Thursday, January 13, 2011

Benteras ideologi radikal tiada bernoktah.

Saya mula lungsuri lelaman ceramah Anwar Al-Awlaki sejurus pendedahan terbaru berhubung kes anggota Perkhidmatan Negara ( NS) sepenuh masa yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) dek terpengaruh dengan ideologi radikal di Internet.

"Awak boleh jadi pengganas atau sekurang-kurangnya terpengaruh akan ideologinya !" Luah seorang pensyarah bebas ketika bersembang dengannya mengenai lelaman yang baru saya lungsuri itu.

"Kalau semudah itu, ramailah anak remaja kita yang lungsuri lelaman-lelaman akademik akan terus jadi siswazah?" Dia tersenyum sinis pada pertanyaan saya itu.

Jelas disini, kita perlu sedar hanya dengan melungsuri lelaman-lelaman radikal tidak memungkinkan seseorang itu dengan mudah boleh dihukum sebagai seorang pengganas.

Sebaliknya, ada yang melakukannya sekadar didorong konsep 'ingin tahu' sejauh mana kebenaran ideologi radikal dan pada masa yang sama, mampu membenteng diri, anggota keluarga yang lain serta bertindak sebagai 'polis' untuk melaporkan akan perkembangan yang tidak sealiran dengan arus nasional mahupun agama.

Pun begitu, jika seseorang itu tidak mempunyai asas kuat dalam pemahaman tentang Islam selain terdedah atau meraih ilmu dari asatizah yang tidak bertauliah, kemungkinan kesan dan risiko dipengaruhi oleh lelaman-lelaman radikal mungkin tinggi juga.

Dan lebih buruk dan membimbangkan lagi, jika asatizah yang bertauliah berpaling pada ideologi radikal. Ini memandang dianggarkan terdapat lebih 100,000 laman web radikal berbanding lelaman yang mengutuk pengganasan kurang 1,000 saja.

Semoga perkara sebegini tidak berlaku dan kita perlu pastikan sistem pentauliahan benar-benar dapat melahirkan para pemimpin agama/asatizah yang berwibawa, penuh hemah lagi disanjungi dek ilmunya.

Dalam pada itu, saya beranggapan tidak semua yang menjadi radikal kerana terpengaruh dengan lelaman-lelaman radikal yang ada.
Sebaliknya sikap tidak tahu menilai erti 'syukur' dalam diri sendiri khususnya dalam konteks kehidupan disini ,dimana keharmonian hidup serta toleransi diantara berbilang bangsa dan kaum sungguh menyerlah sekali.

Golongan ini yang dianggap 'separuh masak' kerana sekadar ingin memperjuangkan jihad secara membabi buta semata-mata.
Contohnya, konon ingin membela nasib warga Islam di sebahagian wilayah dunia yang tertindas sedangkan kita kurang mahir akan sosio-politik/ekonomi serta sejarah perihal negara-negara tersebut dengan terperinci.

Ada berpendapat, lebih afdal jika konsep 'jihad' itu dilakukan disini dari segi membantu atau membasmi kemiskinan, meningkatkan prestasi para pelajar yang lemah atau melaksanakan tugasan amal yang juga boleh dianggap suatu jihad juga.

Sayang dan malangnya, jihad yang bersalutkan keganasan yang dipilih serta tiadanya nilai syukur dalam diri mereka bak pepatah kuman diseberang laut nampak, tapi gajah didepan mata tidak diketahui.


Dalam pada itu juga, amat jarang seisi anggota keluarga melungsuri lelaman sebegini lalu membincangkannya secara terbuka diantara anggota keluarga yang lain.
Jika ini dapat dilakukan, bayangkan akan kesan positifnya dimana setiap apa yang dipaparkan di alam siber, ianya dikupas, dibincang, diproses sumber ilmunya malah boleh juga dibidas/kecam secara berhemah melalui lelaman-lelaman ini.

Ini sekaligus dapat meringankan beban badan pemerintah, persatuan dan pertubuhan setempat dalam usaha memantau isu-isu sebegini sebaliknya dapat disalurkan sumber-sumbernya pada perkara-perkara yang lebih penting lagi mendesak.


MOHD IKHLASH ABDULLAH

Tuesday, December 7, 2010

Sindrom 'berpuas hati' dengan sistem kita.

Dari kes Mas Selamat yang berjaya lolos dari pusat tahanan hingga ke warga asing yang seludup masuk depo MRT dan terkini, banjir di kawasan Orchard membawa kita untuk menilai kembali sikap kita ke atas sistem yang ada di negara ini.

Contohnya, kes Mas Selamat dikaitkan dengan tingkap tandas yang melopong dan projek baikpulih yang sedang dijalankan di pusat tahanan.
Pencerobohan di depo MRT dikatakan berpunca dari pagar yang mudah dipotong.
Dan banjir di Orchard bersebabkan saluran paip yang tersumbat dek sampah dan hujan yang begitu lebat.

Mungkin kita dapat merujuk laporan-laporan taklimat media ke atas kes-kes yang disebutkan ini dan kita akan sedari bahawasanya punca sebenar terletak pada 'sistem dan kawalan ' dan bukannya dari kesilapan dan sikap berpuas hati kita selama ini ke atas sistem yang ada.

Yang terbaru mengenai kes banjir di Orchard dimana pemeriksaan dilakukan selang 3 bulan sekali sebelum ini dan setelah sesuatu berlaku, barulah kita akan tingkatkan tahap pemeriksaan pada setiap bulan.

Persoalannya, apakah cara 'tunggu dan lihat' dalam setiap perkara sebelum bertindak sesuatu langkah yang bijak?

Cakap mudahnya, tunggu musibah berlaku barulah kita akan tanganinya dan dalam proses 'damage control' - kawalan kerosakan, kita akan menilai semula keberkesanan ke atas sistem/mutu kawalan/struktur? Ringkasnya sistem yang bertanggung-jawab dan perlu dipersalahkan bukannya yang menyelianya.

Contoh terdekat kes dinegara jiran dimana kamera kawalan tidak berfungsi ketika sesuatu kejadian berlaku dan akhirnya gagal untuk mengenalpasti pencereboh itu. Adalah sesuatu yang memalukan jika ianya berlaku disini kelak dan kita menyalahkan keberkesanan kamera kawalan daripada sikap kita sendiri yang tidak menjalankan tugas dengan sewajarnya.

Sebagaimana seruan pemerintah agar setiap warga perlu sentiasa berwaspada dan usah berpuas hati ( complacent ) dalam melayari kehidupan seharian, begitu juga dengan kakitangan yang diberi tugasan dan bertanggung-jawab mengendali, menyelia dan memantau sektor-sektor yang penting disini yang merupakan benteng barisan pertama dalam membenteras, mengawal atau mengenalpasti setiap risiko yang bakal dihadapi.

Jadikan apa yang berlaku baru-baru ini sebagai sandaran, rujukan dan panduan dihari muka. Jika tidak, mungkin sikap kita ini yang sebenarnya perlu dipantau dengan lebih teliti lagi.

Akhirkata, jika sikap sambil lewa ini tidak ditangani, kelak bukan saja kita 'malu' untuk mengaku kesilapan sendiri malah kita tidak akan belajar dari kesilapan itu sendiri.

Sunday, November 7, 2010

Lestari amalan gaya hidup sihat

Lestari amalan gaya hidup sihat.

Kajian Kesihatan Nasional di Singapura menunjukkan sejumlah orang dewasa gemuk berusia 18 tahun hingga 69 tahun, telah meningkat daripada 5.1 peratus pada 1992 kepada 6.9 peratus pada 2004.
Menurut HPB, walaupun kadarnya dikatakan mendatar namun bilangannya telah meningkat secara perlahan-lahan sepanjang beberapa tahun lalu.
Kita sedar akan risiko mempunyai berat badan yang berlebihan kerana ianya boleh dikaitkan dengan penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, beberapa jenis barah dan masalah tulang reput.Tambahan pula, di Singapura, sumber tenaga manusia adalah satu-satunya aset yang amat berharga khususnya bagi syarikat dan ekonomi negara.
Atas dasar itu, ada beberapa syarikat telah memperkenalkan dan mengamalkan gaya hidup sihat dikalangan para pekerja dengan pelbagai cara. Antaranya dengan aktiviti bersenam sekali dalam sebulan atau memberi hamper yang mengandungi diet yang sihat setiap hujung tahun. Cara begini walaupun baik namun kesan jangka pendek/panjang untuk mencapai matlamat gaya hidup sihat tidak kesampaian kerana sikap dan semangat untuk bersenam hanya tertumpu pada waktu tertentu dan dipengaruhi oleh pemintaan syarikat.
Seperkara lagi, tidak banyak syarikat yang menyimpan dengan betul maklumat tentang perkembangan kesihatan para pekerjanya melalui acara/aktiviti yang dianjurkan setiap bulan. Cakap mudah, acara sesi sebegini bak melepas batuk ditangga saja.

Mungkin kejayaan menganjurkan pertandingan Lose to Win Challenge tahun lalu oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) sempena Kempen Gaya Hidup Sihat 2009 boleh dijadikan contoh dan disertai oleh lebih banyak lagi syarikat agar setiap sesi/aktiviti/program yang dianjurkan lebih tersusun lagi berkesan. Ini selain meningkatkan lagi inspirasi serta merangsang para peserta untuk samada menurunkan berat badan atau mengamalkan gaya hidup sihat mereka sepanjang hidup. Tidak dinafikan, dengan adanya kesihatan yang baik, tahap kecergasan setiap individu akan terus meningkat.
Ada berpendapat sudah masanya habuan 'wang' boleh juga dijadikan umpan untuk memastikan peserta benar-benar serius menjalani aktiviti/sesi gaya hidup sihat. Antaranya peserta yang berjaya menurunkan berat badan atau mampu meningkatkan aktiviti fizikal sepanjang masa diberikan semacam wang bonus tambahan setiap hujung tahun.
Dengan cara begini, peserta akan melakukan senanam atau menyemai aktiviti gaya hidup sihat diluar rutin syarikat dan kesannya, majikan dapat mengenalpasti golongan yang serius atau sebaliknya.
Mungkin HPB dapat mengolah langkah pertama agar boleh disusuli oleh syarikat awam/swasta dan pertubuhan/agensi setempat yang lainnya.
MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Wednesday, October 6, 2010

Keprihatinan pemerintah terhadap rakyat membanggakan.

Tidak disangka akan kes langgar lari pada 15 Disember melibatkan mantan diplomat Romania, Dr Ionescu sehingga menyebabkan seorang meninggal dunia sementara dua lagi pejalan kaki cedera menyatukan warga forum di beberapa lelaman setempat. Rata-rata meluahkan rasa sedih, terharu ke atas mangsa sementara sebahagian pula berasa kesal ke atas tindakan seorang diplomat asing yang melarikan diri selepas kemalangan tersebut.

Ada pula menggunakan dunia siber untuk membela nasib mangsa demi untuk menegakkan keadilan. Mujurlah pemerintah setempat turut bertindak tegas memastikan undang-undang negara dipatuhi melalui saluran diplomatik. Bagi memastikan pesalah dihadapkan ke muka keadilan, beberapa langkah telah dilaksanakan seperti menghantar sekumpulan utusan khas dan pegawai dari Pejabat Peguam Negara ke Romania hinggalah mengeluarkan notis Interpol
ke atas Dr. Ionescu. ( Isnin 10 Mei, 2010 ).

Dan lebih membanggakan setiap rakyat Singapura bilamana kes ini juga dibawa ke Parlimen untuk membentangkan akan duduk perkara kes tersebut.
( Rabu, 19 Mei 2010 ).

Jelas disini pendekatan pemerintah adalah setiap pesalah samada warga setempat atau asing, berpangkat atau rakyat jelata tidak akan terlepas atau diatas pantauan undang-undang negara.

Pada masa yang sama juga, pemerintah akan membela nasib setiap warga yang didiskriminasi biarpun mangsa seorang pejalan kaki atau warga miskin.

Langkah sedemikian sewajarnya dijadikan contoh oleh negara-negara jiran yang seringkali gagal membela nasib warga malang dan menutup sebelah mata jika pelakunya seorang yang berjawatan tinggi dan kaya.

Sebaliknya pemerintah Singapura bertungkus-lumus demi memastikan nasib warga setempat terbela boleh meningkatkan lagi keyakinan warga terhadap kemampuan dan komitmen pemerintah.

Wednesday, September 1, 2010

Penampilan penting dalam apa bidang yang diceburi

Seorang pemuda berpakaian pejabat dalam lingkungan usia 40-an tahun baru selesai solat Maghrib dimasjid setempat lalu duduk sebentar diruang solat sambil bertakfakur.

Jelas beliau merupakan seorang ahli bina badan yang sudah lama berkecimpung dalam bidang tersebut memandangkan otot-otot tubuhnya yang menonjol. Ringkasnya, beliau kelihatan tegap, cegas dan sihat.

Tiba-tiba hadir pula seorang hamba Allah ( mungkin seorang tabligh) dengan berpakaian jubah dan sarban yang lusuh, misai dan janggut tidak terurus dan berperut buncit menghampiri pemuda tadi.

" Buatlah sesuatu amalan itu dengan sederhana, usah berlebihan." ungkap hamba Allah itu sambil merujuk pada tubuh badan pemuda yang tegap lagi cegas itu.

" Kalau ikut pegangan agama, awak tidak akan hadir sebegini rupa," balas pemuda itu pada hamba Allah sebelum beredar dari situ.

Ini sini jelas apa yang berlaku lebih merujuk ke atas penampilan seseorang itu lebih-lebih lagi jika individu itu bertugas dibarisan hadapan dalam memberi khidmat pelanggan atau kehadirannya boleh dijadikan contoh atau 'role model' di khalayak ramai.

Ianya boleh merangkumi dan meliputi pensyarah, guru, penyedia khidmat, pemandu teksi, pemandu pelancong, para kaunselor, hakim, jurujual dan sebagainya.

Ini kerana penampilan diri seseorang itu perlu kerana ianya merupakan aset yang penting dalam kehidupan seseorang itu. Ini termasuk dari aspek pakaian ( kemas dan bersih), tubuh badan ( sihat dan cergas) dan penuturan ( bersopan santun ). Contohnya, jika seorang ahli agama ingin menerapkan unsur-unsur kesederhanaan dalam kehidupan seseorang itu dari aspek pemakanan, pakaian, dakwah, pergaulan dan sebagainya, pemberi ceramah/syarahan itu perlu terlebih dahulu memaparkan aspek sedemikian rupa..

Adakalanya, ceramah yang diberi perihal kesihatan seperti kegemukan dan risikonya, tapi tanpa disedari, penceramah itu sendiri berbadan tambun.

Ini belum termasuk kempen seperti anti-merokok dimana ketika mempersiapkan agenda dan sepanduknya, segelintir masih merokok ketika menyiapkan tugasan tersebut.

Jadi disini, apa yang ingin ditekankan ialah peri perlunya setiap individu perlu mengemaskini penampilan diri dalam apa aspek atau bidang sekalipun yang diceburi agar kehadiran kita diterima sekaligus memaparkan dan menonjolkan sikap positif yang ada dalam diri kita yang sebenar.

Sunday, August 1, 2010

Taman bertema boleh pupuk lagi minat baca.

Taman bertema di Sentosa sudahpun dibuka pada orang awam dengan daya tarikan lebih menjurus pada minat golongan kanak-kanak dan remaja.
Namun dek harga tiket serta kos sampingan bersantai di pulau tersebut yang dikatakan agak mahal untuk seisi keluarga, lantas tidak semua khususnya kanak-kanak berpeluang untuk menikmati permainan dan hiburan yang tersedia disana. Ini tidak termasuk golongan kanak-kanak yang kurang berupaya secara fisikal mahupun mental, golongan kanak-kanak miskin untuk tidak turut 'berhibur' di taman bertema ini.

Mungkin taman bertema bakal mempunyai pakej-pakej untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat mengunjungi serta berhibur dan berlibur kerana sokongan yang diberi oleh warga setempat selama ini.

Antaranya yang boleh dipertimbangkan dan diharapkan ialah agar taman bertema ini dapat kiranya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, perpustakaan serta badan-badan kebajikan dalam menganjurkan program seperti memupuk minat membaca dikalangan kanak-kanak. Ianya juga boleh merangkumi anggota keluarga agar dapat merangsang seisi keluarga untuk memupuk minat membaca.

Contohnya, buku-buku dipinjam diperpustakaan atau menghadiri kelas-kelas memupuk minat membaca seisi keluarga diperkenalkan dan diakhir sesi, kanak-kanak atau anggota keluarga yang berjaya dikesan menghayati serta menyemai minat membaca dikalangan diri mahupun anggota keluarga, tiket atau pakej percuma ataupun separuh harga boleh diperkenalkan.

Langkah permulaan sebegini boleh dalam jangka panjang menarik lebih ramai menyemai minat membaca selagi program/skim yang diperkenalkan oleh badan-badan setempat itu berkesan dan relevan dalam konteks kehidupan hari ini.


MOHD IKHLASH ABDULLAH

Thursday, July 8, 2010

Mesej belanjawan 2010 perlu sampai pada setiap lapisan masyarakat

Belanjawan Negara telah dibentangkan Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam dimana pemerintah telah memperuntukan $5.5 bilion yang merangkumi potongan cukai, geran dan subsidi latihan ke atas rakyat Singapura. Ini dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti pekerja melalui skim seperti CET/WTS, WIS sehingga mencakupi pakej membina warga Singapura yang inklusif.

Ini termasuklah pelepasan cukai dan tokokan akuan seperti CPF dan Medisave. Pendekatan dan pelaburan ke atas setiap rakyat perlu demi penakatan dan seiring dengan saingan sejagat agar tiada sesiapa yang ketinggalan.

Dan pemerintah juga tidak lupa memperuntukan $1.8 bilion bagi menyokong keluarga terutama golongan pendapatan rendah dan pertengahan demi memastikan pertumbuhan saksama bagi setiap warga Singapura.

Cakap mudahnya, pemerintah telah menyediakan peruntukan dana untuk diagihkan namun perkembangan ini boleh dikatakan hanya diikuti dan difahami rata-rata golongan kelas menengah dan atasan.

Dengan ertikata yang lain, informasi dan perkembangan skim-skim ini gagal digarap, dieksplotasikan atau sampai ke atas golongan sasaran seperti keluarga berpendapatan rendah atau kelas bawahan secara tuntas. Contohnya,termasuklah warga tua yang tinggal sendirian, cacat atau golongan yang buta huruf.

Dan risikonya amat tinggi jika golongan ini ( terlepas dari pantauan pemerintah/badan kebajikan/pertumbuhan setempat ) tidak ikuti atau terlibat sama dalam arus perkembangan nasional. Ini termasuk peluang dan ruang untuk meningkat diri, keluarga dan pendapatan disia-siakan begitu saja.

Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu ambil tahu atau kenalpasti tentang golongan risiko yang tidak mendapat informasi sebegini.

Antaranya merupakan golongan yang tidak tahu langsung mengenai mesej dan skim yang boleh diraih dari Belanjawan 2010 dek kedaifan seperti buta huruf, cacat atau warga tua yang tinggal sendirian dan golongan yang tidak berupaya lagi untuk berdikari.

Ada sesetengahnya pula merupakan individu yang walaupun ikuti perkembangan namun menganggap diri mereka tidak mampu atau boleh sertai skim/bantuan yang sedia ada atas sebab-sebab tertentu/alasan.

Kekeliruan seperti inilah boleh berlaku antara penyedia skim bantuan dan bakal penerima dewasa ini walaupun jurang ini tidak berleluasa.

Memang secara amnya, agak payah untuk kita memahami dan hayati secara keseluruhan akan peluang dan ruang yang ada dalam belanjawan kali ini.

Namun penjelasan dan keterangan ringkas atau skim-skim yang khusus untuk individu ( sasaran /berisiko) boleh dijalankan dengan bantuan pemerintah/badan bantu diri atau pertumbuhan akar umbi.

Caranya? Bukan sekadar pengedaran risalah tapi pastikan golongan sasaran ini faham akan peluang,saluran dan ruang yang terbentang ini demi bagi peningkatkan diri mereka sendiri.

Ringkasnya, jika kita tahu akan skim-skim tersebut sesuai dengan seseorang itu, wajarlah kita war warkan.

Usaha sebegini perlu agar tiada sesiapa yang ketinggalan dan jika ada yang masih tertinggal, nampaknya samada pemerintah/badan pertubuhan atau individu itu sendiri perlu kaji akan hambatan yang menghalang dari meraih manfaat dari Belanjawan kali ini.


MOHD IKHLASH ABDULLAH