Sunday, July 7, 2013

Teruskan amalan Ramadan dan Syawal sepanjang tahun mendatang.

Semangat dan usaha gigih yang dipaparkan oleh masyarakat kita sepanjang bulan Ramadan dan permulaan bulan Syawal boleh menjadi pembuka mata bangsa lain dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk disini.

Antara yang jelas ketara dalam kededua bulan itu ialah semangat menahan diri dengan berpuasa dek tuntutan agama, bertukar juadah sesama jiran tetangga, berhenti tabiat merokok dan menjaga kesihatan rohani serta jasmani, belas ehsan ke atas golongan miskin, hulur bantuan tenaga /derma, memeriahkan masjid dengan berjemaah, gotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka, berniaga di bazar, sokongan antara pembeli dan penjual, berkunjung ke rumah anggota keluarga/sanak-saudara serta menganjur majlis perjumpaan Hari Raya dan berusaha mengeratkan siratulrahim ke atas setiap lapisan masyarakat setempat tanpa bersempadankan agama,bangsa mahupun kepentingan peribadi masing-masing.

Pendek kata, sikap 'kepedulian' itu amat menyerlah dikalangan masyarakat kita sepanjang kededua bulan tersebut. Diharapkan agar sikap ini tidak dilabel sebagai amalan musiman semata-mata walaupun jelas begitulah nampaknya buat masa ini.

Dan jika amalan ini diteruskan sepanjang tahun, bayangkan manfaat,faedah dan kesan positifnya boleh membantu bukan saja mengubah gaya/budaya kehidupan seharian bangsa kita , malah boleh meningkatkan lagi sosio-ekonomi bangsa kita selain dapat mengurangkan gejala sosial yang masih melekat/meleket dalam sebahagian kecil anggota masyarakat kita.

Cakap mudahnya, kita akan lebih tahu tentang masalah yang dihadapi oleh jiran tetangga kita, prestasi pencapaian akademik anak-anak ahli anggota keluarga, bagaimana golongan miskin mengharungi kegenjotan kehidupan, naik taraf peniaga musiman kita ke tahap keusahawanan yang sejati lagi kekal serta boleh dilihat sebagai bangsa yang gigih untuk menyatukan setiap bangsa dan agama dalam meraikan setiap majlis ilmu mahupun riadah.

Ada berpendapat, sikap kepedulian seperti interaksi sesama jiran, sanak-saudara, bantu membantu golongan yang memerlukan serta sokongan ke atas peniaga musiman, jika terus diamalkan, tanpa disedari dapat meningkatkan lagi prestasi dan imej bangsa kita dan boleh dicontohi oleh bangsa yang lain.

Pendekatan mengamalkan sikap sebegini sepanjang tahun adalah lebih baik daripada sekadar mengharapkan bertambahnya individu dikalangan bangsa kita untuk meraih biasiswa Presiden atau inginkan jawatan kanan dalam Kementerian Pertahanan dan dalam kabinet Pemerintah.

Namun persoalannya, siapa atau berapa ramaikah dikalangan masyarakat kita yang mampu mengatur langkah permulaan untuk melaksanakan usaha murni ini? Atau kita setakat bersedia untuk melaksanakannya hanya bila menjelangnya Ramdahan dan Syawal ?

MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Wednesday, April 3, 2013

Surat - Usah warga siber mencorak peranan skim bantuan setempat.

Apakah kisah seperti Adlea Ry’Kyla yang perlukan pemindahan jantung dan Akmal yang menghidapi penyakit jantung HLHS ( BM, 05 Aug 2012) akan menjadi tren dihari

muka dimana penderitaan bayi dan kanak-kanak ini lebih menarik perhatian media hingga mendorong ramai menghulurkan sokongan dan bantuan kewangan bagi

menanggung kos rawatan yang seringkali boleh mencecah ratusan ribu dolar ?



Dari segi tanggung-jawab moral dan sosial serta bersifat ihsan, langkah mendapatkan ‘derma kilat’ dapat membantu merawat pesakit yang dalam keadaan

kritikal dan meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung keluarga pesakit.



Cara sebegini juga lebih cepat berbanding pendekatan kaedah skim bantuan yang sedia ada dimana borang perlu diisi dengan keterangan peribadi/keluarga yang lengkap,

pemindahan/rujukan dari satu agensi ke agensi yang lain serta pendaftaran/ pemprosesan yang adakalanya mengambil masa berminggu jika tidak berbulan.



Akhirnya, bantuan yang diharapkan juga seringkali tidak mencukupi.



Seperkara lagi, kita perlu sedar, penyakit seperti yang dihidapi oleh bayi /kanak-kanak ini tidak mampu dikawal/diselia/diramal sebelum ianya berlaku. Lantas sebarang bantuan berbentuk kewangan

sewajarnya diluluskan dengan segera berbanding membantu golongan miskin merempat yang tiada tempat berteduh.



Namun meraih ratusan ribuan dolar daripada sumbangan orangramai boleh juga memberi mesej dan imej yang ‘negatif’ ke atas peranan pihak

hospital atau badan bantu diri setempat?



Memburukkan keadaan bilamana wang atau lebihan yang terkumpul disoal oleh pihak kepentingan tentang niat atau pelan bertindak seterusnya oleh

si penerima wang derma tersebut.



Memang langkah berjaga-jaga diperlukan dari masa ke semasa agar wang sumbangan orangramai tidak disalahguna.



Namun persoalan utamanya ialah masyarakat ingin melihat bagaiman pihak hospital atau badan bantu diri dapat mengatasi kos rawatan yang

tertunggak serta membantu dilema yang dihadapi keluarga sebegini.



Cakap mudahnya, pihak hospital dan badan bantu diri yang perlu tampil ke hadapan terlebih dahulu dalam menghuraikan

kes-kes ( kos rawatan / tunggakan ) seperti ini sebelum orangramai mengambil alih tugasan ini.



Malangnya, ada pihak berkepentingan lebih berminat tentang lebihan wang terkumpul dari orangramai daripada mencari cara bagaiman bantuan

dari pihak wewenang boleh dilaksanakan terlebih dahulu.



Kita perlu sediamaklum, tren mendapatkan simpati/bantuan serta kewangan melalui mediamassa atau di ruang siber

seperti Facebook kelak akan secara tidak langsung mempersoalkan/meremehkan tentang kekuatan, peranan,tanggung-jawab

serta kemampuan agensi/badan kebajikan/pihak hospital/skim bantuan yang disediakan oleh mana-mana agensi setempat dalam membantu golongan

yang memerlukan.



Akhirkata, sambutan dan bantuan dari warga siber sewajarnya menjadi pembuka mata ke atas setiap agensi untuk mengambil iktibar daripada perkembangan ini.





Thursday, February 7, 2013

Perlukan tindakan daripada setakat kepimpinan?



Bahang dari daya usaha Angkatan Karyawan Islam (AMP) untuk membentuk Forum Masyarakat (ComFor) yang dikatakan boleh menduplikasikan usaha-usaha yang kini dijalankan menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) masih dibahaskan samada didada akhbar mahupun diruang siber.

Antaranya ‘isi’ perbincangan hangat yang diadakan minggu lalu yang dihadiri oleh para pemimpin politik, pemimpin masyarakat, karyawan,pemimpin pertubuhan Melayu/Islam termasuk para graduan ialah perihal perlunya membentuk satu lagi ‘Forum’ untuk membincangkan jika tidak menghuraikan masalah masyarakat Melayu setempat.

Akhirnya, ada yang setuju dan ada yang tidak berdasarkan sumber pendapat/pengamatan/pengalaman masing-masing dalam usaha membenteras isu-isu yang masih ‘melekat-melekit ' dengan masyarakat kita.

Sebagai rakyat jelata yang biasa-biasa, diharapkan kededua badan ini samada bekerjasama atau memilih untuk mencari jalan keluar yang terbaik ( melalui musyawarah, umpamanya ) agar rumusannya memanfaatkan dan demi kemaslahatan bangsa kita.

Seperti tujuan AMP yang mendambakan penyertaan aktif semua pihak dalam mengenalpasti permasalahan, meneliti punca, mencari huraian dan melakar strategi ampuh (beserta tinjauan dan kajian saintifik) bagi menangani pelbagai masalah genting dan cabaran besar yang dihadapi masyarakat kita.

Cakap mudahnya, seperti kata mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff, Singapura kini menghadapi 'evolusi orkid' .

Ertinya, setiap anggota masyarakat mahu bersuara, sama ada maklum balas, aduan atau rungutan mereka didengar.

Mereka mahu terlibat dalam perancangan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Saya melihatnya satu usaha yang baik ke arah ‘menyempurnakan’ hajat setiap individu dikalangan masyarakat kita untuk membantu dalam memajukan bangsa kita.

Persoalannya, berapa ramaikah dikalangan warga kelas pertengahan/ bawahan, warga miskin, buta-huruf, keluarga pincang atau anggota masyarakat kita yang tidak mengikuti perkembangan ini, tahu apakah itu ( Comfor atau CLF ) ?

Contohnya, bagaimana agaknya reaksi golongan bawahan bila disuguhkan dengan kalimat kompleks seperti 'Cabaran Demografi dan Imigresen,

Pemikiran Semula Pertubuhan Sivil ,Pembangunan Sosial ,Keupayaan Ekonomi Masyarakat / liabiliti/ perkongsian sumber masyarakat atau polemik kepimpinan ?

Atau apakah golongan ini sedar/faham perbahasan perihal perlunya Comfor atau CLF sebenarnya menyasarkan ke atas kehidupan dan masa depan mereka yang sememangnya perlukan bantuan/harapan dan sokongan dari golongan atasan / pemimpin masyarakat ?

Ada berpendapat , sudah tiba masanya diedarkan risalah-risalah ringkas,mudah difahami/ dicerna ke atas golongan kelas bawahan ini agar setidak-tidaknya, selain golongan ini ( in the loop ), mereka juga boleh menyumbang idea untuk dipertimbangkan oleh kededua pihak ini.

Kesimpulannya, mungkin ramai anggota masyarakat kita lebih memerlukan tindakan daripada setakat kepimpinan /hujah/carta bagi menghuraikan masalah masyarakat?

Friday, January 4, 2013

Mangsa penyeludupan manusia

Mungkin sebahagian besar warga Singapura agak terkejut dengan dapatan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat berhubung perlindungan mangsa penyeludupan manusia baru-baru ini.


Menurut laporan tersebut, Singapura kekal di tangga kedua 2 ( sama pada tahun 2010 ) dalam senarai amatan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Secara umumnya, tangga kedua membawa maksud Singapura dianggap tidak memenuhi sepenuhnya syarat-syarat perlaksanaan di dalam Akta Perlindungan Mangsa Perdagangan.

Dan juga besar kemungkinan dapatan tersebut dipengaruhi oleh kes terkini yang melibatkan 48 lelaki atas kesalahan membayar bagi mendapatkan khidmat seks pelacur bawah umur itu melalui sarang pelacuran yang dikendalikan dalam talian dalam sebuah laman Internet.

Dan implikasinya lebih hebat kerana yang terlibat dalam skandal tersebut antaranya terdiri daripada bekas kakitangan kanan pemerintah

Di bawah undang-undang, mengadakan hubungan seks berbayar dengan seseorang di bawah usia 18 tahun menjadi satu kesalahan dan ianya boleh membawa pada hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Walaupun dapatan itu jelas menunjukkan pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa Singapura dan meraih hasil kemajuan bagi memenuhi piawaian yang telah ditetapkan di bawah akta tersebut, sedikit sebanyak dapatan tersebut boleh mencemar nama baik Singapura yang jelas dan tegas dalam menangani isu seperti mangsa perdagangan.

Terdapat agensi , badan bantu diri serta rumah tumpangan yang secara kerap bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyediakan ruang bagi menempatkan kanak-kanak mangsa perdagangan dan orang dewasa.

Pemerintah Singapura juga secara konsisten melaporkan kes-kes seperti perdagang bagi tujuan seks / buruh paksa dan menghukum para pesalah dengan hukuman yang berat.

Tidakkah dengan penubuhan Pasukan Bertindak Antara Agensi bagi Membasmi Perdagangan Manusia melalui Pelan Tindakan Nasional bagi menyelaras kegiatan antiperdagangan manusia menunjukkan keseriusan pihak berkuasa Singapura terhadap masalah tersebut.

Ada berpendapat sudah tiba masanya pihak berkuasa Singapura melibatkan secara aktif warganya dalam menangani isu tersebut.

Ini termasuk kempen besar-besaran dalam pelbagai peringkat agar kesedaran tersebut meliput segala aspek dari segi pendakwaan, perlindungan, pencegahan dan kerjasama yang boleh terhasil daripada kerjasama antara pemerintah/ pertubuhan sivil dan orang awam.

Pada masa yang sama, hukuman yang setimpal juga perlu keatas pesalah yang bersekongkol dengan bapa ayam termasuk gadis dibawah umur yang terlibat. Ini agar keadilan dari aspek hukuman dan dakwaan merangkumi setiap individu yang terlibat. Kita tidak mampu menetapkan had umur bagi seseorang itu terlepas dari pendakwaan.



Semoga usaha sedemikian kelak membuahkan hasil agar Singapura dilihat selain terendah dalam indeks amalan rasuah dan diskriminasi, isu-isu mangsa perdagangan boleh dikekang sepenuhnya.



Monday, December 3, 2012

Pemimpin yang boleh dipimpin dan memimpin.


Menurut Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pilihan raya kecil Hougang disifatkan sebagai sesuatu yang menyusahkan para penduduk dan menyulitkan banyak pihak.

Ini ekoran pemecatan mantan AP Hougang yang juga anggota WP ( Parti Pekerja ), Encik Yaw Shin Leong atas dakwaan berkaitan hubungan intimnya bersama beberapa wanita.

Mungkin dari kacamata sebahagian penduduk Hougang, jelas pendedahan ( skandal ) seperti ini amat mengecewakan kerana kepercayaan dan keyakinan yang telah diberi ke atas seorang AP ( Parti Pekerja ) melalui kotak undi untuk memilih calon yang boleh memimpin, melaksanakan tanggung-jawab moral, memperjuangkan nasib rakyat dibawah naungannya, seolah-olah sudah meleset dan terhakis.



Ini memandangkan secara umumnya, setiap pemimpin yang dipilih dan terpilih untuk menjaga kemaslahatan warga setempat pastinya sudah mempunyai nilai-nilai sosial dan etika yang tinggi berbanding warga biasa kerana setiap gerak-geri,cara pemikiran, perwatakan serta usaha ke arah menangani setiap isu yang ditimbulkan oleh para penduduk dibawah naungannya menjadi perhatian penduduk.



Sayangnya, dek skandal sebegini, segala harapan dan semangat yang diperjuangkan oleh mana-mana parti sekalipun boleh diibaratkan peribahasa bak seekor lembu membawa lumpuh, terpalit kesemuanya.



Dengan ertikata yang lain, mungkin untuk mengembalikan suara alternatif atau perangkaan peratusan undi di kawasan Hougang yang diselama ini ditakluki oleh Parti Pekerja tidak akan sehebat atau setinggi sebelum ini.



Keputusan dan peratusan didalam kotak undi kelak akan memberi gambaran yang jelas lagi tuntas tentang hala tuju serta kekecewaan yang dirasakan oleh sebahagian penduduk disitu.



Walau apapun keputusannya kelak, pilihan raya kecil ini juga memberi peluang/ruang untuk parti pemerintah/pembangkang/perseorangan sama-sama membuktikan kesediaan/keseriusan masing-masing dalam melaksanakan tanggung-jawab dalam memimpin para penduduk.



Bagi parti pemerintah yang selama ini gagal menakluki hati pengundi Hougang, inilah peluang Pertama ( jika menang) boleh membuktikan kesungguhan usaha dalam memberi nafas baru dari aspek pembangunan sosial hingga ke infrastuktur di kawasan tersebut yang jelas buat masa ini agak mundur/lesu berbanding kawasan disekitarannya.



Bagi parti pembangkang pula, inilah kesempatan Terakhir ( jika menang ) untuk tidak melakukan kesilapan yang lalu ( skandal ) kerana pastinya setiap warga Hougang mampu berfikir dan tidak akan mengundi bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.



Akhirkata, bagi setiap pengundi yang bakal keluar mengundi kelak, hanya kewarasan/kesedaran/kebijaksanaan dalam diri saja yang dapat membezakan antara kaca dan pertama. Usahlah kesilapan lampau menghantui sekali lagi atau terselindung dek pelbagai janji manis, sorakkan yang hebat, bijak berpidato yang akhirnya merugikan diri sendiri.





Friday, November 2, 2012

Golongan 3K dan pertanggung-jawaban.



Dalam konteks kehidupan seharian disini, dari segi ruang dan peluang untuk menyuarakan pandangan atau memberi maklum-balas, pelbagai saluran disediakan oleh agensi pemerintah mahupun badan bantu diri setempat.

Dan dewasa ini, wadah ( platform) yang pelbagai di ruang Internet dan media sosial tampak lebih mudah melahirkan golongan 3K ( komen, kritik, komplen ) yang terbuku diminda dan hati sehingga seringkali memberi impak ke atas suatu isu yang diketengahkan, dibincang serta disebar-luas di ruang Internet.

Namun setiap apa yang diluahkan atau sekadar ingin memberi respons atau saranan, perlu juga berlandaskan nilai-nilai ‘pertanggung-jawaban’.

Cakap mudahnya, usah membaling batu sembunyi tangan.

Walaupun dari aspek memberi maklum-balas atau saranan ke atas isu-isu yang berkaitan dengan perkembangan sosio-ekonomi, pemerintahan, agama,budaya atau bangsa, perlu juga penyampaian dan pandangan itu seharusnya mampu memperkasa serta mendidik dan bukannya mengaibkan atau memecahbelahkan rakyat.

Yang terkini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong melancarkan akaun Facebook dan Twitternya.

Antara lain, ini menunjukkan Encik Lee sedia menerima idea-idea yang diluahkan setiap warga dan berharap langkah ini dapat membantu menambah satu lagi ruang ( memberi maklum-balas / saranan ) dalam proses meningkatkan lagi proses mutu kehidupan kita.

Seyogia diingatkan, setiap warga perlu dapat membezakan antara perbincangan diruang Internet yang lebih santai berbanding perbincangan di meja bundar yang lebih formal.

Pada masa yang sama, dalam usaha pemerintah mendekatkan lagi diri ( melalui saluran sosial ) dengan warga setempat, ada bersetuju untuk pemerintah memperkenalkan undang-undang bagi melindungi penduduk daripada kegiatan penyalahgunaan Internet akhir tahun ini.

Ringkasnya, kita perlukan kod kelakuan yang boleh diterima-pakai dalam usaha membentuk golongan seperti 3K agar memastikan setiap isu/pandangan/saranan atau maklum-balas yang diluahkan samada melalui ruang wadah ( platform) yang pelbagai di ruang Internet dan media sosial terkawal lagi berhemah.

Jika tidak, dikhuatiri akuan Facebook/Twitter atau wadah di ruang Internet atau media sosial kelak lebih banyak timbul isu-isu bengek/remeh dan lebih bersifat kepentingan diri sendiri daripada memanfaatkan rakyat dan negara secara umumnya.

Thursday, October 11, 2012

Perlukah dikaji semula latihan dalam Perkhidmatan Negara?




Setiap ibubapa yang mempunyai anak lelaki yang bakal menjalani Perkhidmatan Negara pasti berasa bimbang dan resah dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Sejak empat bulan yang lalu, seramai tiga anggota Perkhidmatan Negara dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) samada berpangkat Prebet mahupun anggota sepenuh masa rebah lalu meninggal dunial ketika melakukan latihan jasmani atau larian jarak jauh.



Bagi sesetengah warga pula, tiga atau empat anggota yang terkorban tidak dilihat sebagai kritikal atau serius berbanding ribuan anggota yang telah menjaya menamatkan Perkhidmatan Negara masing-masing setiap tahun.



Dan bagi Kementerian Pertahanan (Mindef) pula, langkah-langkah seperti menyediakan pegawai perubatan SAF

dalam memberi bantuan kecemasan dalam menyelamatkan nyawa anggotanya dilihat sebagai sudah mencukupi ketika para anggotanya menjalankan sesi latihan.



Dan sekiranya mangsa tidak dapat diselamatkan, secara formalnya, pihak kementerian samada akan menjalankan siasatan ( apakah kesudahan atau dapatan dari siasatan itu ) atau sekadar mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan jika perlu, menghulurkan bantuan yang sewajarnya.



Sebagai contoh, siasatan ke atas kegenjotan/kerosakkan yang berlaku pada Sistem Gerak Cepat (MRT) baru-baru ini sehingga dilihat perlunya dibentuk satu jawatankuasa yang juga merangkumi para saksi/pegawai yang bertugas dan kini dibawa pula ke mahkamah untuk dibentangkan hujah serta mencari keadilan yang sewajarnya.



Ada semacam rasa puas dari warga Singapura kerana melihat pemerintah bersungguh-sungguh untuk menghuraikan/memperbaiki sistem yang ada serta member tekanan pada pihak pengendali dengan isyarat yang jelas dimana setiap tanggung-jawab dalam member khidmat pada pengguna perlu telus, teguh dan berkesan.



Cakap mudahnya, kalis silap yang berulang.



Namun apakah langkah yang sama ( kematian para anggota NS ) boleh dijuga dibawa ke muka pengadilan kerana ianya melibatkan jiwa anak muda Singapura yang terkorban ketika berkorban untuk negara pertiwi ?



Setidak-tidaknya, ada pula berpendapat, sejauh manakah atau apakah bentuk bantuan yang telah diberi/disediakan untuk keluarga mendiang?



Cakap mudahnya, berapa tahun bantuan boleh diberikan atau ianya bersandarkan pada kemampuan mendiang anggota keluarga untuk menyara hidup tanpa orang yang tersayang disisi.



Ini memandangkan jika ibubapa yang mempunyai satu-satunya anak lelaki yang diharapkan dapat menyara keluarga setelah tamat (NS) dan kemudiannya bekerja akhirnya menemui ajal ketika melakukan latihan /latihan kerahan ?



Memang kita secara umumnya merasakan langkah untuk mengemas kembali/menganalisis setiap program /prosedur latihan yang diperkenalkan selama ini dalam Perkhidmatan Negara tidak wajar dirombak hanya kerana kematian tiga anggota Perkhidmatan Negara.



Namun persoalannya, tidakkah ianya lebih baik bertindak sekarang dan segera sebelum kes-kes seperti ini mula bertambah dan tanpa disangka berlaku ke atas anggota keluarga kita sendiri.



Kesimpulannya, diharap Kementerian yang terlibat dapat segera bertindak sebelum lebih ramai warga muda yang sedia berkorban untuk Negara terkorban akhirnya sebelum masanya.