Tuesday, July 3, 2012

Pemergian para ilmuwan dan sasterawan sama penting dengan pemimpin negara.

Mendiang Dr Toh, salah seorang pengasas Parti Tindakan Rakyat ( PAP ) dan pengerusi pertamanya, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 90 tahun setelah uzur sejak beberapa tahun. Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang begitu mengambil berat akan perkembangan dan kepentingan kesemua warga Singapura, tidak kira bangsa dan agama. Antara keprihatinan Dr Toh, mantan Timbalan Perdana Menteri, ialah menggesa dan memastikan wujudnya integrasi dalam acara-acara akar umbi dikalangan masyarakat minoriti. Lantas segala sumbangan dan pengorbanan beliau wajar dihargai oleh warga setempat khususnya bagi golongan muda . Ini disuarakan oleh beberapa pemimpin agar golongan muda dapat mencontohi prinsip dan dedikasi Dr Toh pada bangsa dan negara dihari muka. Namun selang beberapa hari kemudiannya, masyarakat Melayu/Islam dikejutkan dengan kehilangan dua karyawan yang disegani – pengasas dan Pengetua Madrasah Wak Tanjong Al- Islamiah, Ustaz Mohammed Noor Taib, dan sasterawan mapan, Encik Ismail Wardi. Ustaz Mohammed Noor disifatkan sebagai pengetua yang tegas namun berjiwa besar dan gigih berusaha melahirkan pelajar yang menguasai kededua bidang agama dan akademik demi melahirkan golongan ulama intektual. Encik Ismail Wardi adalah penulis kreatif sejak 1971 dan sepanjang hayatnya telah menulis puisi, skrip, cerpen, novel, sajak, esei dan ulasan buku, dan sumbangannya banyak tersiar dalam akhbar Berita Minggu. Namun sentimen dan perasaan ‘ kehilangan’ kededua insan yang sama banyak menyumbang ke arah kesejahteraan bangsa dan negara melalui cara mereka sendiri bak tidak dirasakan samasekali berbanding pemergian mendiang Dr Toh. Jika ada sekalipun setakat salam takziah dari sahabat handai, rakan taulan serta pengikut setia perkembangan ilmu sastera setempat. Apakah para ilmuwan dan sasterawan yang berjuang mendidik masyarakat setempat melalui karya-karya dan sumbangan ilmu agamanya tidak sepenting sumbangan pemimpin negara ? Tidakkah ada gesaan yang sama agar golongan muda , selain perlu tahu perkembangan para pemimpin pra- merdeka , juga perlu menghayati , menjiwai serta ‘ hormat’ keatas para ilmuwan agama dan para sasterawan setempat. Ada berpendapat para pemimpin kita perlu 'bersuara' agar golongan muda akan sedar akan wujudnya peranan para ilmuwan agama, sasterawan, seniman yang telah juga banyak berjasa dikalangan masyarakat majmuk kita. Tidak keterlaluan jika kita mengajak para pembaca menghayati dan selami pojok BH bertarikh 9hb Februari 2012 berjudul - Budiman Melayu yang dicari-cari tulisan Encik Raman Daud. Akhirkata, dari warga biasa hingga ke para pemimpin, setiap individu yang terus-terusan menyumbang tenaga, masa demi untuk kemaslahatan bersama sewajarnya ‘ ditangisi’ akan pemergian individu-individu sebegini.