Tuesday, January 6, 2009

Ayuh, sertai pesta tahun baru 2009.

Akhir tahun ini, lebih tepat malam Rabu depan, kawasan persisiran pantai Marina serta dipusat bandar dimana terletaknya beberapa buah pub dan kelab malam akan bermandikan cahaya dan pancaran bunga api, pesta tari-menari, hiburan dengan diiringi artis-artis anjuran panganjur bagi sambutan kedatangan awal tahun baru 2009. Selain sambutannya juga diadakan diseluruh dunia, acara meriah dan gemilang ini pastinya dan seringkali dapat menarik lebih ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan golongan masyarkat kita khusus para remaja.

Namun bagi sesetengah kita, acara sebegini seringkali dilihat sebagai lebih berunsur 'negatif' daripada membawa sebarang manfaat dan kebaikan ke atas para pengunjung yang menyertai pesta hiburan ini. Ianya juga dianggap 'liar' dari aspek pengaulan bebas semasa acara/pesta ini berlangsung. Tambahan pula, ianya juga tidak selaras dengan tuntutan agama mahupun budaya kita. Dan dalam syarahan mahupun khutbah, acara sebegini sering mendapat kritikan tanpa sebarang langkah alternatif dianjurkan. Maka kita sebagai warga yang berbudaya dan beragama, pesta dan acara sebegini sering dijauhi.

Akhirnya, secara tidak langsung, kita bersikap 'exclusive' ke atas acara-acara sebegini sedang sebahagian besar dari rakyat Singapura terus berpesta dan berhibur dalam menyemarakkan lagi semangat kedatangan awal tahun baru.

Mungkin telah tiba masanya, sikap dan pendekatan kita ke atas acara seperti ini perlu diubah dan dilihat dari perspektif yang lebih positif. Maksud saya, kita juga berhak dan sepatutnya turut serta dalam 'menyemarakkan' acara-acara seperti ini. Dengan ertikata yang lain, kita tidak perlulah mengadai nilai-nilai dan tatasusila bangsa dan agama kita atau bertandang ke lokasi-lokasi pesta tersebut, jika dikhuatiri dapat mengugat keimanan kita.

Sebaliknya gunakan 'saat' peluang keemasan ini untuk samada berkumpul seisi keluarga bagi merapatkan lagi hubungan antara ibubapa dan anak remaja dengan keluar berjamu selera di restoren, berpesta atau berhibur, asalkan apa juga aktiviti yang dilakukan perlu berlandaskan tuntutan agama dan budaya kita. Jika kawasan bandar dan dipersisiran pantai Marina menjadi sasaran penganjur untuk pesta akhir tahun, pernahkah terlintas diminda untuk adakan perhimpunan kita samada ditepi pantai dikawasan barat, timur,utara atau adakan semacam majlis perhimpunan kaum keluarga dimasjid-masjid dengan acaranya yang tidak terlalu condong dengan majlis syarahan umpamanya.

Gunakan peluang ini juga untuk berinteraksi semasa anak dan ibubapa serta 'menyemarakkan' lagi nilai-nilai yang boleh menyatukan setiap anggota keluarga itu.

Matlamatnya, bukan saja kita berpesta bersama seluruh anggota keluarga khususnya anak remaja kita, tapi yang penting kita kukuhkan lagi hubungan kekeluargaan yang kini semakin terhakis dengan nilai-nilai murni seperti kasih-sayang antara ibupada dan anak remaja itu. Pastikan dalam peluang keemasan ini, kita perlu bermusabahah sesama anggota keluarga dan nyatakan azam kita untuk dikecapi ke atas diri sendiri mahupun pada anggota keluarga lain. Pada masa yang sama, tanamkan tekad untuk sama-sama ( setiap anggota keluarga) memainkan peranan untuk memastikan institusi keluarga kita menjadi kukuh, teguh dan ampuh pada tahun hadapan.

Apakah misi dihari muka bagi adakan majlis kahwin beramai-ramai?

Majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan oleh sebuah persatuan setempat baru-baru ini wajar dipuji akan usaha tersebut. Ini termasuklah pihak yang menaja semua persediaan seperti makanan, kerusi meja, dekor, pelamin, mak andam, kadi, pakaian pengantin dan berkat.

Secara amnya, acara sebegini dilihat membantu golongan yang kurang mampu membiayai kos majlis perkahwinan untuk menikmati saat menjadi 'Raja dan Permaisuri Sehari' sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Diharapkan usaha murni ini dapat digerakkan dan disokong pula oleh persatuan mahupun badan swasta yang lain.

Namun dalam kemeriahan majlis sebegini, seringkali timbul persoalan mengenai arah tuju selanjutnya bagi pasangan-pasangan ini.
Ini memandangkan rata-rata merupakan golongan yang kurang mampu dari segi menampung kos untuk mengadakan majlis perkahwinan ini. Cakap mudahnya, jika asasnya iaitu 'kos kerja kahwin' dah tak mampu, bagaimana kiranya pasangan ini bakal mengharungi kos kehidupan berumahtangga yang sememangnya tinggi dan membina sebuah institusi keluarga disini kelak.

Ini kerana, kita tahu, dek kos kehidupan yang tinggi dan punca masalah kewangan merupakan antara meningkatnya kadar perceraian dikalangan masyarakat Melayu kita disini.

Saya berpendapat, ada baiknya kita bukan saja menaja kos majlis perkahwinan bagi golongan kurang kemampuan, malah perlu juga kita menampung kos bagi pasangan ini mengikuti kursus/program peningkatan diri, ilmu membina keluarga dan mendidik anak serta bagaimana untuk merancang kewangan dihari muka. Mungkin pakej pos-nikah ini dijadikan syarat wajib bagi setiap pemohon yang berjaya dipilih/disertai dalam majlis perkahwinan beramai-ramai.

Mungkin langkah/syarat yang saya kemukakan sebegini boleh membantutkan usaha menarik lebih ramai pasangan untuk menyertai majlis sebegini. Namun jika pasangan itu benar-benar ingin pastikan bukan saja majlis berjaya malah kehidupan berumatangga juga teguh, tidak akan timbul sebarang masalah menerima dengan syarat-syarat sebegini. Pada masa yang sama, kita mahu pastikan golongan yang ditaja benar-benar serius dalam melangkah ke alam berumahtangga dan bukan menangguk di air keruh.

Saya juga yakin langkah sebegini juga dapat mengurangkan kes-kes perceraian yang kini meningkat dikalangan pasangan Melayu kita.Yang penting, kita bersikap bak ungkapan ' beri jala daripada ikan' bagi membantu dan memastikan golongan kurang berkemampuan ( golongan lebih berisiko) tidak 'kurang' dilengkapi dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk penakatan dihari muka.

Mencari huraian ke atas pengganasan.

Serangan berdarah di Mumbai baru-baru ini tampak tiada bezanya dengan serangan pengganas yang berlaku di beberapa buah tempat atau negara yang lain. Kesudahannya agak sama iaitu anggota militannya beragama Islam, berlakunya korban jiwa dan kerosakkan harta benda awam. Cuma kali ini, antara yang terbunuh di Mumbai merupakan warga Singapura yang pertama menjadi mangsa korban pengganasan.

Dan sejurus serangan berakhir, maka setiap pemimpin negara mahupun agama serta orang perseorangan akan mengutuk pihak yang bertanggung-jawab melakukan serangan tersebut. Bagi mangsa yang terkorban, ucapan takziah disampaikan. Pada masa yang sama, akan bertambahlah sesi-dialog, kegiatan, ceramah dari para pakar sehingga pada pelancaran buku-buku mengenai pengganasan, erti jihad dan sebagainya.

Bagi berlaku jujur, saya kurang selesa untuk - (join the bandwagon) dalam sekadar mengutuk tindakan individu-individu yang melakukan keganasan itu.

Sebaliknya sering saya dahagakan akan perbincangan atau sesi-dialog yang memberi fokus pada 'mengapa' tergamak dan terdorongnya individu-individu ini melakukan jihad yang kita tahu tidak berpandukan tuntutan agama Islam yang sebenar. Tapi sayangnya, apa yang disampaikan oleh para penceramah setakat ini kerapkali berlegar pada aspek ideologi atau fahaman radikal kumpulan pengganas semata-mata.

Mengapa tidak kita menyelami erti sebenar atau punca tindakkan para pengganas ini ke atas orang mahupun tempat awam?

Jawapannya mudah - kita gagal mempunyai perasaan simpati, ehsan dan hiba yang penuh tulus ke atas nasib para mangsa seagama kita yang menderita, dizalimi,penganiayaan serta menjadi mangsa peperangan yang berlaku di Iraq, Palestin, Kosovo mahupun di Afghanistan. Kita sekadar berlukut ditepi gantang tanpa memberi tekanan selain hanya mengharapkan pada adikuasa dunia untuk menghuraikan konflik yang berlaku di rantau itu. Tanpa disedari, dengan sikap kita inilah maka lahirlah golongan yang bersimpati mahu membela nasib seagama kita yang tertindas lantas hanya mampu melalui unsur keganasan kerana mesej golongan bersimpati ini ( kini mereka digelar pelampau ) tidak diambil dalam pertimbangan mana-mana pihak sekalipun selama ini.

Maka tidak hairanlah, setiapkali tertangkapnya para pengganas ini, alasan bagi tindakannya hanyalah semata-mata untuk membela dan membalas dendam pihak-pihak yang menzalimi atau menganiaya sesama agamanya.

Malangnya, para pakar anti-pengganasan dalam ceramah-ceramah pula sering menitikberatkan aspek salah tafsiran ke atas kekata 'jihad' sebagai punca dan melabelkan golongan sebegini sebagai pengganas. Dengan ertikata yang lain, apakah melabelkan individu-individu sebegini sebagai 'terrorist' diharapkan dapat menghentikan kegiatan-kegiatan pengganasan? Sayangnya, lihat saja sehingga hari ini, pengganasan masih berdenyut ,bernyawa dan bak bom jangka. Ini walaupun setelah insiden 9/11, pelbagai kaedah seperti memperkenalkan pendidikan agama yang sederhana, sesi-dialog, kerjasama pelbagai pihak serta mendidik masyarakat umum tentang keamanan, harmoni dan kehidupan yang sejahtera masih terus dijalan dan diterapkan.

Kesimpulannya, sebagaimana kita terus-terusan memerangi pengganasan, begitu juga individu yang memperjuangkan 'jihad' yang sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam akan terus mencari ruang dan peluang untuk bertindak ganas dengan alasan demi membela nasib seagamanya di setiap pelusok dunia ini yang teraniaya dan dizalimi.

Mungkin sudah tiba masanya kita 'berdialog' pula dengan golongan ekstremis dengan ' harapan dan doa' agar satu huraian dapat dicapai melalui muafakat seperti ini. Apakah usulan ini dianggap keterlaluan untuk kita renungkan bersama? Mungkin dengan adanya Projek Pemerintahan Global yang bakal mengumpulkan pemikir dan pengamal terbaik dari seluruh dunia Barat dan Timur untuk membangunkan wawasan dan saranan tentang cara memerintah dunia boleh menimbangkan 'aspek dialog dengan ektremis' sebagai antara misi yang penting lagi genting dalam masa terdekat ini demi untuk mewujudkan satu kehidupan yang aman, sentosa dan selesa dimuka bumi ini.