Sunday, July 7, 2013

Teruskan amalan Ramadan dan Syawal sepanjang tahun mendatang.

Semangat dan usaha gigih yang dipaparkan oleh masyarakat kita sepanjang bulan Ramadan dan permulaan bulan Syawal boleh menjadi pembuka mata bangsa lain dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk disini.

Antara yang jelas ketara dalam kededua bulan itu ialah semangat menahan diri dengan berpuasa dek tuntutan agama, bertukar juadah sesama jiran tetangga, berhenti tabiat merokok dan menjaga kesihatan rohani serta jasmani, belas ehsan ke atas golongan miskin, hulur bantuan tenaga /derma, memeriahkan masjid dengan berjemaah, gotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka, berniaga di bazar, sokongan antara pembeli dan penjual, berkunjung ke rumah anggota keluarga/sanak-saudara serta menganjur majlis perjumpaan Hari Raya dan berusaha mengeratkan siratulrahim ke atas setiap lapisan masyarakat setempat tanpa bersempadankan agama,bangsa mahupun kepentingan peribadi masing-masing.

Pendek kata, sikap 'kepedulian' itu amat menyerlah dikalangan masyarakat kita sepanjang kededua bulan tersebut. Diharapkan agar sikap ini tidak dilabel sebagai amalan musiman semata-mata walaupun jelas begitulah nampaknya buat masa ini.

Dan jika amalan ini diteruskan sepanjang tahun, bayangkan manfaat,faedah dan kesan positifnya boleh membantu bukan saja mengubah gaya/budaya kehidupan seharian bangsa kita , malah boleh meningkatkan lagi sosio-ekonomi bangsa kita selain dapat mengurangkan gejala sosial yang masih melekat/meleket dalam sebahagian kecil anggota masyarakat kita.

Cakap mudahnya, kita akan lebih tahu tentang masalah yang dihadapi oleh jiran tetangga kita, prestasi pencapaian akademik anak-anak ahli anggota keluarga, bagaimana golongan miskin mengharungi kegenjotan kehidupan, naik taraf peniaga musiman kita ke tahap keusahawanan yang sejati lagi kekal serta boleh dilihat sebagai bangsa yang gigih untuk menyatukan setiap bangsa dan agama dalam meraikan setiap majlis ilmu mahupun riadah.

Ada berpendapat, sikap kepedulian seperti interaksi sesama jiran, sanak-saudara, bantu membantu golongan yang memerlukan serta sokongan ke atas peniaga musiman, jika terus diamalkan, tanpa disedari dapat meningkatkan lagi prestasi dan imej bangsa kita dan boleh dicontohi oleh bangsa yang lain.

Pendekatan mengamalkan sikap sebegini sepanjang tahun adalah lebih baik daripada sekadar mengharapkan bertambahnya individu dikalangan bangsa kita untuk meraih biasiswa Presiden atau inginkan jawatan kanan dalam Kementerian Pertahanan dan dalam kabinet Pemerintah.

Namun persoalannya, siapa atau berapa ramaikah dikalangan masyarakat kita yang mampu mengatur langkah permulaan untuk melaksanakan usaha murni ini? Atau kita setakat bersedia untuk melaksanakannya hanya bila menjelangnya Ramdahan dan Syawal ?

MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH