Saturday, February 5, 2011

Penakatan bahasa Melayu bergantung pada sikap kita.

Jenuh rasanya membaca isu penggunaan bahasa Melayu mendapat liputan sejak berlangsungnya Bulan Bahasa. Ianya dikatakan berpunca dek profil masyarakat kita yang lebih terdedah dalam persekitaran bahasa Inggeris hingga menjejas penggunaan bahasa Melayu? Mungkin tidak juga.

Ini kerana kita sudah sering memperkatakan tentang kepentingan akan penggunaan bahasa Melayu tapi jarang dibincangkan perihal nasib pengguna bahasa Melayu itu sendiri dihari muka.

Maksud saya, yang sering diperkatakan mengenai bahasa Melayu seperti bahasa jiwa bangsa, banyak terkandung nilai murni, bahasa warisan kita, digunakan 280 juta orang, bahasa perhubungan dirantau ini, universiti barat ada pengajian Melayu dan banyak lagi semacam semboyan dan seruan bagi pemberitahuan akan fakta atau kebenaran bahasa ibunda kita.

Ini tidak termasuk menderetkan ikon/Duta bahasa Melayu selain luahan dan saranan Presiden Perkamus ke atas MBBS, harapan dan misi AP Encik Masagos tentang Kurikulum Berasaskan Sekolah ( KBS) dan pelbagai lagi anjuran kegiatan/acara bulan bahasa oleh badan dan persatuan setempat.

Semuanya begitu bersemangat dan padat dengan aktiviti-aktiviti sehingga ada yang samada bertembung atau bertindih antara satu dengan yang lain.
Akhirnya dalam sehari, boleh terdapat hampir 3-4 program/sesi untuk disajikan pada masyarakat kita khususnya orang Melayu.

Sayangnya, yang hadir hanya segelintir untuk menunjuk minat dan jarang rekod kehadiran dikaji untuk kegunaan dihari muka.

Namun jarang dibincangkan mengenai mengapa surat-menyurat pertubuhan Melayu perlu dalam bahasa Inggeris, sikap pelajar Melayu terhadap subjek bahasa ibunda, ibubapa gunakan bahasa Inggeris dirumah, bahasa kian pupus di alam siber, kurang minat orang kita pada kegiatan bahasa ibunda dan rasanya, banyak lagi isu yang menghambat penggunaan bahasa Melayu boleh diketengahkan.

Namun bagi rumusan saya, perlu ada tiga sikap semulajadi yang boleh membantu menyedarkan diri akan pentingnya penggunaan bahasa Melayu itu disebalik slogan demi slogan dan usaha gigih pejuang bahasa kita di arena setempat bagi menyemarakkan lagi 'roh' bahasa kita.


Pertama - perlu berasa 'malu' jika tidak menggunakan bahasa Melayu pada individu yang kita tahu dia faham dan boleh gunakan bahasa Melayu.
Kedua - perlu berasa ' bangga' jika perbualan sesama kita dalam bahasa ibunda didengar atau dipantau bangsa asing.
Ketiga - perlu rasa ' bimbang' jika bahasa ibunda kita digunakan oleh bangsa asing dengan begitu lancar dan berkesan.

Mungkin jika kita menyemai ketiga-tiga sikap ini dalam diri kita, bulan bahasa boleh dilihat sebagai pelengkap ke atas kesedaran dan usaha kita ini.


MOHD IKHLASH ABDULLAH