Tuesday, January 6, 2009

Apakah misi dihari muka bagi adakan majlis kahwin beramai-ramai?

Majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan oleh sebuah persatuan setempat baru-baru ini wajar dipuji akan usaha tersebut. Ini termasuklah pihak yang menaja semua persediaan seperti makanan, kerusi meja, dekor, pelamin, mak andam, kadi, pakaian pengantin dan berkat.

Secara amnya, acara sebegini dilihat membantu golongan yang kurang mampu membiayai kos majlis perkahwinan untuk menikmati saat menjadi 'Raja dan Permaisuri Sehari' sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Diharapkan usaha murni ini dapat digerakkan dan disokong pula oleh persatuan mahupun badan swasta yang lain.

Namun dalam kemeriahan majlis sebegini, seringkali timbul persoalan mengenai arah tuju selanjutnya bagi pasangan-pasangan ini.
Ini memandangkan rata-rata merupakan golongan yang kurang mampu dari segi menampung kos untuk mengadakan majlis perkahwinan ini. Cakap mudahnya, jika asasnya iaitu 'kos kerja kahwin' dah tak mampu, bagaimana kiranya pasangan ini bakal mengharungi kos kehidupan berumahtangga yang sememangnya tinggi dan membina sebuah institusi keluarga disini kelak.

Ini kerana, kita tahu, dek kos kehidupan yang tinggi dan punca masalah kewangan merupakan antara meningkatnya kadar perceraian dikalangan masyarakat Melayu kita disini.

Saya berpendapat, ada baiknya kita bukan saja menaja kos majlis perkahwinan bagi golongan kurang kemampuan, malah perlu juga kita menampung kos bagi pasangan ini mengikuti kursus/program peningkatan diri, ilmu membina keluarga dan mendidik anak serta bagaimana untuk merancang kewangan dihari muka. Mungkin pakej pos-nikah ini dijadikan syarat wajib bagi setiap pemohon yang berjaya dipilih/disertai dalam majlis perkahwinan beramai-ramai.

Mungkin langkah/syarat yang saya kemukakan sebegini boleh membantutkan usaha menarik lebih ramai pasangan untuk menyertai majlis sebegini. Namun jika pasangan itu benar-benar ingin pastikan bukan saja majlis berjaya malah kehidupan berumatangga juga teguh, tidak akan timbul sebarang masalah menerima dengan syarat-syarat sebegini. Pada masa yang sama, kita mahu pastikan golongan yang ditaja benar-benar serius dalam melangkah ke alam berumahtangga dan bukan menangguk di air keruh.

Saya juga yakin langkah sebegini juga dapat mengurangkan kes-kes perceraian yang kini meningkat dikalangan pasangan Melayu kita.Yang penting, kita bersikap bak ungkapan ' beri jala daripada ikan' bagi membantu dan memastikan golongan kurang berkemampuan ( golongan lebih berisiko) tidak 'kurang' dilengkapi dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk penakatan dihari muka.

No comments: