Tuesday, December 6, 2011

Penglibatan ibubapa dalam kegiatan sekolah perlu punyai batas.

Ramai dikalangan pendidik mahupun guru-guru disekolah dan maktab setempat menyambut baik akan peningkatan

pada peratusan bilangan ibubapa yang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sekolah anak mereka.



Berbanding hanya 40 peratus apabila Compass dibentuk pada 1998, kini penglibatan ibu bapa dalam pelbagai kegiatan

luar darjah menerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) telah meningkat sekitar 96 peratus daripada kesemua 350 sekolah rendah, menengah

dan maktab rendah.



Menurut beberapa orang guru, perkembangan angka peratusan ini amat penting kerana ianya jelas menunjukkan penglibatan ibubapa

mampu merangsang para pelajar untuk terus bersemangat dan bergiat aktif dalam proses pembelajaran serta bermotivasi tinggi dalam

kegiatan luar darjah.



Namun ada segelintir guru yang merasakan ‘penglibatan’ para ibubapa perlu diurus melalui garis-pandu yang jelas lagi konkrit.



Contohnya, dengan ramai dikalangan para ibubapa yang melibatkan diri dalam program dan kegiatan di sekolah punyai pengetahuan, kerjaya atau pengalaman hidup berbeza-beza , maka tidak mustahil akan timbul ‘tidak kesefahaman’ dalam mengatur/anjurkan kegiatan masing-masing.



Cakap mudahnya, sesi perkongsian atau interaksi demi untuk mewujudkan sesuatu kegiatan boleh dicemari oleh nilai-nilai negatif seperti pentingkan diri sendiri, agenda tertentu, tidak menerima pandangan orang lain atau gagal melihat proses ‘penglibatan’ pada perspektif yang betul lagi positif.



Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah para pelajar yang sepatutnya meraih kemahiran hidup menerusi perkongsian /interaksi melalui pelbagai kegiatan yang dianjurkan antara guru dengan ibu bapa.



Lantas adalah penting dalam usaha kita berkobar-kobar menarik seramai mungkin ibubapa dalam aktiviti sekolah, perlu juga diimbangi

dengan langkah-langkah pencegahan agar tidak kelihatan seperti setiap kegiatan itu dimonopoli dan diuruskan oleh ibubapa kerana akhirnya langkah sebegini akan merugikan semua pihak.



Pada masa yang sama, usaha Compass mendekati lebih ramai ibu bapa dan PSG supaya ibu bapa dapat melibatkan diri secara aktif dalam pendidikan anak mereka perlu juga diselit dan pastikan garis pandu ‘penglibatan’ perlu difahami oleh ibubapa itu.