Thursday, February 7, 2013

Perlukan tindakan daripada setakat kepimpinan?



Bahang dari daya usaha Angkatan Karyawan Islam (AMP) untuk membentuk Forum Masyarakat (ComFor) yang dikatakan boleh menduplikasikan usaha-usaha yang kini dijalankan menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) masih dibahaskan samada didada akhbar mahupun diruang siber.

Antaranya ‘isi’ perbincangan hangat yang diadakan minggu lalu yang dihadiri oleh para pemimpin politik, pemimpin masyarakat, karyawan,pemimpin pertubuhan Melayu/Islam termasuk para graduan ialah perihal perlunya membentuk satu lagi ‘Forum’ untuk membincangkan jika tidak menghuraikan masalah masyarakat Melayu setempat.

Akhirnya, ada yang setuju dan ada yang tidak berdasarkan sumber pendapat/pengamatan/pengalaman masing-masing dalam usaha membenteras isu-isu yang masih ‘melekat-melekit ' dengan masyarakat kita.

Sebagai rakyat jelata yang biasa-biasa, diharapkan kededua badan ini samada bekerjasama atau memilih untuk mencari jalan keluar yang terbaik ( melalui musyawarah, umpamanya ) agar rumusannya memanfaatkan dan demi kemaslahatan bangsa kita.

Seperti tujuan AMP yang mendambakan penyertaan aktif semua pihak dalam mengenalpasti permasalahan, meneliti punca, mencari huraian dan melakar strategi ampuh (beserta tinjauan dan kajian saintifik) bagi menangani pelbagai masalah genting dan cabaran besar yang dihadapi masyarakat kita.

Cakap mudahnya, seperti kata mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff, Singapura kini menghadapi 'evolusi orkid' .

Ertinya, setiap anggota masyarakat mahu bersuara, sama ada maklum balas, aduan atau rungutan mereka didengar.

Mereka mahu terlibat dalam perancangan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Saya melihatnya satu usaha yang baik ke arah ‘menyempurnakan’ hajat setiap individu dikalangan masyarakat kita untuk membantu dalam memajukan bangsa kita.

Persoalannya, berapa ramaikah dikalangan warga kelas pertengahan/ bawahan, warga miskin, buta-huruf, keluarga pincang atau anggota masyarakat kita yang tidak mengikuti perkembangan ini, tahu apakah itu ( Comfor atau CLF ) ?

Contohnya, bagaimana agaknya reaksi golongan bawahan bila disuguhkan dengan kalimat kompleks seperti 'Cabaran Demografi dan Imigresen,

Pemikiran Semula Pertubuhan Sivil ,Pembangunan Sosial ,Keupayaan Ekonomi Masyarakat / liabiliti/ perkongsian sumber masyarakat atau polemik kepimpinan ?

Atau apakah golongan ini sedar/faham perbahasan perihal perlunya Comfor atau CLF sebenarnya menyasarkan ke atas kehidupan dan masa depan mereka yang sememangnya perlukan bantuan/harapan dan sokongan dari golongan atasan / pemimpin masyarakat ?

Ada berpendapat , sudah tiba masanya diedarkan risalah-risalah ringkas,mudah difahami/ dicerna ke atas golongan kelas bawahan ini agar setidak-tidaknya, selain golongan ini ( in the loop ), mereka juga boleh menyumbang idea untuk dipertimbangkan oleh kededua pihak ini.

Kesimpulannya, mungkin ramai anggota masyarakat kita lebih memerlukan tindakan daripada setakat kepimpinan /hujah/carta bagi menghuraikan masalah masyarakat?