Friday, November 2, 2012

Golongan 3K dan pertanggung-jawaban.



Dalam konteks kehidupan seharian disini, dari segi ruang dan peluang untuk menyuarakan pandangan atau memberi maklum-balas, pelbagai saluran disediakan oleh agensi pemerintah mahupun badan bantu diri setempat.

Dan dewasa ini, wadah ( platform) yang pelbagai di ruang Internet dan media sosial tampak lebih mudah melahirkan golongan 3K ( komen, kritik, komplen ) yang terbuku diminda dan hati sehingga seringkali memberi impak ke atas suatu isu yang diketengahkan, dibincang serta disebar-luas di ruang Internet.

Namun setiap apa yang diluahkan atau sekadar ingin memberi respons atau saranan, perlu juga berlandaskan nilai-nilai ‘pertanggung-jawaban’.

Cakap mudahnya, usah membaling batu sembunyi tangan.

Walaupun dari aspek memberi maklum-balas atau saranan ke atas isu-isu yang berkaitan dengan perkembangan sosio-ekonomi, pemerintahan, agama,budaya atau bangsa, perlu juga penyampaian dan pandangan itu seharusnya mampu memperkasa serta mendidik dan bukannya mengaibkan atau memecahbelahkan rakyat.

Yang terkini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong melancarkan akaun Facebook dan Twitternya.

Antara lain, ini menunjukkan Encik Lee sedia menerima idea-idea yang diluahkan setiap warga dan berharap langkah ini dapat membantu menambah satu lagi ruang ( memberi maklum-balas / saranan ) dalam proses meningkatkan lagi proses mutu kehidupan kita.

Seyogia diingatkan, setiap warga perlu dapat membezakan antara perbincangan diruang Internet yang lebih santai berbanding perbincangan di meja bundar yang lebih formal.

Pada masa yang sama, dalam usaha pemerintah mendekatkan lagi diri ( melalui saluran sosial ) dengan warga setempat, ada bersetuju untuk pemerintah memperkenalkan undang-undang bagi melindungi penduduk daripada kegiatan penyalahgunaan Internet akhir tahun ini.

Ringkasnya, kita perlukan kod kelakuan yang boleh diterima-pakai dalam usaha membentuk golongan seperti 3K agar memastikan setiap isu/pandangan/saranan atau maklum-balas yang diluahkan samada melalui ruang wadah ( platform) yang pelbagai di ruang Internet dan media sosial terkawal lagi berhemah.

Jika tidak, dikhuatiri akuan Facebook/Twitter atau wadah di ruang Internet atau media sosial kelak lebih banyak timbul isu-isu bengek/remeh dan lebih bersifat kepentingan diri sendiri daripada memanfaatkan rakyat dan negara secara umumnya.