Wednesday, October 19, 2011

Atasi isu belanja majlis perkahwinan dengan penuh hemah.

Baru-baru ini, isu wang hantaran dan belanja majlis perkahwinan mendapat perhatian masyarakat kita mungkin dek kosnya yang melambung tinggi hingga mencecah ribuan dolar. Ini tidak termasuk lokasi yang bukan lagi setakat dikolong blok tapi di hotel lima bintang, tepi pantai atau di atas kapal peleseran.



Lantas sebahagian dari kita setakat mengkritik tanpa mencari saluran alternatif bagi isu ini.



Secara umumnya, kita melihat daya kekuatan ekonomi orang kita dalam menjalankan majlis perkahwinan sudah berkembang berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Dengan ertikata yang lain, ianya satu perkembangan yang positif dikalangan masyarakat kita.



Ini kerana secara rambang, jutaan dolar dihabiskan dalam jangka masa setahun mengendalikan majlis perkahwinan. Cakap mudahnya, bisnes pakej perkahwinan semakin berkembang dengan pelbagai pilihan terbentang luas bagi para mempelai.



Namun timbul keraguan tentang tahap ketahanan hubungan rumahtangga itu sendiri kerana kadar penceraian dikalangan orang kita juga amat membimbangkan. Lantas timbul gesaan dari institusi agama atau ulama setempat agar mengukuhkan hubungan rumahtangga lebih penting dan genting dari setakat majlis yang gah semata-mata.



Ini kerana ada pasangan yang masih terperangkap dalam melunaskan hutang kos perkahwinan sehingga membawa pada masalah yang lain.



Namun persoalannya sejauh mana mesej ( berjimat dalam majlis perkahwinan ) boleh dilestarikan dikalangan orang kita. Ini memandangkan jika ‘trend’ terkini untuk berhabisan setakat ingin menjadi raja sehari, apakah alternatif yang boleh dipraktikkan mengikut lunas-lunas budaya dan agama.



Ada berpendapat, kita perlu wujudkan lebih banyak pakej perkahwinan dibawah satu bumbung ( segala keperluan dalam majlis perkahwinan ) yang boleh diadakan dimasjid-masjid setempat pada setiap hujung minggu dengan kos yang lebih rendah. Selain itu, banyak perkara yang bermanfaat boleh diraih samada oleh pasangan pengantin mahupun para jemputan. Antaranya, cara pemakaian yang sopan, diselit sedikit syarahan agama, dendangan nasyid dan banyak lagi aspek yang diharap boleh difikir atau ketengahkan antara para mempelai dan pihak masjid.



Jika trend ( majlis perkahwinan di masjid ) sebegini dapat digembar-gemburkan melalui mediamassa atau iklan dengan kos yang berpatutan, pastinya lambat laun, tumpuan bakal mempelai boleh berubah.



Pada masa yang sama, pihak masjid secara tidak langsung telah mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam perniagaan pakej perkahwinan. Siapa yang lebih kreatif dan berdaya tahan akan terus maju dalam perniagaannya.





MOHD IKHLASH ABDULLAH