Tuesday, April 6, 2010

Tiket pakej umrah yang meragukan?

Baru-baru ini, rakan saya terkejut menerima satu panggilan talipon daripada salah sebuah syarikat Melayu setempat. Menurutnya, nama beliau telah tersenarai lalu dipilih untuk mendapat 2 keping tiket umrah selama 10 hari termasuk kos penginapan dan jamuan makan bernilai hampir 10 ribu dolar. Namun ada syaratnya. Beliau perlu hadir ke pejabat syarikat tersebut untuk mendengar taklimat mengenai bidang perniagaan syarikat tersebut yang lebih menjurus ke arah hartanah dan pelaburan terlebih dahulu. Dan tambahnya lagi, dari perbualan dengan pegawai perhubungan tersebut, dapat beliau rasakan mungkin tidak akan menerima tiket tersebut jika menolak sebarang tawaran dari hasil taklimat tersebut.

Mujurlah sebelum menghadiri taklimat tersebut, kisah 'durian runtuh' nya dikongsi dengan saya. Mungkin niatnya untuk mendapatkan sedikit pandangan saya.
Secara ringkas, saya menjelaskan bahawa jika niat sesebuah syarikat untuk 'memberi' sesuatu tanpa mempunyai muslihat disebaliknya, pastinya tiada syarat perlu ditetapkan terlebih dahulu. Ini kerana tiada kaitan langsung hadiah percuma ( tiket pakej umrah ) dengan taklimat pelaburan hartanah dan perhotelan.


Sebagai contoh, lihat saja syarikat Second Chance atau Cabaran Kereta Subaru dimana pemenang diberikan hadiah tersebut tanpa taklimat mengenai perkembangan pakaian atau engin kereta terkini. Mudah dan puas hati si penerima.

Namun pendekatan atau strategi pemasaran segelintir syarikat menggunakan label ( agama ) seperti tiket pakej umrah amat mengelirukan dan boleh dianggap tidak bertanggung-jawab. Masih ingatkah beberapa tahun lalu disekitar Orchard Road dimana individu-individu yang mewakili majikan mereka akan memberi hadiah percuma bernilai ribuan dolar pada pejalan kaki ( mangsa) setelah dipaksa mendengar taklimat yang berupa pelaburan dan sebagainya.

Sebagai contoh, jika kita ingin menderma atau membantu secara jujur dan ikhlas, tidaklah perlu kita menetapkan syarat tertentu yang akhirnya si penerima merasakan terhutang budi atau terikat dengan tindakan kita. Dan jika kita yakin dengan potfolio syarikat kita yang boleh menjana pelaburan ribu/jutaan dolar, mengapa tidak menjadikan atau menjemput bank-bank setempat sebagai pelanggan kita?

Dan saya juga agak musykil apakah motif memberi hadiah berbentuk tiket yang berjumlah ribuan dolar hanya untuk mengerjakan umrah? Tidakkah terlintas difikiran yang waras dan rasional betapa wang sebanyak itu boleh disalurkan pada perkara-perkara yang lebih mendesak. Ada berpendapat adalah lebih genting untuk membelanjakan kos sebegitu pada pembangunan individu khususnya kanak-kanak yang tercicir dari aspek pelajaran, ibu tunggal atau keluarga yang mengalami kemiskinan dan sebagainya.

Sayangnya, masih terdapat segelintir ( tidak semua syarikat ) yang masih dan cuba menangguk di air yang keruh. Dengan ertikata yang lain, mengambil kesempatan daripada ketelusan dan kepercayaan orang Melayu kita untuk kepentingan dan keuntungan syarikat. Maka diperkenalkanlah skim-skim pelaburan dalam bidang hartanah dan mata wang kononnya untuk membantu bangsa sendiri meraih keuntungan sambil mengabui mata rakyat jelata dengan 'durian runtuh' seperti tiket umrah,pakej melancong dan sebagainya.

Dan akhirnya, terpapar kisah demi kisah warga setempat yang 'tertipu' dengan helah dan taktik licik syarikat-syarikat yang tidak bertanggung-jawab itu.

Lantas saya menyeru agar setiap 'durian runtuh' yang diterima dari mana-mana pihak dengan kaedah yang tidak disangkakan/ meragukan biarpun ianya syarikat Melayu setempat yang sudah bertapak dan terkenal sekalipun, selidik atau laporkan pada pihak berkuasa agar setiap tawaran, pelaburan dan sebagainya mendapat perhatian yang sewajarnya. Dengan langkah sebegini, bukan saja warga setempat tidak terpedaya malah memberi mesej yang jelas pada mana-mana syarikat untuk senantiasa berfungsi dengan penuh hemah.