Monday, December 3, 2012

Pemimpin yang boleh dipimpin dan memimpin.


Menurut Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pilihan raya kecil Hougang disifatkan sebagai sesuatu yang menyusahkan para penduduk dan menyulitkan banyak pihak.

Ini ekoran pemecatan mantan AP Hougang yang juga anggota WP ( Parti Pekerja ), Encik Yaw Shin Leong atas dakwaan berkaitan hubungan intimnya bersama beberapa wanita.

Mungkin dari kacamata sebahagian penduduk Hougang, jelas pendedahan ( skandal ) seperti ini amat mengecewakan kerana kepercayaan dan keyakinan yang telah diberi ke atas seorang AP ( Parti Pekerja ) melalui kotak undi untuk memilih calon yang boleh memimpin, melaksanakan tanggung-jawab moral, memperjuangkan nasib rakyat dibawah naungannya, seolah-olah sudah meleset dan terhakis.



Ini memandangkan secara umumnya, setiap pemimpin yang dipilih dan terpilih untuk menjaga kemaslahatan warga setempat pastinya sudah mempunyai nilai-nilai sosial dan etika yang tinggi berbanding warga biasa kerana setiap gerak-geri,cara pemikiran, perwatakan serta usaha ke arah menangani setiap isu yang ditimbulkan oleh para penduduk dibawah naungannya menjadi perhatian penduduk.



Sayangnya, dek skandal sebegini, segala harapan dan semangat yang diperjuangkan oleh mana-mana parti sekalipun boleh diibaratkan peribahasa bak seekor lembu membawa lumpuh, terpalit kesemuanya.



Dengan ertikata yang lain, mungkin untuk mengembalikan suara alternatif atau perangkaan peratusan undi di kawasan Hougang yang diselama ini ditakluki oleh Parti Pekerja tidak akan sehebat atau setinggi sebelum ini.



Keputusan dan peratusan didalam kotak undi kelak akan memberi gambaran yang jelas lagi tuntas tentang hala tuju serta kekecewaan yang dirasakan oleh sebahagian penduduk disitu.



Walau apapun keputusannya kelak, pilihan raya kecil ini juga memberi peluang/ruang untuk parti pemerintah/pembangkang/perseorangan sama-sama membuktikan kesediaan/keseriusan masing-masing dalam melaksanakan tanggung-jawab dalam memimpin para penduduk.



Bagi parti pemerintah yang selama ini gagal menakluki hati pengundi Hougang, inilah peluang Pertama ( jika menang) boleh membuktikan kesungguhan usaha dalam memberi nafas baru dari aspek pembangunan sosial hingga ke infrastuktur di kawasan tersebut yang jelas buat masa ini agak mundur/lesu berbanding kawasan disekitarannya.



Bagi parti pembangkang pula, inilah kesempatan Terakhir ( jika menang ) untuk tidak melakukan kesilapan yang lalu ( skandal ) kerana pastinya setiap warga Hougang mampu berfikir dan tidak akan mengundi bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.



Akhirkata, bagi setiap pengundi yang bakal keluar mengundi kelak, hanya kewarasan/kesedaran/kebijaksanaan dalam diri saja yang dapat membezakan antara kaca dan pertama. Usahlah kesilapan lampau menghantui sekali lagi atau terselindung dek pelbagai janji manis, sorakkan yang hebat, bijak berpidato yang akhirnya merugikan diri sendiri.