Monday, April 18, 2011

Gunakan peluang diraih dalam dunia glamor papar nilai positif

KETIKA bersembang waktu rehat dalam sesi bengkel penulisan anjuran Berita Harian minggu lalu, timbul satu ungkapan yang sudah sering didengar tetapi jarang dikupas tuntas.

'Saya ceburi bidang seni bukan kerana nama atau kejar glamor!' begitulah bunyinya.

Pada dasarnya, kata-kata ini mencerminkan keikhlasan seseorang untuk menyumbang bakat seninya sama ada sebagai seorang penulis, pelakon, pengarah, penyanyi atau pelukis semata-mata mahu mendidik atau menghiburkan tanpa tercalit perasaan riak di sebalik bakatnya itu.

Namun mampukah kita berkarya seni secara bersembunyi tanpa ingin diketahui ramai? Atau 'jijikkah' jika kita dagangkan bakat kita dengan imbalan gaji dan pengiktirafan? Saya kira orang ramai mempunyai tanggapan berbeza.

Pada pengamatan saya, secara asasnya kita perlu sedar bahawa pertukangan dalam bakat seni mempunyai gelanggangnya yang merupakan media massa seperti akhbar, majalah, televisyen, radio dan sebagainya dan kadangkala mempunyai pengikutnya yang merupakan pembaca, pendengar dan penonton setia.

Lantas mana mungkin kita dapat mengelak atau menafikan diri daripada mengecapi dunia glamor atau dikenali ramai? Sebaliknya, gunakan ruang dan peluang yang diraih dalam dunia 'glamor' sebaik mungkin dengan memaparkan nilai-nilai positif agar menjadi ikutan.

Daripada itu, ada berpendapat jika kita lebih selesa gunakan ungkapan 'saya ceburi bidang seni bukan kerana nama atau kejar glamor', maka kita sama ada seperti seorang sukarelawan amal atau pekerja yang tidak inginkan gaji bulanan daripada majikan.

Apa yang dilakukan adalah atas dasar ikhlas dan tidak mahu dikenali mahupun menerima sebarang sagu hati daripada sesiapa pun.

Namun, dalam konteks kehidupan di sini, mungkin kita tidak mampu merealisasikan ungkapan 'saya ceburi bidang seni bukan kerana nama atau kejar glamor' kerana rata-rata golongan seniman (pelakon, penulis, pengarah, penyanyi dan sebagainya) perlukan pendedahan demi meraih penakatan hidup.

Mohd Ikhlash Abdullah