Wednesday, April 11, 2012

Silap....minta maaf

Ungkapan ‘Silap minta maaf’ boleh membawa dua maksud yang berbeza dan implikasi serta kesannya ke atas yang melakukan kesilapan tersebut.

Yang pertama bilamana kita telah melakukan kesilapan dalam urusan kehidupan seharian seperti tersalah kiraan dalam akaun , tersilap ejaan ketika menaip,terlupa membuat tugasan sekolah sepenuhnya, terhilang nota penting, terlewat melakukan jadual seharian atau terlepas menghadiri sesi temuduga dan sebagainya.

Rata-rata kesilapan sebegini boleh dimaafkan atau sekurang-kurangnya setakat mendapat surat peringatan /amaran dari majikan.

Cakap mudahnya, kalau dah tersilap, minta maaf saja lah. Habis cerita.

Namun bagi scenario yang kedua ini mungkin tidak sesuai atau dapat diterima oleh warga semudah yang disangka..

Contohnya, komen atau tindakan yang berbaur perkauman serta yang tidak bertanggungjawab dari individu seperti Encik Jason Neo, Encik Christian Eliab Ratnam dan Encik Donaldson Tan bukan sesuatu perkara yang mudah untuk meminta maaf.



Ini termasuk komen Anggota Parlimen Seng Han Thong dalam wawancaranya dalam rancangan televisyen setempat baru-baru ini.



Kesilapan sebegini lebih dilihat kepada kegagalan seseorang itu untuk berfikir terlebih dahulu berdasarkan dan bersandarkan akan implikasinya dalam konteks kehidupan majmuk disini.



Lantas ‘permintaan’ maaf sebegini akhirnya lebih banyak mengundang kebencian kerana asasnya kita tahu dengan melakukan atau melabel serta mengungkapkan sesuatu tanpa berfikir secara waras/bijaksana serta berhemah, risiko tindak balas warga pastinya lebih hebat.



Contohnya, lihat saja antara maklum-balas serta reaksi khususnya warga siber yang terang-terangan menyelar komen-komen yang dilakukan orang-orang seperti ( Encik Jason Neo, Encik Christian Eliab Ratnam dan Encik Donaldson Tan ) yang boleh menjejas status serta keteguhan semangat keharmonian kaum yang sekian lama sudah dipupuk di dalam jiwa warga setempat yang berbilang kaum/bangsa dan agama disini.



Yang peliknya, rata -rata individu yang mencetuskan komen seperti ini akhirnya memohon maaf dan berharap agar warga setempat menerima permohonan maaf mereka dengan alasan komen yang dibuat tidak berniat mengaibkan atau memperlekeh serta menyasarkan pada kaum atau bangsa tertentu.



Ada berpendapat alasan-alasan sebegini bak seorang penjenayah yang dengan jelas melakukan jenayah lantas meminta ampun setelah diberkas lalu mengharapkan dibebaskan kerana sudah insaf atau meminta maaf.

Namun bagi warga yang lainnya berharap agar pemerintah lebih bertindak tegas termasuk hukuman penjara yang berat ke atas individu yang mengeluarkan komen berbaur perkauman atau memulakan api kebencian, termasuk dalam ruang siber sosial dengan beralaskan konsep kebebasan hak mengeluarkan pendapat/kritikan yang tidak selari dengan nilai-nilai etika yang sewajarnya.



Semoga tindakan dan hukuman tegas ke atas sikap/ tindakan mengkritik/hina / menuding jari ke atas bangsa tertentu dek sebarang kegenjotan nasional sewajarnya menjadi fobia atau iktibar serta peringatan kepada mereka yang berniat melakukan sedemikian pada masa depan.



Langkah sebegini perlu agar setiap warga secara automatik akan menjadi lebih berhemah /berhati-hati dalam usaha mengetengahkan pandangan/pendapat bersandarkan kebebasan hak bersuara bagi kemaslahatan umum.




MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH