Thursday, July 7, 2011

Yang tersurat dan tersirat pada konsep KIT.

Dengan semena-mena, penubuhan KIT di Malaysia mendapat perhatian dari institusi agama dan pertubuhan/persatuan setempat. Selain menolak konsep penubuhan KIT, rata-rata melahirkan tentangan dek saranan oleh naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamed supaya golongan isteri patuh dan melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama'.

Dan sebagai golongan kaum Adam, rasanya tidak perlulah diselongkar akan layanan 'pelacur kelas pertama' bukan?
Sebab itulah yang diidamkan seperti mana kita inginkan isteri yang cantik, langsing lagi menarik bukan?

Tapi mengapakah layanan 'pelacur kelas pertama' menjadi topik yang menjijikkan sehingga kita seolah-olah gagal melihat sesuatu yang positif di dalam ungkapan sedemikian.

Mungkin contoh yang lebih mudah difahamkan ialah antara tukang masak gerai di sebuah kedai kopi berbanding cef di hotel lima bintang?

Apakah tukikan yang ada pada kedua-dua tukang masak ini ? Pastinya kelebihan cef hotel lima bintang ialah kemahiran/kebolehannya 'memasak' ala kelas pertama dengan konsisten, fokus, bersemangat,menyerlah dan terus-menerus memperbaiki ilmu masakan agar terus dapat bersaing dengan memastikan setiap pelanggan akan datang semula untuk menjamu selera. Pada masa yang sama, dia tetap seorang insan sama seperti tukang masak gerai di kedai kopi.

Jadi sebagai warga daif, saya melihat ungkapan layanan 'pelacur kelas pertama' bukan menggalak para isteri menjadi pelacur ( maaf kata ) tapi mencontohi bagaimana usaha gigih seseorang itu menjalankan tugasannya ( selagi tidak melanggar hukum agama ) bukan menilai statusnya sebagai seorang cek, doktor,guru atau pelacur sekalipun.

Cakap mudahnya, lihatlah yang tersirat ( cara tugasan dilakukan ) bukan yang tersurat ( jadi pelacur ).

Berbalik pada topik tukang masak tadi, apakah kita menghina tukang masak di kedai kopi ? Tidak sama sekali bukan, sebaliknya kita inginkan si tukang masak itu meningkatkan 'tahap dan taraf' agar akhirnya setanding biarpun sekadar tukang masak di kedai kopi, tapi masakan diiktiraf / sehebat sejajar dengan kebolehan cef hotel lima bintang.

Kesimpulannya, kita perlu bijak menganalisis apakah mesej yang ingin atau hendak dikatakan bukan melihat siapa yang berkata biarpun golongan ini terdiri daripada doktor, para sarjana atau tukang penarik beca.