Tuesday, November 1, 2011

Perlu tahu erti beri nasihat.

Dalam suasana lebaran, mengunjung bersama keluarga ke rumah sanak-saudara dan rakan-taulan demi menyemarakkan lagi kegembiraan Syawal disamping merapatkan lagi tali persaudaraan sesama kita amat didambakan. Ini kerana peluang dan ruang untuk melakukan diluar bulan Syawal agak terbatas dek kesibukan ehwal masing-masing.

Dan di saat itulah, seringkali selain bertanya khabar dan perkembangan diri/keluarga masing-masing, ada dikalangan ketua atau ahli keluarga akan menyelitkan kata-kata nasihat demi kebaikan bersama.

Dalam hal ini, pastinya kita pernah dengar seruan agar menerima apa yang disampaikan lebih penting daripada melihat siapa yang menyampaikannya.

Lantas terdapat segelintir golongan yang berpengalaman, pengaruh, berusia atau bijak pandai sering merasakan perlu mengatur laluan hidup orang-orang disekelilingnya dengan memberi nasihat/buah fikiran/pandangan.

Namun dalam konteks hari ini, gesaan ini perlu disemak kembali kerana ramai yang 'gemar' memberi komen/nasihat tapi adakalanya lupa untuk mencermin diri sendiri.

Sebagai contoh, seorang pakcik yang sudah berusia memberi leteran perihal manfaatnya menjaga kesihatan dan pemakanan ke atas tetamu yang hadir di rumahnya. Sayangnya, beliau merokok ketika menegur kanak-kanak yang tidak henti-henti menjamu selera saat itu.

Pada kesempatan yang lain pula, pasangan suami-isteri yang saban tahun menerima bantuan kewangan dari badan kebajikan setempat menegur secara sinis akan amalan kanak-kanak yang gemar menabung dan berjimat ketika mendapat duit raya.

Ini belum termasuk pengalaman pasangn suami-isteri yang sudah bercucu diberi tips kehidupan berumahtangga dari seorang belia yang baru selesai khusus kaunseling diperingkat ijazahnya.

Dan baru-baru ini, kecoh kisah kanak-kanak yang didera yang disiarkan di Berita Minggu beberapa hari sebelum lebaran menjadi tajuk perbincangan ketika berkunjung ke rumah sahabat handai.

Rata-rata mengecam tindakan keluarga asuhan kanak-kanak itu yang mendera mangsa secara jasmani.
Sayangnya, tanpa disedari kita juga adakalanya 'dera' anak-anak kita secara emosi.

Contohnya, anak-anak diheret berjalan raya hingga larut malam dalam keadaan anak-anak itu yang sudah penat, ngantuk lagi letih.
Ada pula yang membanding-bandingkan reputasi akademik kanak-kanak disaat berkunjung dan beramah mesra dirumah saudara mara kita.

Lebih buruk jika anak-anak gadis dipaksa untuk berpakaian raya dengan tidak memenuhi ciri-ciri pakaian muslimah atau sopan. Malangnya, anak-anak ini tiada pilihan untuk bersuara lantas mengikut saja rentak 'kealpaan' ibubapa sebegini.

Kesimpulannya, jika kita tegur kalangan golongan sebegini kelak dianggap sebagai biadab tapi jika dibiarkan, kesedaran diri tidak akan wujud dihari muka.

Walauapapun, usaha kita ke arah menyedarkan golongan ini biarlah bak seperti menarik rambut didalam tepung.
Ini agar setiap insan tahu dan sedar akan kelemahan/kekuatan minda/pandangan masing-masing agar kita tidak seperti si bodoh makanan si pandai.

Dan lebih baik jika kita bak penjaga perigi yang tidak akan haus kerana senantiasa diri ini diisi dengan ilmu serta pengalaman yang terkandung ilmu pengetahuan yang dapat memanfaatkan semua.


MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH