Wednesday, January 4, 2012

Larangan merokok diperluas perlu serius.

Gesaan Cik Lee Bee Wah (GRC Nee Soon) untuk melarang kegiatan dan amalan merokok serta diperluaskan bagi merangkumi lebih banyak tempat awam seperti taman, laluan pejalan kaki, pantai, lobi lif , perhentian bas dan koridor-koridor bangunan perlu dianggap satu langkah yang serius oleh pihak pemerintah.

Menurutnya, ini memandangkan semakin ramai anak muda, terutama anak muda Melayu, yang sudah mula berjinak-jinak merokok berbanding kaum-kaum lain.

Namun saranan untuk terus ‘mengingatkan’ perokok boleh diubah cara pendekatannya yang selama ini tampak kurang berkesan dalam menurunkan peratusannya.

Selain menyarankan kepada kementerian agar meluaskan kawasan yang tidak dibenarkan merokok, saya berpendapat masalah mengekang amalan merokok bukan saja terletak dibahu si perokok sebaliknya adalah tugasan lebih besar /mencabar yang perlu disandang oleh pihak pemerintah.

Antara pendekatan lebih serius lagi berkesan dalam menangani masalah perokok yang boleh dipertimbangkan ialah :


- jika COE diperkenalkan untuk elak kesesakan kereta di jalanraya, maka kemasukan peratusan import bahan seperti rokok/tembakau boleh dikenakan ala COE atau dikurangkan juga demi untuk elak ‘sesak’ nafas bagi bukan perokok.



- luaskan kempen anti-merokok / larangan tempat merokok melalui poster-poster di setiap pelusuk negara sebagaimana hebatnya kempen poster ‘ Mas Selamat’ agar bukan perokok lebih selamat dari asap rokok.



- setakat ini belum jelas kelihatan atau dirasai akan kehadiran para pegawai penguatkuasaan yang meronda di tempat awam yang dilarang merokok.



- Berapa ramaikah perokok yang disaman berbanding penangkapan para penagih sejauh ini. Jelas disini, pihak berkuasa lebih berminat dan serius untuk menangani gejala dadah daripada penggunaan rokok/tembakau.



- Mudahnya membeli rokok biarpun harganya mahal. Namun perlu untuk terus menaikkan harga dan langkah ini tampak amat berkesan untuk mengurangkan kuasa membeli dikalangan anak muda.



- Beri insentif ( kelepasan cukai ) bagi para peruncit dan pasaraya yang tidak menjual bahan rokok /tembakau.



- Dari aspek agama pula, ada beberapa alim merasa hairan mengapakah sejauh ini, amalan merokok tidak diharamkan oleh institusi agama setempat secara terang-terangan walaupun ianya sudah jelas akan kemudaratannya ke atas kesihatan seseorang perokok itu.



Kesimpulannya, walau apapun sasaran/gesaan yang diluahkan, pucuk pangkalnya, selagi pemerintah masih ingin meraih keuntungan cukai daripada penjualan rokok/tembakau, masalah tabiat merokok tidak akan dapat diselesaikan melalui kempen/aktiviti atau program kesedaran.

Pada masa yang sama, tidakkah ianya juga satu diskriminasi yang jelas ke atas bukan perokok yang selama ini mendambarkan kehidupan tanpa asap rokok ?

MOHD IKHLASH BIN ABDULLLAH