Wednesday, May 2, 2012

Penipuan niaga diruang siber bak nila setitik rosak susu sebelanga.

Setiap peniagaan ada untung ruginya biarpun pada asasnya telah dilakar sebegitu rupa untuk memberi satu khidmat yang terbaik untuk para pelanggannya. Dewasa ini, peniaga kecil-kecilan juga boleh memulakan dan menggunakan ruang siber untuk berurusan kerana ianya tampak mudah,murah dan cepat menarik pengguna dek pendedahan untuk melanggani khidmat dan produk yang ditawarkan. Contohnya, perniagaan diruang siber menerusi rangkaian sosial seperti Facebook kian menunjukkan peningkatan dari para peniaga yang ingin ceburi bisnes. Pun begitu, dalam urusan pastinya timbul kegenjotan seperti kelewatan mendapat produk yang dijanjikan ( walaupun tidak berniat untuk menipu ), seringkali mangsa merupakan pengguna kerana membeli sesuatu produk dalam talian seringkali atas dasar kepercayaan berikutan maklum-balas yang positif dari pengguna lain. Atas dasar inilah, mungkin terdapat segelintir peniaga yang menangguk di air keruh demi untuk meraih keuntungan yang lekas lagi cepat serta mampu memberi pelbagai alasan untuk mengelak diri dari didakwa. Diburukkan lagi, setakat ini belum jelas apakah bentuk siasatan atau hukuman yang bakal/boleh diterima oleh peniaga seperti ini. Dikhuatiri, kes-kes sebegini kelak boleh berleluasa diruang siber sehingga boleh mematikan semangat berniaga dan kepercayaan antara peniaga yang memangnya jujur dengan pengguna. Cakap mudahnya, pengguna kelak terlalu berhati-hati sehingga menyempitkan ruang para peniaga kita yang jujur untuk berkembang. Ini sekaligus memberi implikasi dan tamparan pada peniaga lain diruang siber yang sememangnya berniaga berlandaskan minat , niat murni dan kejujuran. Malangnya kes seperti ini mungkin boleh berleluasa kerana kita sebagai pengguna gagal mengenalpasti risiko atau mengambil langkah berjaga-jaga ketika berurusan diruang siber. Contohnya, kita sebagai pengguna mudah percaya atau yakin bilamana membaca sekadar beberapa kerat reviu atau komen yang dibuat oleh para pelanggan sebelumnya. Dan jika terdapat unsur jenayah dari aspek penipuan sekalipun, tindakan undang-undang juga kurang memberi tekanan kerana adakalanya, jalan keluarnya hanyalah dengan mengishtiarkan individu tersebuat sebagai muflis. Seperti kata seorang peniaga, jika hukuman tegas lagi berat dilaksanakan, penipuan diruang siber yang bak musang berbulu ayam boleh dikurangkan jika tidak dilenyapkan. Hukuman yang tegas boleh menyedarkan setiap pengguna mahupun peniaga bahawa setiap aspek yang berunsur jenayah pasti kelak akan menerima hukuman yang setimpal. MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH