Tuesday, January 6, 2009

Mencari huraian ke atas pengganasan.

Serangan berdarah di Mumbai baru-baru ini tampak tiada bezanya dengan serangan pengganas yang berlaku di beberapa buah tempat atau negara yang lain. Kesudahannya agak sama iaitu anggota militannya beragama Islam, berlakunya korban jiwa dan kerosakkan harta benda awam. Cuma kali ini, antara yang terbunuh di Mumbai merupakan warga Singapura yang pertama menjadi mangsa korban pengganasan.

Dan sejurus serangan berakhir, maka setiap pemimpin negara mahupun agama serta orang perseorangan akan mengutuk pihak yang bertanggung-jawab melakukan serangan tersebut. Bagi mangsa yang terkorban, ucapan takziah disampaikan. Pada masa yang sama, akan bertambahlah sesi-dialog, kegiatan, ceramah dari para pakar sehingga pada pelancaran buku-buku mengenai pengganasan, erti jihad dan sebagainya.

Bagi berlaku jujur, saya kurang selesa untuk - (join the bandwagon) dalam sekadar mengutuk tindakan individu-individu yang melakukan keganasan itu.

Sebaliknya sering saya dahagakan akan perbincangan atau sesi-dialog yang memberi fokus pada 'mengapa' tergamak dan terdorongnya individu-individu ini melakukan jihad yang kita tahu tidak berpandukan tuntutan agama Islam yang sebenar. Tapi sayangnya, apa yang disampaikan oleh para penceramah setakat ini kerapkali berlegar pada aspek ideologi atau fahaman radikal kumpulan pengganas semata-mata.

Mengapa tidak kita menyelami erti sebenar atau punca tindakkan para pengganas ini ke atas orang mahupun tempat awam?

Jawapannya mudah - kita gagal mempunyai perasaan simpati, ehsan dan hiba yang penuh tulus ke atas nasib para mangsa seagama kita yang menderita, dizalimi,penganiayaan serta menjadi mangsa peperangan yang berlaku di Iraq, Palestin, Kosovo mahupun di Afghanistan. Kita sekadar berlukut ditepi gantang tanpa memberi tekanan selain hanya mengharapkan pada adikuasa dunia untuk menghuraikan konflik yang berlaku di rantau itu. Tanpa disedari, dengan sikap kita inilah maka lahirlah golongan yang bersimpati mahu membela nasib seagama kita yang tertindas lantas hanya mampu melalui unsur keganasan kerana mesej golongan bersimpati ini ( kini mereka digelar pelampau ) tidak diambil dalam pertimbangan mana-mana pihak sekalipun selama ini.

Maka tidak hairanlah, setiapkali tertangkapnya para pengganas ini, alasan bagi tindakannya hanyalah semata-mata untuk membela dan membalas dendam pihak-pihak yang menzalimi atau menganiaya sesama agamanya.

Malangnya, para pakar anti-pengganasan dalam ceramah-ceramah pula sering menitikberatkan aspek salah tafsiran ke atas kekata 'jihad' sebagai punca dan melabelkan golongan sebegini sebagai pengganas. Dengan ertikata yang lain, apakah melabelkan individu-individu sebegini sebagai 'terrorist' diharapkan dapat menghentikan kegiatan-kegiatan pengganasan? Sayangnya, lihat saja sehingga hari ini, pengganasan masih berdenyut ,bernyawa dan bak bom jangka. Ini walaupun setelah insiden 9/11, pelbagai kaedah seperti memperkenalkan pendidikan agama yang sederhana, sesi-dialog, kerjasama pelbagai pihak serta mendidik masyarakat umum tentang keamanan, harmoni dan kehidupan yang sejahtera masih terus dijalan dan diterapkan.

Kesimpulannya, sebagaimana kita terus-terusan memerangi pengganasan, begitu juga individu yang memperjuangkan 'jihad' yang sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam akan terus mencari ruang dan peluang untuk bertindak ganas dengan alasan demi membela nasib seagamanya di setiap pelusok dunia ini yang teraniaya dan dizalimi.

Mungkin sudah tiba masanya kita 'berdialog' pula dengan golongan ekstremis dengan ' harapan dan doa' agar satu huraian dapat dicapai melalui muafakat seperti ini. Apakah usulan ini dianggap keterlaluan untuk kita renungkan bersama? Mungkin dengan adanya Projek Pemerintahan Global yang bakal mengumpulkan pemikir dan pengamal terbaik dari seluruh dunia Barat dan Timur untuk membangunkan wawasan dan saranan tentang cara memerintah dunia boleh menimbangkan 'aspek dialog dengan ektremis' sebagai antara misi yang penting lagi genting dalam masa terdekat ini demi untuk mewujudkan satu kehidupan yang aman, sentosa dan selesa dimuka bumi ini.

No comments: