Friday, January 4, 2013

Mangsa penyeludupan manusia

Mungkin sebahagian besar warga Singapura agak terkejut dengan dapatan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat berhubung perlindungan mangsa penyeludupan manusia baru-baru ini.


Menurut laporan tersebut, Singapura kekal di tangga kedua 2 ( sama pada tahun 2010 ) dalam senarai amatan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Secara umumnya, tangga kedua membawa maksud Singapura dianggap tidak memenuhi sepenuhnya syarat-syarat perlaksanaan di dalam Akta Perlindungan Mangsa Perdagangan.

Dan juga besar kemungkinan dapatan tersebut dipengaruhi oleh kes terkini yang melibatkan 48 lelaki atas kesalahan membayar bagi mendapatkan khidmat seks pelacur bawah umur itu melalui sarang pelacuran yang dikendalikan dalam talian dalam sebuah laman Internet.

Dan implikasinya lebih hebat kerana yang terlibat dalam skandal tersebut antaranya terdiri daripada bekas kakitangan kanan pemerintah

Di bawah undang-undang, mengadakan hubungan seks berbayar dengan seseorang di bawah usia 18 tahun menjadi satu kesalahan dan ianya boleh membawa pada hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Walaupun dapatan itu jelas menunjukkan pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa Singapura dan meraih hasil kemajuan bagi memenuhi piawaian yang telah ditetapkan di bawah akta tersebut, sedikit sebanyak dapatan tersebut boleh mencemar nama baik Singapura yang jelas dan tegas dalam menangani isu seperti mangsa perdagangan.

Terdapat agensi , badan bantu diri serta rumah tumpangan yang secara kerap bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyediakan ruang bagi menempatkan kanak-kanak mangsa perdagangan dan orang dewasa.

Pemerintah Singapura juga secara konsisten melaporkan kes-kes seperti perdagang bagi tujuan seks / buruh paksa dan menghukum para pesalah dengan hukuman yang berat.

Tidakkah dengan penubuhan Pasukan Bertindak Antara Agensi bagi Membasmi Perdagangan Manusia melalui Pelan Tindakan Nasional bagi menyelaras kegiatan antiperdagangan manusia menunjukkan keseriusan pihak berkuasa Singapura terhadap masalah tersebut.

Ada berpendapat sudah tiba masanya pihak berkuasa Singapura melibatkan secara aktif warganya dalam menangani isu tersebut.

Ini termasuk kempen besar-besaran dalam pelbagai peringkat agar kesedaran tersebut meliput segala aspek dari segi pendakwaan, perlindungan, pencegahan dan kerjasama yang boleh terhasil daripada kerjasama antara pemerintah/ pertubuhan sivil dan orang awam.

Pada masa yang sama, hukuman yang setimpal juga perlu keatas pesalah yang bersekongkol dengan bapa ayam termasuk gadis dibawah umur yang terlibat. Ini agar keadilan dari aspek hukuman dan dakwaan merangkumi setiap individu yang terlibat. Kita tidak mampu menetapkan had umur bagi seseorang itu terlepas dari pendakwaan.



Semoga usaha sedemikian kelak membuahkan hasil agar Singapura dilihat selain terendah dalam indeks amalan rasuah dan diskriminasi, isu-isu mangsa perdagangan boleh dikekang sepenuhnya.