Sunday, July 5, 2009

Jadikan warisan Melayu panduan hidup

Bangsa Melayu dikenali kaya dengan nilai-nilai kesantunan dalam berbahasa. Antaranya termasuklah ribuan peribahasa yang tercetak dalam puluhan buku-buku sebagai panduan hidup generasi hari ini. Ini sekaligus memaparkan betapa hebat dan luasnya kebolehan dan keupayaan cerdik pandai kita dulu dalam menghasilkan peribahasa-peribahasa ini.

Pada masa yang sama juga, setiap peribahasa itu perlulah difahami atau digunakan dalam konteks yang betul. Contohnya, ada peribahasa yang membuahkan hasil jika ianya digunakan bersesuaian dengan tempat, suasana dan keadaan semasa. Malangnya, sebahagian dari kita gagal memahami atau menyelongkar apa yang tersirat dan tersurat dalam satu-satu peribahasa itu sebelum menggunakannya.

Sebagai contoh, peribahasa - Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak - bermaksud dapat menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. Sebenarnya peribahasa ini menggalak kita untuk mengikut rentak sekeliling atau mencari kesesuaian diri didalam sesuatu majlis atau pergaulan asal saja ianya membawa manfaat ke atas diri kita secara positif dan selaras dengan tuntutan budaya dan agama.

Sebaliknya, jika situasi dimana pengaulan bebas berleluasa serta terdapat unsur-unsur negatif, peribahasa yang sesuai digunakan ialah - Ikut resmi ikan dilaut yang memelihara isinya tetap tawar walaupun terus menerus berendam dalam air masin. Ianya bermaksud tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen disekeliling meskipun perlu hidup didalam satu-satu kelompok itu.

Saya yakin terdapat ribuan lagi peribahasa-peribahasa yang boleh diajar ke atas generasi muda melalui kaedah terkini agar nilai-nilai dalam bahasa Melayu itu tidak disalah-erti serta kekal relevan dalam membantu dan menilai cara kehidupan kita berlandaskan bahasa jiwa bangsa.

Tidak perlulah 'membabi buta' mengikut sesuatu peribahasa itu sebelum terlebih dahulu menilai 'keupayaan'nya dalam konteks kehidupan seharian kita.



MOHD IKHLASH ABDULLAH

No comments: