlukan dari masa ke semasa.

Lantas tidak hairanlah jika setiap badan akan berusaha dengan segenap tenaga/minda/projek dan pendekatan kreatif diadakan demi untuk meraih dana. Ianya boleh meliputi dari projek amal, majlis syarahan hingga ke konsert bagi tujuan memungut derma diperkenalkan. Dan sebagai penderma, kita sering disuguh atau berdepan dengan bermacam bentuk tabung dana dari pelbagai persatuan/pertubuhan saban waktu untuk diisi.

Justeru, ada badan yang berjaya mengumpul dana saban tahun tanpa sebarang masalah. Ini berlandaskan projek dan pengurusan dana yang perkenalkan dengan pendekatan yang innovatif lagi kreatif. Sebaliknya, terdapat badan-badan yang masih ' tercungap' dari aspek meraih dana dari orangramai.

Bagi menyelamatkan 'jurang' diantara badan-badan kebajikan, ada berpendapat diwujudkan satu tabung yang mewakili setiap badan/pertubuhan kebajikan. Cadangan ini tampak mudah dimana setiap terkumpulnya dana dari orangramai, maka dibahagikan ke atas setiap badan-badan mengikut tuntutan dan keperluannya.

Pendekatan sebegini bukan saja memudahkan orangramai menyumbang derma tanpa perlu pilih kasih/tabung, tapi boleh menambah dana dengan mudah dan cepat. Ini memandangkan setiap penderma akan memberi fokus ke atas satu dana saja.

Namun ada beberapa perkara yang perlu dikemaskini sebelum mewujudkan satu tabung. Antaranya :

- badan yang sekian lama berjaya meraih dana yang besar perlu bersedia atau bermurah hati terlebih dahulu untuk berkongsi ilmu innovatif/kreatif dan
kepakarannya. Ini termasuk keupayaan menjana derma yang besar pada setiap projek dari orangramai.

- badan yang kurang berjaya meraih dana selama ini usahlah bersikap bak menangguk di air keruh dan berharap mendapat habuan tanpa berusaha gigih.

-Jawatankuasa yang dibentuk untuk menjaga tabung ini perlu bersikap adil dan saksama. Contohnya, tidak boleh mempertikaikan keberkesanan
projek/kursus/program yang berjaya dijalankan oleh badan dengan pulangan derma yang lumayan.
Atau membantutkan usaha badan-badan yang sememangnya terbukti akan kemampuan meraih derma melalui projek-projeknya.

- Mampukah dipastikan tiada lagi badan yang mengalami defisit atau program kendalian yang tergendala angkara kekurangan dana.
Atau mewujudkan satu tabung tidak akan menimbulkan duplikasi ke atas tujuan.matlamat dan peranan yang ingin disalurkan pada masyarakat.

Mungkin banyak lagi perincian yang boleh diusulkan dan dibincangkan secara rasional dan berhemah tanpa perlu tekanan atau terburu-buru dari mana-mana pihak. Ibarat menarik rambut didalam tepung, implikasi dari setiap perbincangan daripada pelbagai pihak diharapkan dapat membuahkan hasil bagi manfaat masyarakat.

Jika tidak, adalah lebih baik membiarkan cadangan ini dibincangkan di hari muka pada masa yang sesuai.


MOHD IKHLASH ABDULLAH.