Friday, November 2, 2012

Golongan 3K dan pertanggung-jawaban.



Dalam konteks kehidupan seharian disini, dari segi ruang dan peluang untuk menyuarakan pandangan atau memberi maklum-balas, pelbagai saluran disediakan oleh agensi pemerintah mahupun badan bantu diri setempat.

Dan dewasa ini, wadah ( platform) yang pelbagai di ruang Internet dan media sosial tampak lebih mudah melahirkan golongan 3K ( komen, kritik, komplen ) yang terbuku diminda dan hati sehingga seringkali memberi impak ke atas suatu isu yang diketengahkan, dibincang serta disebar-luas di ruang Internet.

Namun setiap apa yang diluahkan atau sekadar ingin memberi respons atau saranan, perlu juga berlandaskan nilai-nilai ‘pertanggung-jawaban’.

Cakap mudahnya, usah membaling batu sembunyi tangan.

Walaupun dari aspek memberi maklum-balas atau saranan ke atas isu-isu yang berkaitan dengan perkembangan sosio-ekonomi, pemerintahan, agama,budaya atau bangsa, perlu juga penyampaian dan pandangan itu seharusnya mampu memperkasa serta mendidik dan bukannya mengaibkan atau memecahbelahkan rakyat.

Yang terkini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong melancarkan akaun Facebook dan Twitternya.

Antara lain, ini menunjukkan Encik Lee sedia menerima idea-idea yang diluahkan setiap warga dan berharap langkah ini dapat membantu menambah satu lagi ruang ( memberi maklum-balas / saranan ) dalam proses meningkatkan lagi proses mutu kehidupan kita.

Seyogia diingatkan, setiap warga perlu dapat membezakan antara perbincangan diruang Internet yang lebih santai berbanding perbincangan di meja bundar yang lebih formal.

Pada masa yang sama, dalam usaha pemerintah mendekatkan lagi diri ( melalui saluran sosial ) dengan warga setempat, ada bersetuju untuk pemerintah memperkenalkan undang-undang bagi melindungi penduduk daripada kegiatan penyalahgunaan Internet akhir tahun ini.

Ringkasnya, kita perlukan kod kelakuan yang boleh diterima-pakai dalam usaha membentuk golongan seperti 3K agar memastikan setiap isu/pandangan/saranan atau maklum-balas yang diluahkan samada melalui ruang wadah ( platform) yang pelbagai di ruang Internet dan media sosial terkawal lagi berhemah.

Jika tidak, dikhuatiri akuan Facebook/Twitter atau wadah di ruang Internet atau media sosial kelak lebih banyak timbul isu-isu bengek/remeh dan lebih bersifat kepentingan diri sendiri daripada memanfaatkan rakyat dan negara secara umumnya.

Thursday, October 11, 2012

Perlukah dikaji semula latihan dalam Perkhidmatan Negara?




Setiap ibubapa yang mempunyai anak lelaki yang bakal menjalani Perkhidmatan Negara pasti berasa bimbang dan resah dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Sejak empat bulan yang lalu, seramai tiga anggota Perkhidmatan Negara dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) samada berpangkat Prebet mahupun anggota sepenuh masa rebah lalu meninggal dunial ketika melakukan latihan jasmani atau larian jarak jauh.



Bagi sesetengah warga pula, tiga atau empat anggota yang terkorban tidak dilihat sebagai kritikal atau serius berbanding ribuan anggota yang telah menjaya menamatkan Perkhidmatan Negara masing-masing setiap tahun.



Dan bagi Kementerian Pertahanan (Mindef) pula, langkah-langkah seperti menyediakan pegawai perubatan SAF

dalam memberi bantuan kecemasan dalam menyelamatkan nyawa anggotanya dilihat sebagai sudah mencukupi ketika para anggotanya menjalankan sesi latihan.



Dan sekiranya mangsa tidak dapat diselamatkan, secara formalnya, pihak kementerian samada akan menjalankan siasatan ( apakah kesudahan atau dapatan dari siasatan itu ) atau sekadar mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan jika perlu, menghulurkan bantuan yang sewajarnya.



Sebagai contoh, siasatan ke atas kegenjotan/kerosakkan yang berlaku pada Sistem Gerak Cepat (MRT) baru-baru ini sehingga dilihat perlunya dibentuk satu jawatankuasa yang juga merangkumi para saksi/pegawai yang bertugas dan kini dibawa pula ke mahkamah untuk dibentangkan hujah serta mencari keadilan yang sewajarnya.



Ada semacam rasa puas dari warga Singapura kerana melihat pemerintah bersungguh-sungguh untuk menghuraikan/memperbaiki sistem yang ada serta member tekanan pada pihak pengendali dengan isyarat yang jelas dimana setiap tanggung-jawab dalam member khidmat pada pengguna perlu telus, teguh dan berkesan.



Cakap mudahnya, kalis silap yang berulang.



Namun apakah langkah yang sama ( kematian para anggota NS ) boleh dijuga dibawa ke muka pengadilan kerana ianya melibatkan jiwa anak muda Singapura yang terkorban ketika berkorban untuk negara pertiwi ?



Setidak-tidaknya, ada pula berpendapat, sejauh manakah atau apakah bentuk bantuan yang telah diberi/disediakan untuk keluarga mendiang?



Cakap mudahnya, berapa tahun bantuan boleh diberikan atau ianya bersandarkan pada kemampuan mendiang anggota keluarga untuk menyara hidup tanpa orang yang tersayang disisi.



Ini memandangkan jika ibubapa yang mempunyai satu-satunya anak lelaki yang diharapkan dapat menyara keluarga setelah tamat (NS) dan kemudiannya bekerja akhirnya menemui ajal ketika melakukan latihan /latihan kerahan ?



Memang kita secara umumnya merasakan langkah untuk mengemas kembali/menganalisis setiap program /prosedur latihan yang diperkenalkan selama ini dalam Perkhidmatan Negara tidak wajar dirombak hanya kerana kematian tiga anggota Perkhidmatan Negara.



Namun persoalannya, tidakkah ianya lebih baik bertindak sekarang dan segera sebelum kes-kes seperti ini mula bertambah dan tanpa disangka berlaku ke atas anggota keluarga kita sendiri.



Kesimpulannya, diharap Kementerian yang terlibat dapat segera bertindak sebelum lebih ramai warga muda yang sedia berkorban untuk Negara terkorban akhirnya sebelum masanya.





Sunday, September 9, 2012

Baik buruknya kita 'ber...ranking'.

Dengan tidak semena-mena, masyarakat kita disuguhkan dengan status 'ranking' yang diberikan ke atas segelintir individu atau golongan oleh sebahagian individu yang samada merupakan ilmuan,karyawan mahupun pemimpin dikalangan masyarakat kita. Menurut takrif Dewan Pustaka dan Bahasa, kekata 'ranking' membawa maksud antaranya berdasarkan skala pencapaian dalam sesuatu bidang. Maka tidak hairanlah, jika sumbangan seseorang itu dirasakan perlu oleh segelintir individu yang lain untuk diberi pengiktirafan berdasarkan pengalaman, pengamatan si pemberi itu. Pertama - isu ranking yang diberikan ke atas seseorang yang terlibat dalam bidang sastera menjadi medan percanggahan pendapat/rujukan sesama para karyawan. Kita sediamaklum, setiap sesuatu yang diberikan seperti penghargaan,pencapaian dan sebagainya pastinya mengundang tindak-balas dari pihak yang lain pula. Ini kerana si pemberi merupakan insan yang walaupun punyai kemahiran dalam bidang yang diceburi, kita masih terikat sebagai insan yang lemah serta tidak terlepas dari melakukan kesilapan atau dalam bidang pengadilan umpamanya biarpun itulah bidang kita selama berdekad lamanya. Seterusnya, apakah yang diraih daripada mengadakan perbincangan hangat sesama sendiri dalam mengetengahkan hal ranking ke atas seseorang itu. Perlu disedari, setiap isu ini dilihat/dicerna/diamati oleh golongan muda yang baru berjinak dalam bidang-bidang tersebut sekaligus memberi implikasi yang kurang positif ke atas perkembangan dunia mahpun bidang sastera itu. Cakap mudahnya, jangan bersikap seperti kebudak-budakan ( hanya pasal ranking ) yang akhirnya meluaskan lagi jurang kerjasama diantara para sasterawan kita. Kita tidak mampu berpecah dek hal yang remeh-temeh ini sebaliknya adalah baik untuk kita mengabungkan segenap daya pemikiran dan hala tuju kita untuk terus-menerus melestarikan bahasa,budaya dan sastera kita ke dalam setiap jiwa anak Melayu kita. Isu kedua - memberi ranking melalui pengamatan atau maklum-balas yang diraih ke atas wanita Melayu di KTV atau kelab-kelab malam yang dikatakan lebih havoc, liar dari perempuan lain. Ditambah pula dengan kononnya dapatan para pelanggan lebih minat ke atas wanita Melayu dek sikap golongan Hawa ini yang lebih terbuka dan hebat layanannya. Dengan secara tidak langsung, ranking sebegini boleh memberi 'keuntungan' yang mendadak ke atas wanita-wanita Melayu ini dek tersebarnya berita sebegini. Pada masa yang sama, tanpa disedari kita sebagai masyarakat Melayu sendiri menimbuskan lebih dalam harapan untuk bangsa sendiri untuk bangun dan maju. Ada berpendapat, adalah lebih baik kita berusaha mati-matian untuk membela nasib warga kita seperti anak-anak yang gagal mendapat biasiswa untuk ke menara gading/ mengukuhkan aspek kerukunan berkeluarga, agama atau memastikan setiap anak kita perlu sekurang-kurangnya meraih ijazah dihari muka umpamanya. Lebih hebat kalau kita dapat mengurangkan/menyelamatkan isu-isu ( lesbian/homo,penagih, kupu-kupu malam, anak yang didera, isteri yang teraniaya dan sebagainya ) daripada sekadar mencemur atau memberi ranking ke atas tindakan golongan ini. Dengan langkah sebegini, kita mampu mengurangkan anasir-anasir yang tidak sihat dari wujud atau lahir dikalangan masyarakat kita. Seperti kata seorang wanita yang sudah bekerja bertahun di KTV setempat, " boleh dikatakan setiap wanita tidak ingin dirinya dinodai." Kesimpulannya, marilah kita renungi sikap kita yang suka memberi 'ranking' yang akhirnya bukan saja menghancurkan bangsa sendiri sebaliknya terus membantutkan harapan warga muda untuk terus berjuang dan membuktikan bangsa kita juga boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Friday, August 3, 2012

Peluang kita berinteraksi dengan keluarga dihujung minggu.

Mulai 1 Januari 2013. pembantu rumah mempunyai hak untuk menuntut hari cutinya setiap minggu, sejajar dengan undang-undang yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013. Peraturan baru Kementerian Tenaga Manusia (MOM) seiringan dengan tuntutan badan-badan hak asasi UN Women serta pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang selama ini telah berkempen bagi 'Hari Pelepasan' atau Day Off sejak dilancarkan pada Hari Buruh pada 2008. Dasar utama atau pendekatan yang diambil pihak pemerintah pastinya berlandaskan nilai dan hak kemanusiaan serta kajian dan implikasi yang bakal timbul dari aspek perlaksanaan undang-undang tersebut. Namun bak 'rumah dah siap, pahat masih berbunyi', rungutan demi rungutan pasti timbul dari sebahagian warga yang juga punyai alasan kukuh dan munasabah untuk tidak bersetuju dengan undang-undang tersebut. Ada berpendapat cuti wajib boleh menimbulkan pelbagai anasir buruk atau kos yang perlu ditanggung majikan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas pembantu rumah ketika diluar sana. Ada pula merasakan tugasan menjaga anak,keluarga atau anggota yang uzur perlu ditanggung oleh majikan setiap hujung minggu ketika ketiadaan pembantu rumah. Sebagai warga setempat, kita faham dalam konteks kehidupan yang adakalanya memaksa kededua anggota keluarga ( suami/isteri ) keluar bekerja, penggantungan pada pembantu rumah amat diperlukan bagi urusan seharian dirumah. Namun seperti kita sebagai seorang pekerja, cuti itu juga amat penting untuk kita berehat bersama keluarga dirumah. Cakap mudahnya, meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak/ibubapa yang dibawah jagaan kita. Mungkin kita boleh melihat peranan pemerintah dalam hal ini bak serampang dua mata dan ada hikmahnya. Contohnya, peluang berhujung minggu bersama anggota keluarga samada anak-anak atau orangtua yang uzur yang selama ini jarang kita ambil tahu, inilah peluang kita untuk menyelami masalah/cabaran menjaga anggota keluarga yang selama ini diserahkan pada pembantu rumah saja. Mungkin tanpa disedari, anak-anak atau golongan uzur yang selama ini dijaga/diurus oleh pembantu rumah sebenarnya inginkan sentuhan dan kehadiran kita ( biarpun seminggu sekali ) namun golongan ini tidak mampu untuk melafazkannya. Namun jika kita masih tidak bersetuju dengan undang-undang terbaru ini, atau lebih rela beri pampasan daripada cuti mingguan, maka sudah tiba masanya kita berbincang, mengatur jadual atau pelan bertindak ( jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas pembantu rumah ) dan jika boleh cari persetujuan atau kata sepakat dengan pembantu rumah perihal cuti bagi meleraikan isu ini. Akhirkata, kita juga mungkin kurang selesa jika dipanggil bekerja semula ketika dalam bercuti biarpun diberi pampasan oleh majikan kita atau gaji yang lebih. Ini kerana seringkali antara tujuan kita bercuti hanya setakat untuk bersama anggota keluarga atau individu yang tersayang tanpa diganggu. MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH

Tuesday, July 3, 2012

Pemergian para ilmuwan dan sasterawan sama penting dengan pemimpin negara.

Mendiang Dr Toh, salah seorang pengasas Parti Tindakan Rakyat ( PAP ) dan pengerusi pertamanya, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 90 tahun setelah uzur sejak beberapa tahun. Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang begitu mengambil berat akan perkembangan dan kepentingan kesemua warga Singapura, tidak kira bangsa dan agama. Antara keprihatinan Dr Toh, mantan Timbalan Perdana Menteri, ialah menggesa dan memastikan wujudnya integrasi dalam acara-acara akar umbi dikalangan masyarakat minoriti. Lantas segala sumbangan dan pengorbanan beliau wajar dihargai oleh warga setempat khususnya bagi golongan muda . Ini disuarakan oleh beberapa pemimpin agar golongan muda dapat mencontohi prinsip dan dedikasi Dr Toh pada bangsa dan negara dihari muka. Namun selang beberapa hari kemudiannya, masyarakat Melayu/Islam dikejutkan dengan kehilangan dua karyawan yang disegani – pengasas dan Pengetua Madrasah Wak Tanjong Al- Islamiah, Ustaz Mohammed Noor Taib, dan sasterawan mapan, Encik Ismail Wardi. Ustaz Mohammed Noor disifatkan sebagai pengetua yang tegas namun berjiwa besar dan gigih berusaha melahirkan pelajar yang menguasai kededua bidang agama dan akademik demi melahirkan golongan ulama intektual. Encik Ismail Wardi adalah penulis kreatif sejak 1971 dan sepanjang hayatnya telah menulis puisi, skrip, cerpen, novel, sajak, esei dan ulasan buku, dan sumbangannya banyak tersiar dalam akhbar Berita Minggu. Namun sentimen dan perasaan ‘ kehilangan’ kededua insan yang sama banyak menyumbang ke arah kesejahteraan bangsa dan negara melalui cara mereka sendiri bak tidak dirasakan samasekali berbanding pemergian mendiang Dr Toh. Jika ada sekalipun setakat salam takziah dari sahabat handai, rakan taulan serta pengikut setia perkembangan ilmu sastera setempat. Apakah para ilmuwan dan sasterawan yang berjuang mendidik masyarakat setempat melalui karya-karya dan sumbangan ilmu agamanya tidak sepenting sumbangan pemimpin negara ? Tidakkah ada gesaan yang sama agar golongan muda , selain perlu tahu perkembangan para pemimpin pra- merdeka , juga perlu menghayati , menjiwai serta ‘ hormat’ keatas para ilmuwan agama dan para sasterawan setempat. Ada berpendapat para pemimpin kita perlu 'bersuara' agar golongan muda akan sedar akan wujudnya peranan para ilmuwan agama, sasterawan, seniman yang telah juga banyak berjasa dikalangan masyarakat majmuk kita. Tidak keterlaluan jika kita mengajak para pembaca menghayati dan selami pojok BH bertarikh 9hb Februari 2012 berjudul - Budiman Melayu yang dicari-cari tulisan Encik Raman Daud. Akhirkata, dari warga biasa hingga ke para pemimpin, setiap individu yang terus-terusan menyumbang tenaga, masa demi untuk kemaslahatan bersama sewajarnya ‘ ditangisi’ akan pemergian individu-individu sebegini.

Tuesday, June 5, 2012

Usah biarkan para penggiat seni tanahair berputih mata

Baru-baru ini, perkembangan industri mediamassa khususnya dalam bidang penyiaran mendapat beberapa komen membina samada di alam siber, media cetak mahupun sembang diruang rangkaian sosial. Dan dalam bulan pertama tahun ini saja, kita telah dikejutkan dari lamunan dengan sajian kesedaran betapa tenatnya ‘luahan’ yang pastinya dapat menjadi pembuka mata warga setempat/pihak penyiar/pihak berwenang. Tulisan di ruang Ekstra bertarikh 7hb Jan 2012 yang membawa tajuk Di Mana Hilangnya 'Jiwa' Melayu Dalam Drama TV? bak pembuka tirai harapan warga setempat agar adanya perubahan yang mutlak pada tahap dan mutu rancangan kita. Ini disusuli dengan segmen Bicara Seniman BH pada 10hb Jan 2012 - Menanti sinaran dan kemudiannya pada 15hb Jan 2012, warga setempat mula sedar akan isu sebenar yang masih menghantui setiap pejuang seni tanahair dengan tajuk berita - Suhaimi 'meletup' Memang dalam konteks kehidupan seharian, setiap luahan, komen,pandangan perlu diberi perhatian dan menganggap ianya satu wadah maklum-balas agar semakan ke atas polisi/garispandu/perundangan ( mungkin bercelaru/tidak relevan/ terlalu kompleks/rumit ) yang selama ini digunapakai boleh dipertimbangkan semula. Dan kita disini beruntung kerana punyai MPAC (Malay Programme Advisory Committee ) yang ditubuhkan pada tahun 1995 yang bernaung dibawah MDA bertanggung-jawab memastikan antaranya : · To provide advice and feedback on the range and quality of broadcast programmes on Suria (TV), Warna and Ria (radio), as well as recommendations for their improvement; · To provide advice and feedback on broadcasters’ exercise of standards in programmes and advertisements; · Review and provide feedback on the validity of public complaints that MDA receives concerning programmes and advertisements; · To review and provide inputs on the drawing up of guidelines for TV and radio content. Persoalannya, sejauh manakah setiap maklum – balas/saranan/teguran diambil secara serius atau sekadar bak melepas batuk ditangga dengan beranggapan isu/komen/luahan para individu yang telah berjuang dan mewarnai dunia hiburan setempat selama ini akan lenyap dengan sendirinya? Seyogia diingatkan, dikhuatiri jika isu-isu yang ditimbulkan sama seperti isu gaji menteri, kegenjotan sistem pengangkutan dan sebagainya tidak didengar/diambil dalam pertimbangan, kelak suara-suara ini juga yang akan menilai betapa rapuhnya sesuatu polisi/sistem atau pertubuhan tersebut. Tidak keterlaluan dikatakan jika kita tidak mampu menggarap harapan/misi dan visi warga setempat, adalah baik untuk menswastakan industri penyiaran setempat yang tampak malap agar setiap pencapaian/kegenjotan dalam industri ini kelak jelas kelihatan dan mudah dipertanggung-jawabkan dan diperbaiki. Contohnya, ada suara dari warga setempat agar membuka tender bagi sistem pengangkutan awam ( dek kegenjotan yang berulang ) agar dengan sendirinya kita akan lihat kemampuan/keupayaan dan keberkesanannya bagi kumpulan yang mengambil-alih operasi sedemikian. Selagi kita ditakuk yang lama, mungkin sukar untuk melihat perubahan yang jelas dalam jangkamasa yang terdekat. Usahlah kita sudah terhantuk baru terngadah kerana lambat laun, industri kita yang selama ini dibentuk oleh para pejuang/penggiat seni yang berbakat lagi kreatif kelak akan berhijrah, yang rugi kelak bukanlah pihak penyiar mahupun industri hiburan setempat, sebaliknya hak penonton telah diragut. Oleh itu, apa polisi/sistem atau pendekatan yang digunapakai selama ini, isi ceritanya mestilah dekat dengan hati orang Melayu. Usah biarkan para penggiat seni tanahair berputik mata.

Wednesday, May 2, 2012

Penipuan niaga diruang siber bak nila setitik rosak susu sebelanga.

Setiap peniagaan ada untung ruginya biarpun pada asasnya telah dilakar sebegitu rupa untuk memberi satu khidmat yang terbaik untuk para pelanggannya. Dewasa ini, peniaga kecil-kecilan juga boleh memulakan dan menggunakan ruang siber untuk berurusan kerana ianya tampak mudah,murah dan cepat menarik pengguna dek pendedahan untuk melanggani khidmat dan produk yang ditawarkan. Contohnya, perniagaan diruang siber menerusi rangkaian sosial seperti Facebook kian menunjukkan peningkatan dari para peniaga yang ingin ceburi bisnes. Pun begitu, dalam urusan pastinya timbul kegenjotan seperti kelewatan mendapat produk yang dijanjikan ( walaupun tidak berniat untuk menipu ), seringkali mangsa merupakan pengguna kerana membeli sesuatu produk dalam talian seringkali atas dasar kepercayaan berikutan maklum-balas yang positif dari pengguna lain. Atas dasar inilah, mungkin terdapat segelintir peniaga yang menangguk di air keruh demi untuk meraih keuntungan yang lekas lagi cepat serta mampu memberi pelbagai alasan untuk mengelak diri dari didakwa. Diburukkan lagi, setakat ini belum jelas apakah bentuk siasatan atau hukuman yang bakal/boleh diterima oleh peniaga seperti ini. Dikhuatiri, kes-kes sebegini kelak boleh berleluasa diruang siber sehingga boleh mematikan semangat berniaga dan kepercayaan antara peniaga yang memangnya jujur dengan pengguna. Cakap mudahnya, pengguna kelak terlalu berhati-hati sehingga menyempitkan ruang para peniaga kita yang jujur untuk berkembang. Ini sekaligus memberi implikasi dan tamparan pada peniaga lain diruang siber yang sememangnya berniaga berlandaskan minat , niat murni dan kejujuran. Malangnya kes seperti ini mungkin boleh berleluasa kerana kita sebagai pengguna gagal mengenalpasti risiko atau mengambil langkah berjaga-jaga ketika berurusan diruang siber. Contohnya, kita sebagai pengguna mudah percaya atau yakin bilamana membaca sekadar beberapa kerat reviu atau komen yang dibuat oleh para pelanggan sebelumnya. Dan jika terdapat unsur jenayah dari aspek penipuan sekalipun, tindakan undang-undang juga kurang memberi tekanan kerana adakalanya, jalan keluarnya hanyalah dengan mengishtiarkan individu tersebuat sebagai muflis. Seperti kata seorang peniaga, jika hukuman tegas lagi berat dilaksanakan, penipuan diruang siber yang bak musang berbulu ayam boleh dikurangkan jika tidak dilenyapkan. Hukuman yang tegas boleh menyedarkan setiap pengguna mahupun peniaga bahawa setiap aspek yang berunsur jenayah pasti kelak akan menerima hukuman yang setimpal. MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH