Wednesday, June 2, 2010

Penerima Faraid supaya bersikap ihsan.

Hukum faraid ialah ilmu yang menerangkan cara pembahagian harta pusaka kepada anggota waris si mati mengikut ketentuan dan berdasarkan pada sumber serta dalil agama Islam di dalam Al-Quran. (Surah An-Nisaa', ayat 11)

Ringkasnya, harta pusaka ialah barang peninggalan si mati , baik berupa harta benda, hak atau aset yang mempunyai nilai kebendaan yang dibenarkan syariat untuk dipusakai oleh ahli waris iaitu orang-orang yang berhak mewarisi harta pusaka si mati berdasarkan hubungan dengan si mati.

Dan selepas melalui proses sijil warisan serta selesai menyempurnakan hak si mati antaranya membiayai pengurusan/pengebumian serta melunaskan hutang yang bersangkutan dengan tanggungan si mati, barulah si waris boleh meraih bahagian masing-masing daripada harta pusaka si mati.

Rata-rata proses bersangkutan isu faraid disini jarang menimbulkan sebarang masalah teknikal mahupun pentadbiran.

Namun persoalan yang jarang disentuh ialah sikap segelintir anggota keluarga selepas menerima pembahagiannya.

Contohnya baru-baru ini, seorang isteri yang kehilangan sang suami terpaksa menyara hidup bersama dua orang anak perempuannya yang masih bersekolah

Ini memandangkan waris si mati yang telah menerima bahagian masing-masing seolah-olah 'lepas tangan' daripada membantu keluarga si mati.
Difahamkan juga, ketika suaminya masih hidup, waris si mati tidak pula menjenguk dan bertanya khabar atau menunjukkan sikap keprihatinan ke atas keluarga si mati walaupun mempunyai hubungan saudara kandung.

Sebaliknya, sejurus kematian, hukum faraid dituntut oleh setiap waris si mati.

Dalam kes sebegini, ada beranggapan harta pusaka yang dimiliki kini adalah hak si waris sekaligus bukan tanggung-jawabnya untuk membantu iparnya yang sedang melanda masalah menggunakan hasil pusaka tersebut.

Menurut pendapat si waris lagi, pemilikan harta benda dan bersikap ihsan ke atas balu/anak-anak si mati adalah dua perkara yang berbeza dari kacamata si waris.

Memang tidak semua yang berkelakuan sedemikian tapi kita perlu bersikap ihsan ke atas hasil orang lain yang kita raih.
Walaupun wang itu hak kita, namun sikap kita perlu diberi keutamaan dari sekadar kepentingan wang ringgit semata mata.

Isu seperti ini juga perlu dititikberatkan oleh pihak institusi agama dan badan setempat dalam menguruskan hukum faraid. Cakap mudahnya, ketika mengagihkan harta pada anggota si waris, selitkan juga program-program atau nasihat perihal sikap keihsanan yang perlu ada dalam setiap diri individu terhadap keluarga si mati/balu dan anak-anaknya.

Bayangkan jika si penerima itu masih bujang atau tiada tanggungan, ada baiknya harta pusaka yang diterima mengikut hukum faraid disedekahkan kembali pada keluarga yang baru kehilangan ketua keluarga itu.

Kesepakatan dan kefahaman secara rasional lagi hemah dari pihak para waris perlu memandangkan keluarga yang baru kehilangan seorang anggota keluarga perlu
berdikari ,menyesuaikan diri dan adakalanya bantuan kewangan. Usahlah kita bak menangguk di air keruh bila melihat anggota keluarga lain sedang dalam kesusahan.

Semoga hukum faraid ini menjadi landasan dan saluran untuk kita menjadi lebih berhemah, tanggung-jawab dan prihatin ke atas para anggota keluarga yang lainnya.