Friday, August 3, 2012

Peluang kita berinteraksi dengan keluarga dihujung minggu.

Mulai 1 Januari 2013. pembantu rumah mempunyai hak untuk menuntut hari cutinya setiap minggu, sejajar dengan undang-undang yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013. Peraturan baru Kementerian Tenaga Manusia (MOM) seiringan dengan tuntutan badan-badan hak asasi UN Women serta pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang selama ini telah berkempen bagi 'Hari Pelepasan' atau Day Off sejak dilancarkan pada Hari Buruh pada 2008. Dasar utama atau pendekatan yang diambil pihak pemerintah pastinya berlandaskan nilai dan hak kemanusiaan serta kajian dan implikasi yang bakal timbul dari aspek perlaksanaan undang-undang tersebut. Namun bak 'rumah dah siap, pahat masih berbunyi', rungutan demi rungutan pasti timbul dari sebahagian warga yang juga punyai alasan kukuh dan munasabah untuk tidak bersetuju dengan undang-undang tersebut. Ada berpendapat cuti wajib boleh menimbulkan pelbagai anasir buruk atau kos yang perlu ditanggung majikan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas pembantu rumah ketika diluar sana. Ada pula merasakan tugasan menjaga anak,keluarga atau anggota yang uzur perlu ditanggung oleh majikan setiap hujung minggu ketika ketiadaan pembantu rumah. Sebagai warga setempat, kita faham dalam konteks kehidupan yang adakalanya memaksa kededua anggota keluarga ( suami/isteri ) keluar bekerja, penggantungan pada pembantu rumah amat diperlukan bagi urusan seharian dirumah. Namun seperti kita sebagai seorang pekerja, cuti itu juga amat penting untuk kita berehat bersama keluarga dirumah. Cakap mudahnya, meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak/ibubapa yang dibawah jagaan kita. Mungkin kita boleh melihat peranan pemerintah dalam hal ini bak serampang dua mata dan ada hikmahnya. Contohnya, peluang berhujung minggu bersama anggota keluarga samada anak-anak atau orangtua yang uzur yang selama ini jarang kita ambil tahu, inilah peluang kita untuk menyelami masalah/cabaran menjaga anggota keluarga yang selama ini diserahkan pada pembantu rumah saja. Mungkin tanpa disedari, anak-anak atau golongan uzur yang selama ini dijaga/diurus oleh pembantu rumah sebenarnya inginkan sentuhan dan kehadiran kita ( biarpun seminggu sekali ) namun golongan ini tidak mampu untuk melafazkannya. Namun jika kita masih tidak bersetuju dengan undang-undang terbaru ini, atau lebih rela beri pampasan daripada cuti mingguan, maka sudah tiba masanya kita berbincang, mengatur jadual atau pelan bertindak ( jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas pembantu rumah ) dan jika boleh cari persetujuan atau kata sepakat dengan pembantu rumah perihal cuti bagi meleraikan isu ini. Akhirkata, kita juga mungkin kurang selesa jika dipanggil bekerja semula ketika dalam bercuti biarpun diberi pampasan oleh majikan kita atau gaji yang lebih. Ini kerana seringkali antara tujuan kita bercuti hanya setakat untuk bersama anggota keluarga atau individu yang tersayang tanpa diganggu. MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH