Thursday, December 4, 2008

Nasib suami yang bertanggung-jawab terbela?

Sejak isu bapa atau suami yang tidak bertanggung-jawab ditimbulkan dalam sesi dialog antara Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, anjuran Mesra dan MAEC baru-baru ini, pelbagai pandangan diutarakan demi membela nasib para isteri atau ibu pada anak-anak yang menjadi mangsa.

Walaupun tidak semua golongan 'lelaki' yang bergelar suami atau bapa yang tidak bertanggung-jawab, namun jika dilihat dari angka peratusan aduan yang dibuat oleh para isteri ke atas badan-badan bantu diri, rata-rata bilangan suami/bapa yang gagal memainkan peranan sebagai ketua keluarga agak tinggi juga.

Ada berpendapat ada segelintir aduan yang boleh diibaratkan bak ' lebih sudu dari kuah'. Tidak kurang juga ada merasakan punca suami mengabaikan tanggung-jawabnya dek sang isteri yang kurang fokus dalam isu-isu rumahtangga. Namun secara am, antara puncanya samada bercerai dengan isteri, meringkuk di penjara/pusat pemulihan atau ada yang mempunyai kerjaya sekalipun, tumpuan ke atas anggota keluarga dibawa jagaannya tidak dilaksanakan mengikut tuntutan agama mahupun sosial.

Maka tidak hairanlah, selain kadar perceraian yang tinggi dikalangan masyarakat Melayu/Islam, pemerintah menggesa agar memberi tekanan sosial ke atas kaum suami/bapa yang gagal melaksanakan tanggung-jawab dengan sempurna. Gesaan ini bagi memastikan adanya penakatan dalam aspek membina institusi keluarga yang teguh lagi kukuh untuk hari muka.

Dengan ertikata yang lain, saranan dan rumusan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak dan individu bagi membela nasib para isteri yang 'hak'nya diabaikan oleh sang suami/bapa.

Bolehlah kiranya sang isteri tersenyum dan lega rasa dihati yang selama ini pernah melalui keperitan hidup sebumbung dengan sang suami yang tidak bertanggung-jawab ini.

Nanti dulu, izinkan saya timbulkan satu persoalan yang amat jarang diketengahkan atau dikupas tuntas dewasa ini. Mungkin ianya berkaitan dengan 'ego' sang suami/bapa sehingga soalan cupu emas ini jarang diutara dan dibincangkan.

Persoalannya - Bagaimana sang suami yang bertanggung-jawab selama ini terbela 'nasib'nya bila mempunyai sang isteri yang tidak bertanggung-jawab pula?

Seperti pengalaman Cik Khartini Khalid yang berpeluang menerima banyak aduan dari sang isteri yang diabaikan oleh suami, saya pula sempat bersua dan mendengar kisah-kisah sang suami yang diabaikan pula oleh isteri masing-masing. Antaranya sebagai surirumah sepenuh masa, sang isteri gagal memberi fokus ke atas pengasuhan/didikan anak-anak, perihal rumahtangga,pembaziran dari aspek perbelanjaan rumah,gagal melaksanakan tugas serta tuntutan agama dan tanggung-jawab sebagai seorang isteri. Bak kata ' makan hati', begitulah luahan sebahagian para suami bila berdepan dengan isteri yang tidak bertanggung-jawab.

Saya yakin terdapat kes-kes dimana sang suami yang merungut atau membuat aduan tapi sayangnya, kisah-kisah dan huraiannya tidak diketahui ramai khususnya bagi golongan suami.

Kesimpulannya, setiap insan mempunyai kelemahan dan tanpa disedari juga, setiap tingkah yang buruk ( gagal beri nafkah, curang, abaikan tanggung-jawab dan sebagainya ) adakalanya berpunca dari karenah isteri mahpun suami itu sendiri. Dengan ertikata yang lain, suami/isteri kurang mendapat perhatian dan sokonga dari pasangan masing-masing untuk merealisasikan sebuah keluarga bahagia.

Dari itu, diharapkan dalam masa kita bertungkus-lumus menilai kemampuan sang suami dari kacamata seorang isteri, perlu juga kita bersikap adil dalam mencari kelemahan yang sering terselindung dalam diri kaum Hawa juga.

Hubungan sosial zaman dulu lebih sempurna?

Setiapkali ditimbulkan topik hubungan sosial dan interaksi antara teruna/dara dewasa ini sebelum mereka melangkah ke alam merisik,bertunang, pra-nikah dan seterusnya ke jinjang pelamin, kerap juga ianya dibandingkan dengan zaman datuk nenek moyang kita. Dengan ertikata yang lain, hubungan interaksi dan pergaulan antara pemuda-pemudi zaman dulu-dulu lebih sempurna,beradab dan dianggap 'suci' oleh sebahagian besar golongan orang tua kita.

Itulah antara persoalan dan perbincangan yang cuba dikupas dari perspektif diantara golongan tua dan muda bilamana isu-isu pertunangan,perkahwinan diutarakan dalam mediamassa setempat baru-baru ini. Sayangnya, kerapkali juga golongan muda/remaja menjadi mangsa perbincangan dalam isu-isu sebegini kerana golongan tua merasakan golongan muda terlalu banyak terdedah dengan pelbagai kaedah moden sehingga menghancurkan nilai, adat dan tatasusila dalam perhubungan yang telah dijunjung dek zaman berzaman dulu.

Secara kebetulan, seorang anak muda mengajukan soalan samada hubungan sosial zaman 'dulu-dulu' lebih suci, sempurna, mulia pada pandangan mata orangramai berbanding sekarang?

Jawaban saya mudah : cuba bayangkan suasana zaman datuk nenek moyang kita dulu.

Antaranya, suasana kampung yang terasing diantara satu kampung dengan yang lain, kekurangan dari segi alat berkomunikasi/penyiaran/teknologi seperti talipon dan Tv. Dari aspek perkembangan ekonomi pula, lebih ramai anak-anak lelaki yang keluar bekerja berbanding anak-anak gadis yang seringkali terperap didapur saja. Ini antara sebab mengapa hubungan sosial ketika itu lebih terkawal atau lebih tepat ‘anak-anak remaja terjaga’ oleh orang tua-tua dulu. Maka itu, agak kuranglah peluang dan ruang si dara/teruna untuk dapat bersua,berkenalan berbanding sekarang.

Cakap mudahnya, pergaulan zaman dulu tidaklah 'sebebas' berbanding dewasa ini.

Walauapapun pandangan dan perspektif golongan tua terhadap golongan muda yang sering berbeza, yang penting tiada zaman yang ‘bebas’ dari segala kelemahan atau kebanggaan dari segala aspek kehidupan sekalipun. Yang penting, golongan tua perlu memahami cabaran hidup anak muda sekarang dan pada masa yang sama, golongan muda pula perlu memastikan adat-budaya dan tatasusila bangsa/agama terjaga semampu mungkin dalam konteks kehidupan sekarang.

Kesimpulannya, kedua-dua belah pihak ( golongan tua mahupun muda) seharusnya secara bijaksana perlu menghormati antara satu dengan yang lain demi kemaslahatan bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. Ibarat kata, lebih baik mencari persamaan dalam perbezaan hidup adalah lebih memanfaatkan daripada meluaskan lagi jurang perfahaman golongan dua generasi ( tua dan muda) ini.

Bom buatan sendiri bak 'bom jangka'

Laporan BH bertarikh 23hb Oct 2008 bertajuk " Dua didenda $400 kerana ledakkan bunga api" mengingatkan kita kisah satu lagi laporan tahun lalu berjudul " 2 pelajar mengaku buat bom sendiri dari bunga api' bertarikh ( BH,09hb Januari 2007, m/s 2).

Lebih membimbangkan bilamana menurut kenyataan polis, sebanyak 32 kes letupan melibatkan penggunaan bunga api atau serbuknya dilaporkan sepanjang tahun 2006.

Sekali imbas jika boleh dirumuskan, para remaja yang terlibat setakat inginkan 'feel' bunyi letupan yang lebih kuat dan tidak berniat untuk mencederakan atau memusnahkan harta benda. Ini memandangkan ada aksi-aksi yang dirakam untuk berseronok dan berkongsi dengan rakan yang lain.

Persoalannya, selama mana 'eksperimen' sebegini tidak disalahguna dihari muka oleh individu yang tidak bertanggung-jawab atau yang mempunyai agenda/motif yang tersendiri? Bayangkan, serbuk dari bunga api/mercun jika dikumpul seberat 1/2 kilo dalam jangka panjang, tidakkah membahayakan pada orang awam dan harta benda?

Ada berpendapat demi keselamatan awam dan harta benda, bagi membendungnya ialah dengan mengharamkan segala bentuk/bahan letupan dari dijual dikedai-kedai.

Ini mungkin sejajar dengan usaha membenteras unsur-unsur pengganasan yang melibatkan bahan letupan, sepertimana pengharaman yang dilakukan ke atas 'chewing gums' yang mampu menggenjotkan kelicinan perkhidmatan awam suatu ketika dulu.

Namun terdapat juga mercun yang tidak membahayakan kanak-kanak dan tujuanya setakat untuk memeriahkan musim perayaan semata-mata, Dan jika ingin diharamkan juga, masih terdapat banyak lagi bahan seharian yang dijual dikedai-kedai yang boleh juga dijadikan bahan letupan.

Bagi saya, puncanya bukan terletak ke atas pengimport dan penjualan bunga api/mercun yang masih dibenarkan di Singapura, sebaliknya tidak semua pembeli/pengguna mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Ini kerana kita sedia maklum, khususnya naluri remaja memang berminat pada unsur-unsur ( exploration + challange = satisfaction ), maka penyalahgunaan bahan-bahan ini tidak mustahil dilakukan oleh para remaja kita.

Diburukkan lagi, hukuman probesen/penjara ke atas kesalahan membuat 'bom' sendiri tanpa bertujuan mencedera atau musnahkan harta benda tidak begitu berat berbanding jika bertindak ala aksi para pengganas.

Dan paling mengerikan, apakah para peniaga dikedai-kedai memantau jika bahan-bahan letupan seperti bunga api/ mercun dibeli secara 'bulk' ? Atau para penjual lebih utamakan keuntungan dari jualan bahan-bahan ini lebih dititikberatkan?

Saya berpendapat, adalah lebih baik jika kita menjalankan kempen-kempen kesedaran lebih agresif (daripada setakat mengharamkan sesuatu produk itu) seperti mana mesej-mesej keharmonian kaum, membenteras fahaman dan tindakan ganas yang telah berjaya mencapai matlamatnya ke atas orangramai.

Akhirkata, isu-isu sebegini biarpun dilihat sebagai 'remeh-temeh', ia sebenarnya bak 'bom jangka' yang boleh menggegarkan jika kita gagal mencari solusi ke atasnya secepat mungkin.