Tuesday, August 4, 2009

Kemahiran membaca diperingkat prasekolah

Usaha bersama Kementerian Pendidikan ( MOE), Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan ( MCYS) serta pertubuhan akar umbi telah banyak membantu dalam mengurangkan jumlah kanak-kanak yang tidak menghadiri prasekolah telah membuahkan hasil. Dapatan baru-baru ini menunjukkan bilangannya merosot daripada 4 peratus kepada 2.5 peratus, menurut Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen.

Namun terdapat juga segelintir ibubapa yang mengeluh resah bilamana anak-anak mereka gagal mengenal huruf bila memasuki darjah satu di sekolah rendah walaupun golongan ini telah mendapat pendidikan awal di pusat-pusat prasekolah seawal usia 2 tahun. Apakah mutu pendidikan di sebahagian pusat prasekolah menjadi punca atau sikap ibubapa itu yang gagal memainkan peranan membantu anak-anak ini dalam mengulangkaji pelajaran bila berada dirumah?

Setakat ini, belum ada kajian menyeluruh ke atas pihak manakah yang bertanggung-jawab samada pusat prasekolah ataupun ibubapa menjadi 'punca' kelemahan kanak-kanak ini. Dan sekiranya ada kajian sekalipun, masing-masing pihak akan cuba untuk menegakkan benang yang basah. Bagi ibubapa, kos yang perlu ditampung bagi mendaftar anak-anak mereka sewajarnya menjadi tanggung-jawab para guru tadika untuk mendidik sepenuhnya. Dan bagi guru tadika pula, masa yang sesingkat di pusat tadika pastinya tidak mencukupi sebaliknya ibubapalah yang perlu membimbing anak-anak selepas waktu sekolah.

Akhirnya perangkaan sepanjang lima tahun lalu mendedahkan antara 12 dengan 14 peratus kohort murid darjah satu setiap tahun gagal mengenali kesemua huruf dalam abjab Inggeris. - ( BH, Rabu 25 Mac 2009 - Hingga 14% murid darjah satu tidak kenal ABC ). Tidakkah perangkaan ini membimbangkan atau ianya sekadar peratusan yang terpencil dan tiada apa yang boleh dikemaskini diperingkat prasekolah dan ibubapa?

Namun mujurlah golongan murid seperti ini dibantu menerusi Program Sokongan Pembelajaran ( LSP) yang dilaksanakan oleh guru-guru bertauliah dalam bidang membaca diperingkat darjah satu dan dua serta pantauan/ bantuan dihulurkan diperingkat seterusnya melalui latihan tambahan dan kelas pemulihan.

Saya berpendapat, ada baiknya jika kita menyahut gesaan agar Program Sokongan Pembelanjaran ( LSP) dilaksanakan bertahap-tahap diperingkat setiap pusat prasekolah dan pantauan dari MOE dari masa ke semasa penting agar peratusan kohort yang mempunyai masalah mengenal huruf diperingkat darjah satu dan dua dapat dikurangkan dan meringankan beban tanggung-jawab guru-guru yang melaksanakan program LSP ini.

Ini dapat dilihat akan jayanya bilamana (LSP) berjaya dilaksanakan dengan berkesan di peringkat darjah satu dan dua di akhir setiap tahun.

Bagi ibubapa pula, berusahalah semampu mungkin dalam mengenal pasti kelemahan anak-anak sendiri dan bekerjasamalah dengan pusat prasekolah bagi menangani masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu. Usaha sama ini penting dan genting agar anak-anak yang bakal melangkah ke darjah satu lebih bersedia menyahut alam pembelajaran baru dan bukannya masih dihantui kaedah pembelanjaran prasekolah walaupun sudah memasuki darjah satu.

MOHD IKHLASH ABDULLAH

No comments: