Saturday, February 11, 2012

Atasi isu visa haji dengan minda positif.

Semacam ada rasa lega ke atas isu masalah visa haji tambahan yang tidak diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini.




Yang tersurat, ratusan jemaah tidak berjaya mendapat visa.

Yang tersirat, kita sekali lagi berpeluang untuk menilai dan memperbaiki semula sistem memproses dan memberi visa ke atas para jemaah yang berdaftar pada tahun hadapan.




Jika insiden sebegini tidak berlaku, besar kemungkinan kita akan terus selesa dengan sistem yang ada tanpa mengambil sebarang inisiatif menilai kembali keberkesanan dan relevannya sistem yang ada dalam konteks kehidupan dan pergolakan dunia dewasa ini.




Cakap mudahnya, usahlah merungut pada kelemahan yang ada sebaliknya ambillah isu/insiden ini sebagai satu peluang dan ruang untuk memperbaiki serta mempertingkatkan lagi sistem haji kita.




Pada pendapat saya, adalah lebih genting dan penting untuk menilai proses dan kuota haji daripada setakat membincangkan tentang kos kerugian yang perlu ditanggung pihak GSA atau menyalahkan pergolakan politik di Timur Tengah sebagai punca visa haji tambahan ditolak oleh pihak kerajaan Arab Saudi.




Lebih buruk lagi jika kita kaitkan insiden ini sebagai suratan takdir bagi mengelak/mengabui akan kesilapan/kelemahan kita dari aspek mencari keuntungan perniagaan dengan beralasan bahawa ramai jemaah yang berminat untuk pergi haji tahun ini.




Secara ringkasnya, antara yang boleh dipertimbangkan ialah


pastikan kumpulan jemaah kategori A merangkumi kuota haji rasmi kerajaan Arab Saudi.


Jemaah Kategori A diberi jaminan dan pengesahan ‘seratus peratus’.


Kategori A tidak boleh dicemari dengan kategori yang lainnya.


Kategori A boleh teruskan kenduri doa selamat dan persiapan cuti.


Bagi kategori B yang diberi visa haji tambahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi :



para jemaah dalam kategori ini perlu sedar dan bersedia akan risiko yang ada tentang visa tambahan ini.


Visa tambahan boleh dibatalkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi tanpa sebarang sebab kerana kuota ini diberi atas dasar ‘simpati dan ihsan’.


Tangguhkan kenduri doa selamat pada saat-saat akhir untuk elak kesal dan malu.




Bagi pihak MUIS dan GSA, diharap dapat hapuskan saja visa-visa tambahan yang pelbagai nama seperti visa bonus, visa ihsan, visa muhibah dan terbaru….visa musibah.




Pihak Muis hanya perlu mendapatkan visa rasmi dan visa tambahan ( jika ada ) dari pihak kerajaan Saudi dan bukan dari seorang Pak Arab di kedutaan Arab disini.




Ini kerana pihak kedutaan tidak mampu untuk mengatasi keputusan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Arab Saudi.




Usah bersandarkan pada kejayaan kisah-kisah lama untuk terus mendokong ketidaktentuan sistem visa kuota tambahan pada masa depan.




Jika ini dapat dilakukan, pastinya setiap tahun kita akan berasa selesa melihat 680 jemaah kita berangkat dan baki jemaah dibawah naungan visa tambahan samada berjaya atau terkandas kerana visa tambahan sudah diketahui akan risikonya ditarik balik oleh kerajaan Arab pada saat-saat akhir.




Akhir kalam, mungkin Muis boleh merayu untuk menaikkan kuota rasmi yang sedia ada agar tidak timbul lagi visa tambahan yang akhirnya merugikan perasaan dan semangat jemaah sahaja.




MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH