Wednesday, October 7, 2009

Peranan anak menjaga golongan tua

Ungkapan ‘ seorang ibu boleh menyara sepuluh orang anak sebaliknya anak-anak yang ramai belum tentu dapat menjaga seorang ibu ‘ sering diluahkan oleh golongan ibubapa yang samada tinggal bersendirian atau menginap di rumah-rumah tumpangan warga tua.
Cakap mudahnya, anak-anak seperti ini tidak tahu membalas jasa dan budi kerana gagal memainkan peranan serta tanggung-jawab ke atas hak warga tua ini.

Namun ada berpendapat, sepuluh orang anak boleh diberi makan ‘ nasi dan kicap’ saban hari namun bagi seorang warga tua, pengalaman hidup / sikap sensitif / cerewet atau beremosi perlu diambil dalam pertimbangan. Ringkasnya, jaga sepuluh orang anak tidak sama dengan menjaga seorang warga tua.

Walauapapun isu dan alasannya, bagi masyarakat kita pula, selain tuntutan agama, bangsa dan budaya kita amat menitikberatkan aspek menyara ibubapa oleh anak sendiri dalam melayari sisa-sisa usia senja dan nilai ini amat terpuji sekali.

Ringkasnya, ini antara amalan yang terbaik dalam kehidupan anak-anak dalam menjalankan kehidupan dimuka bumi ini.

Namun, tidak semua anak-anak boleh dipertanggung-jawabkan atau dipersalah sekiranya tidak melaksanakan tugas sedemikian. Antara kemungkinan, ibubapa tidak 'ngam' dengan menantu, cerewet, ingin berdikari, enggan membebankan anak/menantu dengan kehadiran mereka, lebih selesa hidup sendirian tanpa dikonkong pergerakkan golongan tua ini.

Oleh itu, usahlah kita lekas menuding jari atau mempersalahkan anak-anak jika mendapati ibubapa tinggal sendirian atau merempat dalam melayari kehidupan seharian mereka sehingga ada yang membawa maut.

Sebenarnya, tanpa diketahui, terkandung banyak isu-isu yang tersurat dan tersirat dalam setiap permasalahan diantara hubungan ibubapa dan anak-anak sehingga perlunya berpisah untuk hidup berasingan.

Tidak mustahil juga, terdapat ibubapa dan anak-anak yang sama-sama duduk berbincang sehingga bersetuju untuk menghantar ibubapa mereka ke pusat tumpangan demi untuk memastikan penjagaan serta pantauan kesihatan terjamin pada setiap masa. Rasanya, cara dan langkah ini lebih baik daripada sekadar menjaga warga tua dirumah yang akhirnya tidak terurus langsung dari segi kesihatan, pemakanan dan juga senanam.

Namun baru-baru ini, ada yang menyarankan jika anak-anak tertakluk pada undang-undang untuk menyara orang tua mereka, tidakkah perlu juga dikenakan undang-undang bagi golongan tua yang 'berdegil' enggan hidup sebumbung dengan anak-anak yang senantiasa mendambakan kehadiran golongan ini?

Persoalannya, sekiranya golongan tua ini masih enggan mengikut perintah, apakah wajar menghukum mereka memandangkan usia serta kesihatan tidak lagi mengizinkan untuk melalui proses hukuman?

Bagi saya, selain rang undang-undang, anak-anak dan ibubapa yang hidup berasingan perlu 'sedar diri' dan 'bertolak ansur' kerana kedua-dua golongan ini secara amali saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Tambahan, ikatan pertalian kekeluargaan antara ibu dan anak tidak perlu terjalin hanya kerana adanya undang-undang. Ianya perlu lahir secara semulajadi sebagaimana kasih-sayang yang diharapkan dari seorang insan.

No comments: