Tuesday, December 6, 2011

Penglibatan ibubapa dalam kegiatan sekolah perlu punyai batas.

Ramai dikalangan pendidik mahupun guru-guru disekolah dan maktab setempat menyambut baik akan peningkatan

pada peratusan bilangan ibubapa yang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sekolah anak mereka.



Berbanding hanya 40 peratus apabila Compass dibentuk pada 1998, kini penglibatan ibu bapa dalam pelbagai kegiatan

luar darjah menerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) telah meningkat sekitar 96 peratus daripada kesemua 350 sekolah rendah, menengah

dan maktab rendah.



Menurut beberapa orang guru, perkembangan angka peratusan ini amat penting kerana ianya jelas menunjukkan penglibatan ibubapa

mampu merangsang para pelajar untuk terus bersemangat dan bergiat aktif dalam proses pembelajaran serta bermotivasi tinggi dalam

kegiatan luar darjah.



Namun ada segelintir guru yang merasakan ‘penglibatan’ para ibubapa perlu diurus melalui garis-pandu yang jelas lagi konkrit.



Contohnya, dengan ramai dikalangan para ibubapa yang melibatkan diri dalam program dan kegiatan di sekolah punyai pengetahuan, kerjaya atau pengalaman hidup berbeza-beza , maka tidak mustahil akan timbul ‘tidak kesefahaman’ dalam mengatur/anjurkan kegiatan masing-masing.



Cakap mudahnya, sesi perkongsian atau interaksi demi untuk mewujudkan sesuatu kegiatan boleh dicemari oleh nilai-nilai negatif seperti pentingkan diri sendiri, agenda tertentu, tidak menerima pandangan orang lain atau gagal melihat proses ‘penglibatan’ pada perspektif yang betul lagi positif.



Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah para pelajar yang sepatutnya meraih kemahiran hidup menerusi perkongsian /interaksi melalui pelbagai kegiatan yang dianjurkan antara guru dengan ibu bapa.



Lantas adalah penting dalam usaha kita berkobar-kobar menarik seramai mungkin ibubapa dalam aktiviti sekolah, perlu juga diimbangi

dengan langkah-langkah pencegahan agar tidak kelihatan seperti setiap kegiatan itu dimonopoli dan diuruskan oleh ibubapa kerana akhirnya langkah sebegini akan merugikan semua pihak.



Pada masa yang sama, usaha Compass mendekati lebih ramai ibu bapa dan PSG supaya ibu bapa dapat melibatkan diri secara aktif dalam pendidikan anak mereka perlu juga diselit dan pastikan garis pandu ‘penglibatan’ perlu difahami oleh ibubapa itu.

Tuesday, November 1, 2011

Perlu tahu erti beri nasihat.

Dalam suasana lebaran, mengunjung bersama keluarga ke rumah sanak-saudara dan rakan-taulan demi menyemarakkan lagi kegembiraan Syawal disamping merapatkan lagi tali persaudaraan sesama kita amat didambakan. Ini kerana peluang dan ruang untuk melakukan diluar bulan Syawal agak terbatas dek kesibukan ehwal masing-masing.

Dan di saat itulah, seringkali selain bertanya khabar dan perkembangan diri/keluarga masing-masing, ada dikalangan ketua atau ahli keluarga akan menyelitkan kata-kata nasihat demi kebaikan bersama.

Dalam hal ini, pastinya kita pernah dengar seruan agar menerima apa yang disampaikan lebih penting daripada melihat siapa yang menyampaikannya.

Lantas terdapat segelintir golongan yang berpengalaman, pengaruh, berusia atau bijak pandai sering merasakan perlu mengatur laluan hidup orang-orang disekelilingnya dengan memberi nasihat/buah fikiran/pandangan.

Namun dalam konteks hari ini, gesaan ini perlu disemak kembali kerana ramai yang 'gemar' memberi komen/nasihat tapi adakalanya lupa untuk mencermin diri sendiri.

Sebagai contoh, seorang pakcik yang sudah berusia memberi leteran perihal manfaatnya menjaga kesihatan dan pemakanan ke atas tetamu yang hadir di rumahnya. Sayangnya, beliau merokok ketika menegur kanak-kanak yang tidak henti-henti menjamu selera saat itu.

Pada kesempatan yang lain pula, pasangan suami-isteri yang saban tahun menerima bantuan kewangan dari badan kebajikan setempat menegur secara sinis akan amalan kanak-kanak yang gemar menabung dan berjimat ketika mendapat duit raya.

Ini belum termasuk pengalaman pasangn suami-isteri yang sudah bercucu diberi tips kehidupan berumahtangga dari seorang belia yang baru selesai khusus kaunseling diperingkat ijazahnya.

Dan baru-baru ini, kecoh kisah kanak-kanak yang didera yang disiarkan di Berita Minggu beberapa hari sebelum lebaran menjadi tajuk perbincangan ketika berkunjung ke rumah sahabat handai.

Rata-rata mengecam tindakan keluarga asuhan kanak-kanak itu yang mendera mangsa secara jasmani.
Sayangnya, tanpa disedari kita juga adakalanya 'dera' anak-anak kita secara emosi.

Contohnya, anak-anak diheret berjalan raya hingga larut malam dalam keadaan anak-anak itu yang sudah penat, ngantuk lagi letih.
Ada pula yang membanding-bandingkan reputasi akademik kanak-kanak disaat berkunjung dan beramah mesra dirumah saudara mara kita.

Lebih buruk jika anak-anak gadis dipaksa untuk berpakaian raya dengan tidak memenuhi ciri-ciri pakaian muslimah atau sopan. Malangnya, anak-anak ini tiada pilihan untuk bersuara lantas mengikut saja rentak 'kealpaan' ibubapa sebegini.

Kesimpulannya, jika kita tegur kalangan golongan sebegini kelak dianggap sebagai biadab tapi jika dibiarkan, kesedaran diri tidak akan wujud dihari muka.

Walauapapun, usaha kita ke arah menyedarkan golongan ini biarlah bak seperti menarik rambut didalam tepung.
Ini agar setiap insan tahu dan sedar akan kelemahan/kekuatan minda/pandangan masing-masing agar kita tidak seperti si bodoh makanan si pandai.

Dan lebih baik jika kita bak penjaga perigi yang tidak akan haus kerana senantiasa diri ini diisi dengan ilmu serta pengalaman yang terkandung ilmu pengetahuan yang dapat memanfaatkan semua.


MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Wednesday, October 19, 2011

Atasi isu belanja majlis perkahwinan dengan penuh hemah.

Baru-baru ini, isu wang hantaran dan belanja majlis perkahwinan mendapat perhatian masyarakat kita mungkin dek kosnya yang melambung tinggi hingga mencecah ribuan dolar. Ini tidak termasuk lokasi yang bukan lagi setakat dikolong blok tapi di hotel lima bintang, tepi pantai atau di atas kapal peleseran.



Lantas sebahagian dari kita setakat mengkritik tanpa mencari saluran alternatif bagi isu ini.



Secara umumnya, kita melihat daya kekuatan ekonomi orang kita dalam menjalankan majlis perkahwinan sudah berkembang berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Dengan ertikata yang lain, ianya satu perkembangan yang positif dikalangan masyarakat kita.



Ini kerana secara rambang, jutaan dolar dihabiskan dalam jangka masa setahun mengendalikan majlis perkahwinan. Cakap mudahnya, bisnes pakej perkahwinan semakin berkembang dengan pelbagai pilihan terbentang luas bagi para mempelai.



Namun timbul keraguan tentang tahap ketahanan hubungan rumahtangga itu sendiri kerana kadar penceraian dikalangan orang kita juga amat membimbangkan. Lantas timbul gesaan dari institusi agama atau ulama setempat agar mengukuhkan hubungan rumahtangga lebih penting dan genting dari setakat majlis yang gah semata-mata.



Ini kerana ada pasangan yang masih terperangkap dalam melunaskan hutang kos perkahwinan sehingga membawa pada masalah yang lain.



Namun persoalannya sejauh mana mesej ( berjimat dalam majlis perkahwinan ) boleh dilestarikan dikalangan orang kita. Ini memandangkan jika ‘trend’ terkini untuk berhabisan setakat ingin menjadi raja sehari, apakah alternatif yang boleh dipraktikkan mengikut lunas-lunas budaya dan agama.



Ada berpendapat, kita perlu wujudkan lebih banyak pakej perkahwinan dibawah satu bumbung ( segala keperluan dalam majlis perkahwinan ) yang boleh diadakan dimasjid-masjid setempat pada setiap hujung minggu dengan kos yang lebih rendah. Selain itu, banyak perkara yang bermanfaat boleh diraih samada oleh pasangan pengantin mahupun para jemputan. Antaranya, cara pemakaian yang sopan, diselit sedikit syarahan agama, dendangan nasyid dan banyak lagi aspek yang diharap boleh difikir atau ketengahkan antara para mempelai dan pihak masjid.



Jika trend ( majlis perkahwinan di masjid ) sebegini dapat digembar-gemburkan melalui mediamassa atau iklan dengan kos yang berpatutan, pastinya lambat laun, tumpuan bakal mempelai boleh berubah.



Pada masa yang sama, pihak masjid secara tidak langsung telah mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam perniagaan pakej perkahwinan. Siapa yang lebih kreatif dan berdaya tahan akan terus maju dalam perniagaannya.





MOHD IKHLASH ABDULLAH

Wednesday, September 7, 2011

Jagalah hak orang lain bila hadiri majlis ilmu.

Dalam menyemarakkan kehangatan Bulan Bahasa tahun ini, pelbagai usaha telah digerakkan oleh badan bertindak dalam mempergiat serta mempromosi bahasa/budaya
dikalangan masyarakat kita. Ini termasuk tahun ini, sebanyak 41 kegiatan bahasa – termasuk persembahan, peraduan, ceramah dan bengkel – akan dianjurkan pelbagai pertubuhan Melayu seperti Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ini satu perkembangan yang baik demi memberi fokus pada pentingnya mengekal warisan bahasa Melayu dan mewariskannya kepada generasi masa depan.

Namun dalam keghairahan menyambut dan menyahut seruan mengekalkan ' warisan bahasa dan budaya' kita, soal adab juga perlu diambil kira ketika mengikuti sebarang bengkel/ceramah yang diadakan.

Sayangnya, masih ada segelintir dari kalangan kita yang tidak dapat membezakan antara sesi ceramah/bengkel yang memerlukan fokus dalam pemahaman/pendengaran dengan aktiviti seperti fiesta keluarga ditepi pantai.

Cakap mudahnya, tidak semua kegiatan yang dianjurkan boleh dihadiri bersama keluarga khususnya bagi yang membawa bersama bayi atau kanak-kanak kecil.

Ini kerana naluri semulajadi kanak-kanak dalam lingkungan usia sedemikian tidak dapat memberi fokus/tidak membuat bising atau mengganggu ketenteraman majlis yang memerlukan kita fokus dan khusyuk ke atas isu-isu yang dikupas oleh para pensyarah.

Mungkin ada keluarga beranggapan membawa anak-anak bukan saja merapatkan hubungan kekeluargaan sebaliknya mendidik anak-anak berjinak-jinak dalam majlis-majlis seperti ini.

Pandangan sedemikian boleh dikongsi dan dikaitkan sama ke atas isu ' Kanak-kanak dilayan seperti jemaah kelas kedua di masjid '.

Ada berpendapat dalam hal sedemikian, adakalanya keluarga yang terlibat bak cuba menegakkan benang yang basah bila bertindak membawa anak-anak samada ke majlis formal mahupun inginkan anak-anak diletakkan di saf yang pertama. Kita samasekali lupa atau lalai perihal dan kewajipan hak orang-orang disekeliling kita.

Kita juga perlu sedar bilamana anak-anak kita tidak terkawal dalam satu-satu majlis itu, maka dengan sendirinya hak-hak individu lain yang hadir
demi untuk menyelami setiap butir penerangan/ilmu yang disampaikan oleh pensyarah sudah dinodai oleh tindakan kita.

Saya membawa contoh baru-baru ini dimana Lembaga Perpustakaan Daerah Woodland telah mengadakan sesi bersama Habiburrahman El-Shirazy iaitu penulis novel terkenal Ayat-Ayat Cinta.

Untuk pengetahuan pembaca semua, menurut Encik Tommy Tamtomo, Pengarah Utama Penerbit Republika dalam acara bedah buku di Gramedia Matraman, Jakarta beberapa waktu lalu bahawa buku tersebut sudah dicetak lebih 30 kali dengan jumlah hampir/mungkin mencapai lebih 300 ribu bilangannya.

Malangnya, kehadiran dan ucapan serta perkongsian ilmunya seakan-akan dinodai oleh segelintir individu yang saya rasa, kurang bersedia untuk sesi-sesi sebegini kerana ianya diselang-seli dengan suara anak yang menangis,bermain,berkejaran serta riuh rendah dibuatnya.

Sehingga akhirnya, saya samakan sesi ini dengan sesi bertemu ibubapa ditadika setempat setiap hujung tahun atau fiesta keluarga ditepi pantai gayanya.

Kesimpulannya, diakhir sesi itu, saya tidak raih ilmu dari ayat-ayat cinta tapi suara-suara memekak.

Thursday, August 4, 2011

Peranan para aktivis perlu diperluas atau dipantau?

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong telah menarik perhatian bahawa menyusuli pilihan raya umum lalu, timbul kritikan terhadap aktivis-aktivis akar umbi yang dikatakan melindungi Anggota-Anggota Parlimen daripada para penduduk, tidak begitu responsif kepada keperluan penduduk dan tidak berterus-terang dalam memberi maklum balas.
( BH, Isnin, 30 Mei 2011 )

Rata-rata mungkin bersetuju dan akur tentang kemungkinan ada segelintir pemimpin akar umbi yang menapis maklum balas kepada AP. Namun ada berpendapat timbulnya kritikan sebegini mungkin disebabkan dek kemampuan para pemimpin akar umbi agak terbatas dari segi waktu dan kefahaman tentang prosedur-prosedur tertentu.

Bagi pendapat saya, walau apa pun alasan disebalik timbulnya isu ini, usah biarkan isu yang sering dianggap sebagai yang terpencil kerana kelak ianya bak nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dengan ertikata yang lain, selain aktivis akar umbi termasuk juga jawatankuasa penduduk (RC) perlu melihat usaha dan peranan mereka selama ini sebagai sumbangan ke atas warga dan negara dan bukan tersemat agenda peribadi. ( BH, 3 Jun 2011 – Bersikap betul tangani perubahan )

Cakap mudahnya, usahlah kita melaksanakan sesuatu program/tugasan dibawah naungan jawatankuasa penduduk ( RC) hanya untuk bersaing, bermegah, mengampu atau mendapat pangkat/darjat dari kacamata para Anggota Parlimen.

Sebaliknya, jika para anggota jawatankuasa penduduk ( RC ) ternyata hebat dalam merancang serta mampu menggembleng tenaga sukarelawan dalam menjalankan program/aktiviti yang bermutu lagi berkesan ke atas para penduduk dikawasannya, maka sudah tiba masanya juga jawatankuasa penduduk (RC) dipindahkan ke zon yang lain agar ‘keberhasilan’ program/aktivitinya dapat dipelajari atau dimanfaatkan oleh para penduduk dibawah jawatankuasa penduduk di zon yang lain.

Jika ini tidak dilakukan, kelak ( mungkin) akan timbul pula kroni-kroni yang lebih selesa untuk bergerak atau menggerakkan aktiviti/program kemasyarakatan mereka dikawasan atau dikalangan mereka sahaja.

Pada masa yang sama, para AP juga perlu sedar samada program/aktiviti yang dianjurkan oleh jawatankuasa penduduk (RC) mendapat maklum-balas yang telus lagi jujur daripada sukarelawan yang bergiat dibawah naungan (RC) atau para hadirin/jemputan yang memeriahkan program/aktiviti tersebut.
( Pemimpin Melayu dicabar perubahan - BH, Jumaat, 17 Jun 2011 ).

Akhirkata, kita berterimakasih ke atas jasa/masa/tenaga yang telah disumbangkan oleh para aktivis,jawatankuasa serta sukarelawan dalam menjalankan tugasan masing-masing. Namun pada masa yang sama, pemantauan juga perlu agar tidak ‘terlahir’nya kroni-kroni yang mempunyai agenda atau kepentingan peribadi semata-mata.


MOHD IKHLASH ABDULLAH

Thursday, July 7, 2011

Yang tersurat dan tersirat pada konsep KIT.

Dengan semena-mena, penubuhan KIT di Malaysia mendapat perhatian dari institusi agama dan pertubuhan/persatuan setempat. Selain menolak konsep penubuhan KIT, rata-rata melahirkan tentangan dek saranan oleh naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamed supaya golongan isteri patuh dan melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama'.

Dan sebagai golongan kaum Adam, rasanya tidak perlulah diselongkar akan layanan 'pelacur kelas pertama' bukan?
Sebab itulah yang diidamkan seperti mana kita inginkan isteri yang cantik, langsing lagi menarik bukan?

Tapi mengapakah layanan 'pelacur kelas pertama' menjadi topik yang menjijikkan sehingga kita seolah-olah gagal melihat sesuatu yang positif di dalam ungkapan sedemikian.

Mungkin contoh yang lebih mudah difahamkan ialah antara tukang masak gerai di sebuah kedai kopi berbanding cef di hotel lima bintang?

Apakah tukikan yang ada pada kedua-dua tukang masak ini ? Pastinya kelebihan cef hotel lima bintang ialah kemahiran/kebolehannya 'memasak' ala kelas pertama dengan konsisten, fokus, bersemangat,menyerlah dan terus-menerus memperbaiki ilmu masakan agar terus dapat bersaing dengan memastikan setiap pelanggan akan datang semula untuk menjamu selera. Pada masa yang sama, dia tetap seorang insan sama seperti tukang masak gerai di kedai kopi.

Jadi sebagai warga daif, saya melihat ungkapan layanan 'pelacur kelas pertama' bukan menggalak para isteri menjadi pelacur ( maaf kata ) tapi mencontohi bagaimana usaha gigih seseorang itu menjalankan tugasannya ( selagi tidak melanggar hukum agama ) bukan menilai statusnya sebagai seorang cek, doktor,guru atau pelacur sekalipun.

Cakap mudahnya, lihatlah yang tersirat ( cara tugasan dilakukan ) bukan yang tersurat ( jadi pelacur ).

Berbalik pada topik tukang masak tadi, apakah kita menghina tukang masak di kedai kopi ? Tidak sama sekali bukan, sebaliknya kita inginkan si tukang masak itu meningkatkan 'tahap dan taraf' agar akhirnya setanding biarpun sekadar tukang masak di kedai kopi, tapi masakan diiktiraf / sehebat sejajar dengan kebolehan cef hotel lima bintang.

Kesimpulannya, kita perlu bijak menganalisis apakah mesej yang ingin atau hendak dikatakan bukan melihat siapa yang berkata biarpun golongan ini terdiri daripada doktor, para sarjana atau tukang penarik beca.

Tuesday, June 21, 2011

Jadikan kartun 'Upin dan Ipin' sebagai duta bahasa

KEGIATAN bahasa seperti Bulan Bahasa memainkan peranan penting dalam menyuburkan masa depan bahasa Melayu.

Menurut beberapa pengamat, peranan utama Bulan Bahasa iaitu berusaha mendidik/membimbing para pengguna kita dalam meningkatkan lagi penguasaan bahasa Melayu dalam konteks kehidupan di sini memang perlu.

Usaha sebegini juga perlu dikemas kini dari masa ke semasa kerana kita juga terdedah kepada tuntutan yang lebih hebat iaitu menguasai bahasa Inggeris demi menyumbang kepada sosio-ekonomi negara. Ini boleh menjejas mutu bahasa, khususnya di kalangan bangsa kita, walaupun diketahui setiap generasi menjadi pewaris dan tali penyambung warisan dan masa depan masyarakat Melayu.

Untuk 'menghidupkan' semula penguasaan bahasa itu sendiri, duta bahasa yang terdiri daripada penghibur, peguam, wartawan dan pengacara dilantik dengan harapan dapat menarik minat masyarakat agar mencintai bahasa Melayu.

Namun, tidak kurang yang merasakan peri perlunya memberikan lebih banyak tumpuan kepada kanakkanak dengan berkonsepkan pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Ringkasnya proses ini mudah, cepat dan berkesan selagi ibu bapa menjadi pembimbing yang berdisiplin ke arah menjadikan bahasa ibunda satu semaian di dalam jiwa kanakkanak itu.

Apa kata tahun ini dipertimbangkan langkah menerapkan siri animasi popular, Upin & Ipin, sebagai 'Duta Bulan Bahasa'.

Selain menjadi jenama yang dikenali ramai produk keluarga, ia juga kaya dengan bahan yang mengetengahkan pelbagai pengajaran serta dapat mendidik penonton, khususnya kanak-kanak serta seisi keluarga, menilai serta menyemai adat budaya serta bahasa yang dipaparkan dalam cerita-ceritanya.

Ia sekali gus menekankan semangat setia kawan, menghormati orang lain selain memberi didikan/nasihat serta panduan kepada penonton. Tanpa disedari, ia begitu popular di kalangan kanak-kanak kerana konsep animasi yang lebih santai dan segar untuk semua golongan, terutama kanak-kanak.

Yang penting, penggunaan bahasa Melayu dalam siri animasi tersebut cukup berkesan untuk dicontohi kanak-kanak serta penggunaan animasi CGI yang terkini.

Dengan erti kata lain, konsep sebegini boleh diguna pakai dalam usaha kita mencari 'duta' bahasa Melayu pada hari muka. Ini kerana meskipun temanya biasa-biasa saja, penggarapannya yang luar biasa serta memberi impak pada seisi keluarga.

Persoalannya ialah mengapakah pendekatan siri animasi ingin dijadikan 'duta'?

Jawapannya, jika kita perlu mengundang para sarjana/profesor dari negara jiran untuk membantu dalam membimbing dan membentuk corak pengajaran bahasa Melayu ke atas para guru bahasa Melayu daripada peringkat sekolah rendah, menengah dan maktab, mungkin pendekatan menjadikan siri animasi Upin & Ipin sebagai duta boleh juga dilaksanakan.

Kesimpulannya, usahlah kita malu meminjam hasil produk negara jiran demi melihat berjayanya kesan 'pinjaman' tersebut ke atas penakatan bahasa Melayu kita.

Mohd Ikhlash bin Abdullah

Saturday, May 28, 2011

Semakan gaji menteri adalah langkah positif.

Gaji baru para pemegang jawatan politik berdasarkan saranan yang bakal dibuat oleh sebuah jawatankuasa semakan akan berkuatkuasa pada 21 Mei 2011.

Ianya terdiri daripada tokoh sektor swasta, gerakan buruh dan sektor sosial yang dipengerusi oleh Encik Gerald Ee.



Menurut Encik Ee, pendekatan kali ini yang bakal diambil sangat berbeza iaitu termasuk penggunaan penilaian tugas dan tanggung-jawab menteri sebagai titik permulaan.

Persoalannya, apakah implikasi semakan ini ke atas warga setempat yang rata-rata berdepan dengan kos kehidupan yang tinggi dalam konteks Singapura?



Cakap mudahnya, jika ketua keluarga atau pencari nafkah utama dipotong gaji bulanan oleh majikan, besar kemungkinan kos kehidupan, perbelanjaan seharian serta bil bulanan boleh menjejas kos sara hidup.

Tapi jika gaji para pemegang jawatan politik dikurangkan, impaknya tidak begitu ketara berbanding warga Singapura yang hidup berdepan dengan kos perumahan, kesihatan/perubatan yang tinggi.



Namun jika dilihat dari perspektif yang betul, langkah pemotongan gaji ( semakan gaji ) adalah langkah pertama bagi para menteri mengusulkan untuk menilai semula kos hidup yang lain seperti sewa /kos perumahan, kos perubatan, persekolahan anak, sara hidup warga yang miskin, nasib golongan pertengahan dan sebagainya.



Namun dikhuatiri juga, langkah semakan gaji kelak boleh juga membantutkan usaha pihak pemerintah untuk terus mencari bakat-bakat yang terbaik dalam pemerintahan dihari muka.



Tapi buat masa ini, mungkin inilah harapan rakyat untuk melihat para pemimpin terus berkorban untuk memastikan rakyat dan negara terus melangkah ke era baru.



Kesimpulannya, pemerintah tidak mampu melakukan segala yang diminta/dituntut rakyat sebaliknya apa yang penting ialah persetujuan pendapat antara pemerintah dan rakyat dari masa ke semasa dari aspek kesefahaman dan rasa hormat perlu terus teguh dan kukuh agar Singapura dapat terus maju.

MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Monday, April 18, 2011

Gunakan peluang diraih dalam dunia glamor papar nilai positif

KETIKA bersembang waktu rehat dalam sesi bengkel penulisan anjuran Berita Harian minggu lalu, timbul satu ungkapan yang sudah sering didengar tetapi jarang dikupas tuntas.

'Saya ceburi bidang seni bukan kerana nama atau kejar glamor!' begitulah bunyinya.

Pada dasarnya, kata-kata ini mencerminkan keikhlasan seseorang untuk menyumbang bakat seninya sama ada sebagai seorang penulis, pelakon, pengarah, penyanyi atau pelukis semata-mata mahu mendidik atau menghiburkan tanpa tercalit perasaan riak di sebalik bakatnya itu.

Namun mampukah kita berkarya seni secara bersembunyi tanpa ingin diketahui ramai? Atau 'jijikkah' jika kita dagangkan bakat kita dengan imbalan gaji dan pengiktirafan? Saya kira orang ramai mempunyai tanggapan berbeza.

Pada pengamatan saya, secara asasnya kita perlu sedar bahawa pertukangan dalam bakat seni mempunyai gelanggangnya yang merupakan media massa seperti akhbar, majalah, televisyen, radio dan sebagainya dan kadangkala mempunyai pengikutnya yang merupakan pembaca, pendengar dan penonton setia.

Lantas mana mungkin kita dapat mengelak atau menafikan diri daripada mengecapi dunia glamor atau dikenali ramai? Sebaliknya, gunakan ruang dan peluang yang diraih dalam dunia 'glamor' sebaik mungkin dengan memaparkan nilai-nilai positif agar menjadi ikutan.

Daripada itu, ada berpendapat jika kita lebih selesa gunakan ungkapan 'saya ceburi bidang seni bukan kerana nama atau kejar glamor', maka kita sama ada seperti seorang sukarelawan amal atau pekerja yang tidak inginkan gaji bulanan daripada majikan.

Apa yang dilakukan adalah atas dasar ikhlas dan tidak mahu dikenali mahupun menerima sebarang sagu hati daripada sesiapa pun.

Namun, dalam konteks kehidupan di sini, mungkin kita tidak mampu merealisasikan ungkapan 'saya ceburi bidang seni bukan kerana nama atau kejar glamor' kerana rata-rata golongan seniman (pelakon, penulis, pengarah, penyanyi dan sebagainya) perlukan pendedahan demi meraih penakatan hidup.

Mohd Ikhlash Abdullah

Tuesday, March 22, 2011

Atasi isu belanja majlis perkahwinan dengan penuh hemah.

Baru-baru ini, isu wang hantaran dan belanja majlis perkahwinan mendapat perhatian masyarakat kita mungkin dek kosnya yang melambung tinggi hingga mencecah ribuan dolar. Ini tidak termasuk lokasi yang bukan lagi setakat dikolong blok tapi di hotel lima bintang, tepi pantai atau di atas kapal peleseran.

Lantas sebahagian dari kita setakat mengkritik tanpa mencari saluran alternatif bagi isu ini.

Secara umumnya, kita melihat daya kekuatan ekonomi orang kita dalam menjalankan majlis perkahwinan sudah berkembang berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Dengan ertikata yang lain, ianya satu perkembangan yang positif dikalangan masyarakat kita.

Ini kerana secara rambang, jutaan dolar dihabiskan dalam jangka masa setahun mengendalikan majlis perkahwinan. Cakap mudahnya, bisnes pakej perkahwinan semakin berkembang dengan pelbagai pilihan terbentang luas bagi para mempelai.


Namun timbul keraguan tentang tahap ketahanan hubungan rumahtangga itu sendiri kerana kadar penceraian dikalangan orang kita juga amat membimbangkan. Lantas timbul gesaan dari institusi agama atau ulama setempat agar mengukuhkan hubungan rumahtangga lebih penting dan genting dari setakat majlis yang gah semata-mata.

Ini kerana ada pasangan yang masih terperangkap dalam melunaskan hutang kos perkahwinan sehingga membawa pada masalah yang lain.

Namun persoalannya sejauh mana mesej ( berjimat dalam majlis perkahwinan ) boleh dilestarikan dikalangan orang kita. Ini memandangkan jika ‘trend’ terkini untuk berhabisan setakat ingin menjadi raja sehari, apakah alternatif yang boleh dipraktikkan mengikut lunas-lunas budaya dan agama.

Ada berpendapat, kita perlu wujudkan lebih banyak pakej perkahwinan dibawah satu bumbung ( segala keperluan dalam majlis perkahwinan ) yang boleh diadakan dimasjid-masjid setempat pada setiap hujung minggu dengan kos yang lebih rendah. Selain itu, banyak perkara yang bermanfaat boleh diraih samada oleh pasangan pengantin mahupun para jemputan. Antaranya, cara pemakaian yang sopan, diselit sedikit syarahan agama, dendangan nasyid dan banyak lagi aspek yang diharap boleh difikir atau ketengahkan antara para mempelai dan pihak masjid.

Jika trend ( majlis perkahwinan di masjid ) sebegini dapat digembar-gemburkan melalui mediamassa atau iklan dengan kos yang berpatutan, pastinya lambat laun, tumpuan bakal mempelai boleh berubah.

Pada masa yang sama, pihak masjid secara tidak langsung telah mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam perniagaan pakej perkahwinan. Siapa yang lebih kreatif dan berdaya tahan akan terus maju dalam perniagaannya.

MOHD IKHLASH ABDULLAH

Saturday, February 5, 2011

Penakatan bahasa Melayu bergantung pada sikap kita.

Jenuh rasanya membaca isu penggunaan bahasa Melayu mendapat liputan sejak berlangsungnya Bulan Bahasa. Ianya dikatakan berpunca dek profil masyarakat kita yang lebih terdedah dalam persekitaran bahasa Inggeris hingga menjejas penggunaan bahasa Melayu? Mungkin tidak juga.

Ini kerana kita sudah sering memperkatakan tentang kepentingan akan penggunaan bahasa Melayu tapi jarang dibincangkan perihal nasib pengguna bahasa Melayu itu sendiri dihari muka.

Maksud saya, yang sering diperkatakan mengenai bahasa Melayu seperti bahasa jiwa bangsa, banyak terkandung nilai murni, bahasa warisan kita, digunakan 280 juta orang, bahasa perhubungan dirantau ini, universiti barat ada pengajian Melayu dan banyak lagi semacam semboyan dan seruan bagi pemberitahuan akan fakta atau kebenaran bahasa ibunda kita.

Ini tidak termasuk menderetkan ikon/Duta bahasa Melayu selain luahan dan saranan Presiden Perkamus ke atas MBBS, harapan dan misi AP Encik Masagos tentang Kurikulum Berasaskan Sekolah ( KBS) dan pelbagai lagi anjuran kegiatan/acara bulan bahasa oleh badan dan persatuan setempat.

Semuanya begitu bersemangat dan padat dengan aktiviti-aktiviti sehingga ada yang samada bertembung atau bertindih antara satu dengan yang lain.
Akhirnya dalam sehari, boleh terdapat hampir 3-4 program/sesi untuk disajikan pada masyarakat kita khususnya orang Melayu.

Sayangnya, yang hadir hanya segelintir untuk menunjuk minat dan jarang rekod kehadiran dikaji untuk kegunaan dihari muka.

Namun jarang dibincangkan mengenai mengapa surat-menyurat pertubuhan Melayu perlu dalam bahasa Inggeris, sikap pelajar Melayu terhadap subjek bahasa ibunda, ibubapa gunakan bahasa Inggeris dirumah, bahasa kian pupus di alam siber, kurang minat orang kita pada kegiatan bahasa ibunda dan rasanya, banyak lagi isu yang menghambat penggunaan bahasa Melayu boleh diketengahkan.

Namun bagi rumusan saya, perlu ada tiga sikap semulajadi yang boleh membantu menyedarkan diri akan pentingnya penggunaan bahasa Melayu itu disebalik slogan demi slogan dan usaha gigih pejuang bahasa kita di arena setempat bagi menyemarakkan lagi 'roh' bahasa kita.


Pertama - perlu berasa 'malu' jika tidak menggunakan bahasa Melayu pada individu yang kita tahu dia faham dan boleh gunakan bahasa Melayu.
Kedua - perlu berasa ' bangga' jika perbualan sesama kita dalam bahasa ibunda didengar atau dipantau bangsa asing.
Ketiga - perlu rasa ' bimbang' jika bahasa ibunda kita digunakan oleh bangsa asing dengan begitu lancar dan berkesan.

Mungkin jika kita menyemai ketiga-tiga sikap ini dalam diri kita, bulan bahasa boleh dilihat sebagai pelengkap ke atas kesedaran dan usaha kita ini.


MOHD IKHLASH ABDULLAH

Thursday, January 13, 2011

Benteras ideologi radikal tiada bernoktah.

Saya mula lungsuri lelaman ceramah Anwar Al-Awlaki sejurus pendedahan terbaru berhubung kes anggota Perkhidmatan Negara ( NS) sepenuh masa yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) dek terpengaruh dengan ideologi radikal di Internet.

"Awak boleh jadi pengganas atau sekurang-kurangnya terpengaruh akan ideologinya !" Luah seorang pensyarah bebas ketika bersembang dengannya mengenai lelaman yang baru saya lungsuri itu.

"Kalau semudah itu, ramailah anak remaja kita yang lungsuri lelaman-lelaman akademik akan terus jadi siswazah?" Dia tersenyum sinis pada pertanyaan saya itu.

Jelas disini, kita perlu sedar hanya dengan melungsuri lelaman-lelaman radikal tidak memungkinkan seseorang itu dengan mudah boleh dihukum sebagai seorang pengganas.

Sebaliknya, ada yang melakukannya sekadar didorong konsep 'ingin tahu' sejauh mana kebenaran ideologi radikal dan pada masa yang sama, mampu membenteng diri, anggota keluarga yang lain serta bertindak sebagai 'polis' untuk melaporkan akan perkembangan yang tidak sealiran dengan arus nasional mahupun agama.

Pun begitu, jika seseorang itu tidak mempunyai asas kuat dalam pemahaman tentang Islam selain terdedah atau meraih ilmu dari asatizah yang tidak bertauliah, kemungkinan kesan dan risiko dipengaruhi oleh lelaman-lelaman radikal mungkin tinggi juga.

Dan lebih buruk dan membimbangkan lagi, jika asatizah yang bertauliah berpaling pada ideologi radikal. Ini memandang dianggarkan terdapat lebih 100,000 laman web radikal berbanding lelaman yang mengutuk pengganasan kurang 1,000 saja.

Semoga perkara sebegini tidak berlaku dan kita perlu pastikan sistem pentauliahan benar-benar dapat melahirkan para pemimpin agama/asatizah yang berwibawa, penuh hemah lagi disanjungi dek ilmunya.

Dalam pada itu, saya beranggapan tidak semua yang menjadi radikal kerana terpengaruh dengan lelaman-lelaman radikal yang ada.
Sebaliknya sikap tidak tahu menilai erti 'syukur' dalam diri sendiri khususnya dalam konteks kehidupan disini ,dimana keharmonian hidup serta toleransi diantara berbilang bangsa dan kaum sungguh menyerlah sekali.

Golongan ini yang dianggap 'separuh masak' kerana sekadar ingin memperjuangkan jihad secara membabi buta semata-mata.
Contohnya, konon ingin membela nasib warga Islam di sebahagian wilayah dunia yang tertindas sedangkan kita kurang mahir akan sosio-politik/ekonomi serta sejarah perihal negara-negara tersebut dengan terperinci.

Ada berpendapat, lebih afdal jika konsep 'jihad' itu dilakukan disini dari segi membantu atau membasmi kemiskinan, meningkatkan prestasi para pelajar yang lemah atau melaksanakan tugasan amal yang juga boleh dianggap suatu jihad juga.

Sayang dan malangnya, jihad yang bersalutkan keganasan yang dipilih serta tiadanya nilai syukur dalam diri mereka bak pepatah kuman diseberang laut nampak, tapi gajah didepan mata tidak diketahui.


Dalam pada itu juga, amat jarang seisi anggota keluarga melungsuri lelaman sebegini lalu membincangkannya secara terbuka diantara anggota keluarga yang lain.
Jika ini dapat dilakukan, bayangkan akan kesan positifnya dimana setiap apa yang dipaparkan di alam siber, ianya dikupas, dibincang, diproses sumber ilmunya malah boleh juga dibidas/kecam secara berhemah melalui lelaman-lelaman ini.

Ini sekaligus dapat meringankan beban badan pemerintah, persatuan dan pertubuhan setempat dalam usaha memantau isu-isu sebegini sebaliknya dapat disalurkan sumber-sumbernya pada perkara-perkara yang lebih penting lagi mendesak.


MOHD IKHLASH ABDULLAH