Thursday, August 4, 2011

Peranan para aktivis perlu diperluas atau dipantau?

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong telah menarik perhatian bahawa menyusuli pilihan raya umum lalu, timbul kritikan terhadap aktivis-aktivis akar umbi yang dikatakan melindungi Anggota-Anggota Parlimen daripada para penduduk, tidak begitu responsif kepada keperluan penduduk dan tidak berterus-terang dalam memberi maklum balas.
( BH, Isnin, 30 Mei 2011 )

Rata-rata mungkin bersetuju dan akur tentang kemungkinan ada segelintir pemimpin akar umbi yang menapis maklum balas kepada AP. Namun ada berpendapat timbulnya kritikan sebegini mungkin disebabkan dek kemampuan para pemimpin akar umbi agak terbatas dari segi waktu dan kefahaman tentang prosedur-prosedur tertentu.

Bagi pendapat saya, walau apa pun alasan disebalik timbulnya isu ini, usah biarkan isu yang sering dianggap sebagai yang terpencil kerana kelak ianya bak nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dengan ertikata yang lain, selain aktivis akar umbi termasuk juga jawatankuasa penduduk (RC) perlu melihat usaha dan peranan mereka selama ini sebagai sumbangan ke atas warga dan negara dan bukan tersemat agenda peribadi. ( BH, 3 Jun 2011 – Bersikap betul tangani perubahan )

Cakap mudahnya, usahlah kita melaksanakan sesuatu program/tugasan dibawah naungan jawatankuasa penduduk ( RC) hanya untuk bersaing, bermegah, mengampu atau mendapat pangkat/darjat dari kacamata para Anggota Parlimen.

Sebaliknya, jika para anggota jawatankuasa penduduk ( RC ) ternyata hebat dalam merancang serta mampu menggembleng tenaga sukarelawan dalam menjalankan program/aktiviti yang bermutu lagi berkesan ke atas para penduduk dikawasannya, maka sudah tiba masanya juga jawatankuasa penduduk (RC) dipindahkan ke zon yang lain agar ‘keberhasilan’ program/aktivitinya dapat dipelajari atau dimanfaatkan oleh para penduduk dibawah jawatankuasa penduduk di zon yang lain.

Jika ini tidak dilakukan, kelak ( mungkin) akan timbul pula kroni-kroni yang lebih selesa untuk bergerak atau menggerakkan aktiviti/program kemasyarakatan mereka dikawasan atau dikalangan mereka sahaja.

Pada masa yang sama, para AP juga perlu sedar samada program/aktiviti yang dianjurkan oleh jawatankuasa penduduk (RC) mendapat maklum-balas yang telus lagi jujur daripada sukarelawan yang bergiat dibawah naungan (RC) atau para hadirin/jemputan yang memeriahkan program/aktiviti tersebut.
( Pemimpin Melayu dicabar perubahan - BH, Jumaat, 17 Jun 2011 ).

Akhirkata, kita berterimakasih ke atas jasa/masa/tenaga yang telah disumbangkan oleh para aktivis,jawatankuasa serta sukarelawan dalam menjalankan tugasan masing-masing. Namun pada masa yang sama, pemantauan juga perlu agar tidak ‘terlahir’nya kroni-kroni yang mempunyai agenda atau kepentingan peribadi semata-mata.


MOHD IKHLASH ABDULLAH