Thursday, January 13, 2011

Benteras ideologi radikal tiada bernoktah.

Saya mula lungsuri lelaman ceramah Anwar Al-Awlaki sejurus pendedahan terbaru berhubung kes anggota Perkhidmatan Negara ( NS) sepenuh masa yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) dek terpengaruh dengan ideologi radikal di Internet.

"Awak boleh jadi pengganas atau sekurang-kurangnya terpengaruh akan ideologinya !" Luah seorang pensyarah bebas ketika bersembang dengannya mengenai lelaman yang baru saya lungsuri itu.

"Kalau semudah itu, ramailah anak remaja kita yang lungsuri lelaman-lelaman akademik akan terus jadi siswazah?" Dia tersenyum sinis pada pertanyaan saya itu.

Jelas disini, kita perlu sedar hanya dengan melungsuri lelaman-lelaman radikal tidak memungkinkan seseorang itu dengan mudah boleh dihukum sebagai seorang pengganas.

Sebaliknya, ada yang melakukannya sekadar didorong konsep 'ingin tahu' sejauh mana kebenaran ideologi radikal dan pada masa yang sama, mampu membenteng diri, anggota keluarga yang lain serta bertindak sebagai 'polis' untuk melaporkan akan perkembangan yang tidak sealiran dengan arus nasional mahupun agama.

Pun begitu, jika seseorang itu tidak mempunyai asas kuat dalam pemahaman tentang Islam selain terdedah atau meraih ilmu dari asatizah yang tidak bertauliah, kemungkinan kesan dan risiko dipengaruhi oleh lelaman-lelaman radikal mungkin tinggi juga.

Dan lebih buruk dan membimbangkan lagi, jika asatizah yang bertauliah berpaling pada ideologi radikal. Ini memandang dianggarkan terdapat lebih 100,000 laman web radikal berbanding lelaman yang mengutuk pengganasan kurang 1,000 saja.

Semoga perkara sebegini tidak berlaku dan kita perlu pastikan sistem pentauliahan benar-benar dapat melahirkan para pemimpin agama/asatizah yang berwibawa, penuh hemah lagi disanjungi dek ilmunya.

Dalam pada itu, saya beranggapan tidak semua yang menjadi radikal kerana terpengaruh dengan lelaman-lelaman radikal yang ada.
Sebaliknya sikap tidak tahu menilai erti 'syukur' dalam diri sendiri khususnya dalam konteks kehidupan disini ,dimana keharmonian hidup serta toleransi diantara berbilang bangsa dan kaum sungguh menyerlah sekali.

Golongan ini yang dianggap 'separuh masak' kerana sekadar ingin memperjuangkan jihad secara membabi buta semata-mata.
Contohnya, konon ingin membela nasib warga Islam di sebahagian wilayah dunia yang tertindas sedangkan kita kurang mahir akan sosio-politik/ekonomi serta sejarah perihal negara-negara tersebut dengan terperinci.

Ada berpendapat, lebih afdal jika konsep 'jihad' itu dilakukan disini dari segi membantu atau membasmi kemiskinan, meningkatkan prestasi para pelajar yang lemah atau melaksanakan tugasan amal yang juga boleh dianggap suatu jihad juga.

Sayang dan malangnya, jihad yang bersalutkan keganasan yang dipilih serta tiadanya nilai syukur dalam diri mereka bak pepatah kuman diseberang laut nampak, tapi gajah didepan mata tidak diketahui.


Dalam pada itu juga, amat jarang seisi anggota keluarga melungsuri lelaman sebegini lalu membincangkannya secara terbuka diantara anggota keluarga yang lain.
Jika ini dapat dilakukan, bayangkan akan kesan positifnya dimana setiap apa yang dipaparkan di alam siber, ianya dikupas, dibincang, diproses sumber ilmunya malah boleh juga dibidas/kecam secara berhemah melalui lelaman-lelaman ini.

Ini sekaligus dapat meringankan beban badan pemerintah, persatuan dan pertubuhan setempat dalam usaha memantau isu-isu sebegini sebaliknya dapat disalurkan sumber-sumbernya pada perkara-perkara yang lebih penting lagi mendesak.


MOHD IKHLASH ABDULLAH