Wednesday, September 7, 2011

Jagalah hak orang lain bila hadiri majlis ilmu.

Dalam menyemarakkan kehangatan Bulan Bahasa tahun ini, pelbagai usaha telah digerakkan oleh badan bertindak dalam mempergiat serta mempromosi bahasa/budaya
dikalangan masyarakat kita. Ini termasuk tahun ini, sebanyak 41 kegiatan bahasa – termasuk persembahan, peraduan, ceramah dan bengkel – akan dianjurkan pelbagai pertubuhan Melayu seperti Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ini satu perkembangan yang baik demi memberi fokus pada pentingnya mengekal warisan bahasa Melayu dan mewariskannya kepada generasi masa depan.

Namun dalam keghairahan menyambut dan menyahut seruan mengekalkan ' warisan bahasa dan budaya' kita, soal adab juga perlu diambil kira ketika mengikuti sebarang bengkel/ceramah yang diadakan.

Sayangnya, masih ada segelintir dari kalangan kita yang tidak dapat membezakan antara sesi ceramah/bengkel yang memerlukan fokus dalam pemahaman/pendengaran dengan aktiviti seperti fiesta keluarga ditepi pantai.

Cakap mudahnya, tidak semua kegiatan yang dianjurkan boleh dihadiri bersama keluarga khususnya bagi yang membawa bersama bayi atau kanak-kanak kecil.

Ini kerana naluri semulajadi kanak-kanak dalam lingkungan usia sedemikian tidak dapat memberi fokus/tidak membuat bising atau mengganggu ketenteraman majlis yang memerlukan kita fokus dan khusyuk ke atas isu-isu yang dikupas oleh para pensyarah.

Mungkin ada keluarga beranggapan membawa anak-anak bukan saja merapatkan hubungan kekeluargaan sebaliknya mendidik anak-anak berjinak-jinak dalam majlis-majlis seperti ini.

Pandangan sedemikian boleh dikongsi dan dikaitkan sama ke atas isu ' Kanak-kanak dilayan seperti jemaah kelas kedua di masjid '.

Ada berpendapat dalam hal sedemikian, adakalanya keluarga yang terlibat bak cuba menegakkan benang yang basah bila bertindak membawa anak-anak samada ke majlis formal mahupun inginkan anak-anak diletakkan di saf yang pertama. Kita samasekali lupa atau lalai perihal dan kewajipan hak orang-orang disekeliling kita.

Kita juga perlu sedar bilamana anak-anak kita tidak terkawal dalam satu-satu majlis itu, maka dengan sendirinya hak-hak individu lain yang hadir
demi untuk menyelami setiap butir penerangan/ilmu yang disampaikan oleh pensyarah sudah dinodai oleh tindakan kita.

Saya membawa contoh baru-baru ini dimana Lembaga Perpustakaan Daerah Woodland telah mengadakan sesi bersama Habiburrahman El-Shirazy iaitu penulis novel terkenal Ayat-Ayat Cinta.

Untuk pengetahuan pembaca semua, menurut Encik Tommy Tamtomo, Pengarah Utama Penerbit Republika dalam acara bedah buku di Gramedia Matraman, Jakarta beberapa waktu lalu bahawa buku tersebut sudah dicetak lebih 30 kali dengan jumlah hampir/mungkin mencapai lebih 300 ribu bilangannya.

Malangnya, kehadiran dan ucapan serta perkongsian ilmunya seakan-akan dinodai oleh segelintir individu yang saya rasa, kurang bersedia untuk sesi-sesi sebegini kerana ianya diselang-seli dengan suara anak yang menangis,bermain,berkejaran serta riuh rendah dibuatnya.

Sehingga akhirnya, saya samakan sesi ini dengan sesi bertemu ibubapa ditadika setempat setiap hujung tahun atau fiesta keluarga ditepi pantai gayanya.

Kesimpulannya, diakhir sesi itu, saya tidak raih ilmu dari ayat-ayat cinta tapi suara-suara memekak.