Tuesday, June 5, 2012

Usah biarkan para penggiat seni tanahair berputih mata

Baru-baru ini, perkembangan industri mediamassa khususnya dalam bidang penyiaran mendapat beberapa komen membina samada di alam siber, media cetak mahupun sembang diruang rangkaian sosial. Dan dalam bulan pertama tahun ini saja, kita telah dikejutkan dari lamunan dengan sajian kesedaran betapa tenatnya ‘luahan’ yang pastinya dapat menjadi pembuka mata warga setempat/pihak penyiar/pihak berwenang. Tulisan di ruang Ekstra bertarikh 7hb Jan 2012 yang membawa tajuk Di Mana Hilangnya 'Jiwa' Melayu Dalam Drama TV? bak pembuka tirai harapan warga setempat agar adanya perubahan yang mutlak pada tahap dan mutu rancangan kita. Ini disusuli dengan segmen Bicara Seniman BH pada 10hb Jan 2012 - Menanti sinaran dan kemudiannya pada 15hb Jan 2012, warga setempat mula sedar akan isu sebenar yang masih menghantui setiap pejuang seni tanahair dengan tajuk berita - Suhaimi 'meletup' Memang dalam konteks kehidupan seharian, setiap luahan, komen,pandangan perlu diberi perhatian dan menganggap ianya satu wadah maklum-balas agar semakan ke atas polisi/garispandu/perundangan ( mungkin bercelaru/tidak relevan/ terlalu kompleks/rumit ) yang selama ini digunapakai boleh dipertimbangkan semula. Dan kita disini beruntung kerana punyai MPAC (Malay Programme Advisory Committee ) yang ditubuhkan pada tahun 1995 yang bernaung dibawah MDA bertanggung-jawab memastikan antaranya : · To provide advice and feedback on the range and quality of broadcast programmes on Suria (TV), Warna and Ria (radio), as well as recommendations for their improvement; · To provide advice and feedback on broadcasters’ exercise of standards in programmes and advertisements; · Review and provide feedback on the validity of public complaints that MDA receives concerning programmes and advertisements; · To review and provide inputs on the drawing up of guidelines for TV and radio content. Persoalannya, sejauh manakah setiap maklum – balas/saranan/teguran diambil secara serius atau sekadar bak melepas batuk ditangga dengan beranggapan isu/komen/luahan para individu yang telah berjuang dan mewarnai dunia hiburan setempat selama ini akan lenyap dengan sendirinya? Seyogia diingatkan, dikhuatiri jika isu-isu yang ditimbulkan sama seperti isu gaji menteri, kegenjotan sistem pengangkutan dan sebagainya tidak didengar/diambil dalam pertimbangan, kelak suara-suara ini juga yang akan menilai betapa rapuhnya sesuatu polisi/sistem atau pertubuhan tersebut. Tidak keterlaluan dikatakan jika kita tidak mampu menggarap harapan/misi dan visi warga setempat, adalah baik untuk menswastakan industri penyiaran setempat yang tampak malap agar setiap pencapaian/kegenjotan dalam industri ini kelak jelas kelihatan dan mudah dipertanggung-jawabkan dan diperbaiki. Contohnya, ada suara dari warga setempat agar membuka tender bagi sistem pengangkutan awam ( dek kegenjotan yang berulang ) agar dengan sendirinya kita akan lihat kemampuan/keupayaan dan keberkesanannya bagi kumpulan yang mengambil-alih operasi sedemikian. Selagi kita ditakuk yang lama, mungkin sukar untuk melihat perubahan yang jelas dalam jangkamasa yang terdekat. Usahlah kita sudah terhantuk baru terngadah kerana lambat laun, industri kita yang selama ini dibentuk oleh para pejuang/penggiat seni yang berbakat lagi kreatif kelak akan berhijrah, yang rugi kelak bukanlah pihak penyiar mahupun industri hiburan setempat, sebaliknya hak penonton telah diragut. Oleh itu, apa polisi/sistem atau pendekatan yang digunapakai selama ini, isi ceritanya mestilah dekat dengan hati orang Melayu. Usah biarkan para penggiat seni tanahair berputik mata.

Wednesday, May 2, 2012

Penipuan niaga diruang siber bak nila setitik rosak susu sebelanga.

Setiap peniagaan ada untung ruginya biarpun pada asasnya telah dilakar sebegitu rupa untuk memberi satu khidmat yang terbaik untuk para pelanggannya. Dewasa ini, peniaga kecil-kecilan juga boleh memulakan dan menggunakan ruang siber untuk berurusan kerana ianya tampak mudah,murah dan cepat menarik pengguna dek pendedahan untuk melanggani khidmat dan produk yang ditawarkan. Contohnya, perniagaan diruang siber menerusi rangkaian sosial seperti Facebook kian menunjukkan peningkatan dari para peniaga yang ingin ceburi bisnes. Pun begitu, dalam urusan pastinya timbul kegenjotan seperti kelewatan mendapat produk yang dijanjikan ( walaupun tidak berniat untuk menipu ), seringkali mangsa merupakan pengguna kerana membeli sesuatu produk dalam talian seringkali atas dasar kepercayaan berikutan maklum-balas yang positif dari pengguna lain. Atas dasar inilah, mungkin terdapat segelintir peniaga yang menangguk di air keruh demi untuk meraih keuntungan yang lekas lagi cepat serta mampu memberi pelbagai alasan untuk mengelak diri dari didakwa. Diburukkan lagi, setakat ini belum jelas apakah bentuk siasatan atau hukuman yang bakal/boleh diterima oleh peniaga seperti ini. Dikhuatiri, kes-kes sebegini kelak boleh berleluasa diruang siber sehingga boleh mematikan semangat berniaga dan kepercayaan antara peniaga yang memangnya jujur dengan pengguna. Cakap mudahnya, pengguna kelak terlalu berhati-hati sehingga menyempitkan ruang para peniaga kita yang jujur untuk berkembang. Ini sekaligus memberi implikasi dan tamparan pada peniaga lain diruang siber yang sememangnya berniaga berlandaskan minat , niat murni dan kejujuran. Malangnya kes seperti ini mungkin boleh berleluasa kerana kita sebagai pengguna gagal mengenalpasti risiko atau mengambil langkah berjaga-jaga ketika berurusan diruang siber. Contohnya, kita sebagai pengguna mudah percaya atau yakin bilamana membaca sekadar beberapa kerat reviu atau komen yang dibuat oleh para pelanggan sebelumnya. Dan jika terdapat unsur jenayah dari aspek penipuan sekalipun, tindakan undang-undang juga kurang memberi tekanan kerana adakalanya, jalan keluarnya hanyalah dengan mengishtiarkan individu tersebuat sebagai muflis. Seperti kata seorang peniaga, jika hukuman tegas lagi berat dilaksanakan, penipuan diruang siber yang bak musang berbulu ayam boleh dikurangkan jika tidak dilenyapkan. Hukuman yang tegas boleh menyedarkan setiap pengguna mahupun peniaga bahawa setiap aspek yang berunsur jenayah pasti kelak akan menerima hukuman yang setimpal. MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Wednesday, April 11, 2012

Silap....minta maaf

Ungkapan ‘Silap minta maaf’ boleh membawa dua maksud yang berbeza dan implikasi serta kesannya ke atas yang melakukan kesilapan tersebut.

Yang pertama bilamana kita telah melakukan kesilapan dalam urusan kehidupan seharian seperti tersalah kiraan dalam akaun , tersilap ejaan ketika menaip,terlupa membuat tugasan sekolah sepenuhnya, terhilang nota penting, terlewat melakukan jadual seharian atau terlepas menghadiri sesi temuduga dan sebagainya.

Rata-rata kesilapan sebegini boleh dimaafkan atau sekurang-kurangnya setakat mendapat surat peringatan /amaran dari majikan.

Cakap mudahnya, kalau dah tersilap, minta maaf saja lah. Habis cerita.

Namun bagi scenario yang kedua ini mungkin tidak sesuai atau dapat diterima oleh warga semudah yang disangka..

Contohnya, komen atau tindakan yang berbaur perkauman serta yang tidak bertanggungjawab dari individu seperti Encik Jason Neo, Encik Christian Eliab Ratnam dan Encik Donaldson Tan bukan sesuatu perkara yang mudah untuk meminta maaf.



Ini termasuk komen Anggota Parlimen Seng Han Thong dalam wawancaranya dalam rancangan televisyen setempat baru-baru ini.



Kesilapan sebegini lebih dilihat kepada kegagalan seseorang itu untuk berfikir terlebih dahulu berdasarkan dan bersandarkan akan implikasinya dalam konteks kehidupan majmuk disini.



Lantas ‘permintaan’ maaf sebegini akhirnya lebih banyak mengundang kebencian kerana asasnya kita tahu dengan melakukan atau melabel serta mengungkapkan sesuatu tanpa berfikir secara waras/bijaksana serta berhemah, risiko tindak balas warga pastinya lebih hebat.



Contohnya, lihat saja antara maklum-balas serta reaksi khususnya warga siber yang terang-terangan menyelar komen-komen yang dilakukan orang-orang seperti ( Encik Jason Neo, Encik Christian Eliab Ratnam dan Encik Donaldson Tan ) yang boleh menjejas status serta keteguhan semangat keharmonian kaum yang sekian lama sudah dipupuk di dalam jiwa warga setempat yang berbilang kaum/bangsa dan agama disini.



Yang peliknya, rata -rata individu yang mencetuskan komen seperti ini akhirnya memohon maaf dan berharap agar warga setempat menerima permohonan maaf mereka dengan alasan komen yang dibuat tidak berniat mengaibkan atau memperlekeh serta menyasarkan pada kaum atau bangsa tertentu.



Ada berpendapat alasan-alasan sebegini bak seorang penjenayah yang dengan jelas melakukan jenayah lantas meminta ampun setelah diberkas lalu mengharapkan dibebaskan kerana sudah insaf atau meminta maaf.

Namun bagi warga yang lainnya berharap agar pemerintah lebih bertindak tegas termasuk hukuman penjara yang berat ke atas individu yang mengeluarkan komen berbaur perkauman atau memulakan api kebencian, termasuk dalam ruang siber sosial dengan beralaskan konsep kebebasan hak mengeluarkan pendapat/kritikan yang tidak selari dengan nilai-nilai etika yang sewajarnya.



Semoga tindakan dan hukuman tegas ke atas sikap/ tindakan mengkritik/hina / menuding jari ke atas bangsa tertentu dek sebarang kegenjotan nasional sewajarnya menjadi fobia atau iktibar serta peringatan kepada mereka yang berniat melakukan sedemikian pada masa depan.



Langkah sebegini perlu agar setiap warga secara automatik akan menjadi lebih berhemah /berhati-hati dalam usaha mengetengahkan pandangan/pendapat bersandarkan kebebasan hak bersuara bagi kemaslahatan umum.




MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Monday, March 12, 2012

Santuni remaja nakal dengan hemah.

Setiap ibubapa yang punyai anak-anak belia pasti tersentak dengan dapatan beberapa pakar psikologi, pekerja sosial belia dan kaunselor yang berpendapat
status keluarga stabil bukanlah satu jaminan seorang belia tidak akan terjebak dalam kumpulan samseng.

Namun rata-rata merasakan jika anak-anak sudah diasuh dengan kasih-sayang , diberi perhatian secukupnya serta asas displin yang kukuh lagi mantap, isu peralihan ke alam remaja / tekanan daripada rakan sebaya atau cabaran diluar sekitaran rumah mampu dijadikan benteng atau zon keselamatan dari diri anak-anak belia ini.

Dalam pada itu, kes-kes serangan kumpulan samseng juga semakin ketara dewasa ini. Namun menurut pihak berkuasa, kegiatan samseng remaja disini terkawal.

Apakah yang dimaksudkan terkawal ?

Pertama - Pada pemahaman sebahagian ibubapa, terkawal boleh memberi isyarat dimana kegiatan atau kemasukkan belia dalam kegiatan samseng menurun dek kawalan/pantauan pihak berkuasa.
Kedua - Boleh juga berlaku dimana pihak berkuasa punyai pasarana untuk mengawal situasi biarpun kegiatan samseng remaja semakin berkembang dan meningkatnya jumlah kes-kes yang baru.

Kita berharap agar istilah 'terkawal' yang digunakan oleh pihak berkuasa lebih merujuk pada penurunan kes-kes samseng remaja.

Dalam pada itu, tidak kurang yang merasakan undang-undang terkini bersabit kesalahan kegiatan samseng atau terjerumus dalam kancah jenayah yang dilakukan oleh para belia terlalu bersifat ihsan dan berlembut.

Maka kesan dari hukuman/nasihat atau sesi kaunseling yang mungkin dilalui oleh para belia yang berisiko ini kelak kurang memberi kesedaran ke atas dirinya.

Mungkin sudah tiba masanya kita mencontohi satu kaedah baru yang kini dilakukan dinegara barat dalam menangani kes kenakalan/samseng remaja.

Sebuah rancangan yang boleh ditonton dikabel berbayar Starhub yang berjudul Beyond Scared Straight memaparkan bagaimana setiap belia/samseng yang berisiko dibawa ke penjara lalu diberi nasihat/dikritik dan kerapkali dihina oleh para banduan yang sedang menjalankan hukuman berat.

Proses sebegini dirasakan perlu oleh pihak Barat untuk memberi 'kejutan' minda ke atas setiap remaja yang berisiko agar 'cepat-cepat' berubah jika enggan menerima nasib seperti banduan-banduan yang tegar lagi ganas didalam penjara tersebut. http://www.aetv.com/beyond-scared-straight/

Rata-rata setiap remaja yang mengalami kejutan sebegitu akhirnya berubah bila ditemubual sekali lagi dalam masa 3 - 6 bulan berikutnya.

Lantas adalah perlu untuk bertegas dalam berlembut agar belia-belia ini sedar batas-batasnya.


Saya tukil kata seorang pegawai kanan atasan di Jabatan Penjara setempat yang berbunyi, " kalaulah belia-belia berisiko ini dapat lihat sesi merotan di penjara, mungkin 90 peratus akan terus bertaubat."

Saturday, February 11, 2012

Atasi isu visa haji dengan minda positif.

Semacam ada rasa lega ke atas isu masalah visa haji tambahan yang tidak diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini.




Yang tersurat, ratusan jemaah tidak berjaya mendapat visa.

Yang tersirat, kita sekali lagi berpeluang untuk menilai dan memperbaiki semula sistem memproses dan memberi visa ke atas para jemaah yang berdaftar pada tahun hadapan.




Jika insiden sebegini tidak berlaku, besar kemungkinan kita akan terus selesa dengan sistem yang ada tanpa mengambil sebarang inisiatif menilai kembali keberkesanan dan relevannya sistem yang ada dalam konteks kehidupan dan pergolakan dunia dewasa ini.




Cakap mudahnya, usahlah merungut pada kelemahan yang ada sebaliknya ambillah isu/insiden ini sebagai satu peluang dan ruang untuk memperbaiki serta mempertingkatkan lagi sistem haji kita.




Pada pendapat saya, adalah lebih genting dan penting untuk menilai proses dan kuota haji daripada setakat membincangkan tentang kos kerugian yang perlu ditanggung pihak GSA atau menyalahkan pergolakan politik di Timur Tengah sebagai punca visa haji tambahan ditolak oleh pihak kerajaan Arab Saudi.




Lebih buruk lagi jika kita kaitkan insiden ini sebagai suratan takdir bagi mengelak/mengabui akan kesilapan/kelemahan kita dari aspek mencari keuntungan perniagaan dengan beralasan bahawa ramai jemaah yang berminat untuk pergi haji tahun ini.




Secara ringkasnya, antara yang boleh dipertimbangkan ialah


pastikan kumpulan jemaah kategori A merangkumi kuota haji rasmi kerajaan Arab Saudi.


Jemaah Kategori A diberi jaminan dan pengesahan ‘seratus peratus’.


Kategori A tidak boleh dicemari dengan kategori yang lainnya.


Kategori A boleh teruskan kenduri doa selamat dan persiapan cuti.


Bagi kategori B yang diberi visa haji tambahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi :



para jemaah dalam kategori ini perlu sedar dan bersedia akan risiko yang ada tentang visa tambahan ini.


Visa tambahan boleh dibatalkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi tanpa sebarang sebab kerana kuota ini diberi atas dasar ‘simpati dan ihsan’.


Tangguhkan kenduri doa selamat pada saat-saat akhir untuk elak kesal dan malu.




Bagi pihak MUIS dan GSA, diharap dapat hapuskan saja visa-visa tambahan yang pelbagai nama seperti visa bonus, visa ihsan, visa muhibah dan terbaru….visa musibah.




Pihak Muis hanya perlu mendapatkan visa rasmi dan visa tambahan ( jika ada ) dari pihak kerajaan Saudi dan bukan dari seorang Pak Arab di kedutaan Arab disini.




Ini kerana pihak kedutaan tidak mampu untuk mengatasi keputusan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Arab Saudi.




Usah bersandarkan pada kejayaan kisah-kisah lama untuk terus mendokong ketidaktentuan sistem visa kuota tambahan pada masa depan.




Jika ini dapat dilakukan, pastinya setiap tahun kita akan berasa selesa melihat 680 jemaah kita berangkat dan baki jemaah dibawah naungan visa tambahan samada berjaya atau terkandas kerana visa tambahan sudah diketahui akan risikonya ditarik balik oleh kerajaan Arab pada saat-saat akhir.




Akhir kalam, mungkin Muis boleh merayu untuk menaikkan kuota rasmi yang sedia ada agar tidak timbul lagi visa tambahan yang akhirnya merugikan perasaan dan semangat jemaah sahaja.




MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Wednesday, January 4, 2012

Larangan merokok diperluas perlu serius.

Gesaan Cik Lee Bee Wah (GRC Nee Soon) untuk melarang kegiatan dan amalan merokok serta diperluaskan bagi merangkumi lebih banyak tempat awam seperti taman, laluan pejalan kaki, pantai, lobi lif , perhentian bas dan koridor-koridor bangunan perlu dianggap satu langkah yang serius oleh pihak pemerintah.

Menurutnya, ini memandangkan semakin ramai anak muda, terutama anak muda Melayu, yang sudah mula berjinak-jinak merokok berbanding kaum-kaum lain.

Namun saranan untuk terus ‘mengingatkan’ perokok boleh diubah cara pendekatannya yang selama ini tampak kurang berkesan dalam menurunkan peratusannya.

Selain menyarankan kepada kementerian agar meluaskan kawasan yang tidak dibenarkan merokok, saya berpendapat masalah mengekang amalan merokok bukan saja terletak dibahu si perokok sebaliknya adalah tugasan lebih besar /mencabar yang perlu disandang oleh pihak pemerintah.

Antara pendekatan lebih serius lagi berkesan dalam menangani masalah perokok yang boleh dipertimbangkan ialah :


- jika COE diperkenalkan untuk elak kesesakan kereta di jalanraya, maka kemasukan peratusan import bahan seperti rokok/tembakau boleh dikenakan ala COE atau dikurangkan juga demi untuk elak ‘sesak’ nafas bagi bukan perokok.



- luaskan kempen anti-merokok / larangan tempat merokok melalui poster-poster di setiap pelusuk negara sebagaimana hebatnya kempen poster ‘ Mas Selamat’ agar bukan perokok lebih selamat dari asap rokok.



- setakat ini belum jelas kelihatan atau dirasai akan kehadiran para pegawai penguatkuasaan yang meronda di tempat awam yang dilarang merokok.



- Berapa ramaikah perokok yang disaman berbanding penangkapan para penagih sejauh ini. Jelas disini, pihak berkuasa lebih berminat dan serius untuk menangani gejala dadah daripada penggunaan rokok/tembakau.



- Mudahnya membeli rokok biarpun harganya mahal. Namun perlu untuk terus menaikkan harga dan langkah ini tampak amat berkesan untuk mengurangkan kuasa membeli dikalangan anak muda.



- Beri insentif ( kelepasan cukai ) bagi para peruncit dan pasaraya yang tidak menjual bahan rokok /tembakau.



- Dari aspek agama pula, ada beberapa alim merasa hairan mengapakah sejauh ini, amalan merokok tidak diharamkan oleh institusi agama setempat secara terang-terangan walaupun ianya sudah jelas akan kemudaratannya ke atas kesihatan seseorang perokok itu.



Kesimpulannya, walau apapun sasaran/gesaan yang diluahkan, pucuk pangkalnya, selagi pemerintah masih ingin meraih keuntungan cukai daripada penjualan rokok/tembakau, masalah tabiat merokok tidak akan dapat diselesaikan melalui kempen/aktiviti atau program kesedaran.

Pada masa yang sama, tidakkah ianya juga satu diskriminasi yang jelas ke atas bukan perokok yang selama ini mendambarkan kehidupan tanpa asap rokok ?

MOHD IKHLASH BIN ABDULLLAH

Tuesday, December 6, 2011

Penglibatan ibubapa dalam kegiatan sekolah perlu punyai batas.

Ramai dikalangan pendidik mahupun guru-guru disekolah dan maktab setempat menyambut baik akan peningkatan

pada peratusan bilangan ibubapa yang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sekolah anak mereka.



Berbanding hanya 40 peratus apabila Compass dibentuk pada 1998, kini penglibatan ibu bapa dalam pelbagai kegiatan

luar darjah menerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) telah meningkat sekitar 96 peratus daripada kesemua 350 sekolah rendah, menengah

dan maktab rendah.



Menurut beberapa orang guru, perkembangan angka peratusan ini amat penting kerana ianya jelas menunjukkan penglibatan ibubapa

mampu merangsang para pelajar untuk terus bersemangat dan bergiat aktif dalam proses pembelajaran serta bermotivasi tinggi dalam

kegiatan luar darjah.



Namun ada segelintir guru yang merasakan ‘penglibatan’ para ibubapa perlu diurus melalui garis-pandu yang jelas lagi konkrit.



Contohnya, dengan ramai dikalangan para ibubapa yang melibatkan diri dalam program dan kegiatan di sekolah punyai pengetahuan, kerjaya atau pengalaman hidup berbeza-beza , maka tidak mustahil akan timbul ‘tidak kesefahaman’ dalam mengatur/anjurkan kegiatan masing-masing.



Cakap mudahnya, sesi perkongsian atau interaksi demi untuk mewujudkan sesuatu kegiatan boleh dicemari oleh nilai-nilai negatif seperti pentingkan diri sendiri, agenda tertentu, tidak menerima pandangan orang lain atau gagal melihat proses ‘penglibatan’ pada perspektif yang betul lagi positif.



Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah para pelajar yang sepatutnya meraih kemahiran hidup menerusi perkongsian /interaksi melalui pelbagai kegiatan yang dianjurkan antara guru dengan ibu bapa.



Lantas adalah penting dalam usaha kita berkobar-kobar menarik seramai mungkin ibubapa dalam aktiviti sekolah, perlu juga diimbangi

dengan langkah-langkah pencegahan agar tidak kelihatan seperti setiap kegiatan itu dimonopoli dan diuruskan oleh ibubapa kerana akhirnya langkah sebegini akan merugikan semua pihak.



Pada masa yang sama, usaha Compass mendekati lebih ramai ibu bapa dan PSG supaya ibu bapa dapat melibatkan diri secara aktif dalam pendidikan anak mereka perlu juga diselit dan pastikan garis pandu ‘penglibatan’ perlu difahami oleh ibubapa itu.